IMAM Masjid Al-Aqsa, Syeikh Khalid Mahmoud Ahmad Shrateh mengimamkan solat maghrib sempena Himpunan Munajat Aqsa Ku. FOTO Bernama
IMAM Masjid Al-Aqsa, Syeikh Khalid Mahmoud Ahmad Shrateh mengimamkan solat maghrib sempena Himpunan Munajat Aqsa Ku. FOTO Bernama
Mohd Husni Mohd Noor


LEBIH 50,000 umat Islam membanjiri Dataran Putrajaya, Presint 3, malam tadi, bagi menyatakan solidariti dan bermunajat kepada Allah SWT mendoakan kesejahteraan serta pembebasan Masjid Al-Aqsa daripada kezaliman Zionis Israel.

Program Himpunan Munajat Aqsaku adalah kemuncak Festival MyAQSA anjuran Yayasan MyAQSA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bermula Sabtu hingga Ahad.

Himpunan berkenaan dimulakan dengan solat maghrib yang diimamkan Imam Masjid Al-Aqsa, Syeikh Khalid Mahmoud Ahmad Shrateh.

Program kemudian diteruskan dengan tazkirah Maghrib oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri.

Hadirin turut dihidangkan dengan beberapa siri kuliah, pidato daripada tokoh ulama dan persembahan nasyid.

Biarpun renyai, hadirin tetap tidak berganjak sebaliknya khusyuk dengan beberapa siri pidato yang disampaikan oleh beberapa ulama terkenal dunia.

Siri pidato dimulakan Syaikh Dr Muthanna adh-Dhari dari Iraq, Dr Sayyid Salman al-Husaini an-Nadwi (India) dan Syaikh Dr Muhammad ad-Daduu (Mauritania).

Program diakhiri dengan ucapan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mewakili Kerajaan Malaysia dan Naib Presiden Kesatuan Islam Sedunia Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jamil Khir dalam ucapannya berkata, semua umat Islam harus mengenepikan perbezaan politik dan menanam semangat serta solidariti untuk terus mempertahankan Baitulmaqdis dan Palestin.

Menurutnya, perhimpunan itu akan menjadi permulaan kepada semangat itu dan terus berkembang sehinggalah kota suci umat Islam itu dibebaskan daripada cengkaman Zionis Israel.

“Mudah-mudahan perhimpunan ini dapat melonjakkan perjuangan intifada pejuang Islam yang sedang berjuang mempertahankan Baitulmaqdis,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi dalam ucapannya, berkata adalah menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam di seluruh dunia untuk mempertahankan Baitulmaqdis dan ia bukan hanya tanggungjawab penduduk Palestin sahaja.

Menurutnya, umat Islam perlu menyedari bahawa Baitulmaqdis hak Islam selama-lamanya.

“Sebelum ini, sudah ramai pemimpin Palestin ditawarkan berbilion dolar oleh Yahudi untuk menyerahkan Baitulmaqdis dan Palestin namun ia ditolak kerana mahu sejarah dan kesucian kota suci itu terus terpelihara.

“Saya juga pasti umat Islam di seluruh dunia tidak akan membiarkan kota suci itu dipindah milik,” katanya.

Katanya, beliau juga berharap perhimpunan ini disulami dengan keberkatan sama dengan berkatnya perjuangan penduduk Palestin dalam membebaskan kota suci itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 10:56 AM