ITIR Esen. FOTO AP
ITIR Esen. FOTO AP
AFP

Istanbul: Pemenang pertandingan ratu cantik Turki tahun lalu yang terpaksa menyerahkan semula mahkotanya disebabkan kenyataan kontroversi di Twitter, kini berdepan hukuman penjara setahun atas tuduhan menghina elemen dalam masyarakat Turki secara umum.

Itir Esen, 18, memenangi gelaran Miss Turkey 2017 pada September lalu tetapi terpaksa memulangkan mahkotanya selepas penganjur acara itu menganggap kenyataannya di Twitter yang ‘tidak boleh diterima’ dinaikkannya pada ulang tahun pertama cubaan rampasan kuasa 15 Julai 2016.

Akibatnya dia terlepas peluang mewakili Turki dalam pertandingan Miss World di China, baru-baru ini. Pendakwa turut membuka kertas siasatan terhadapnya.

Dalam kenyataan di Twitter itu, dia membandingkan kematian 249 orang dalam kudeta itu dengan ‘pertumpahan darah’ kitaran haidnya. Mereka yang maut dianggap syahid masyarakat Turki.

“Saya mengalami haid pagi ini untuk menyambut hari syahid 15 Julai. Saya menyambutnya dengan berdarah bagi pihak mereka yang mati,” katanya.

Pendakwa Turki dilaporkan mahu dia dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atas tuduhan ‘secara awam menghina masyarakat,’ lapor agensi berita swasta Dogan.

Menurut Dogan, mahkamah akan memutuskan sama ada meluluskan pendakwaan terhadapnya dalam tempoh 15 hari.

Itir mengaku menaikkan kenyataan di Twitter itu tetapi menafikan ia bermotifkan politik.

Gelaran Miss Turkey kemudian diserahkan kepada Asli Sumen yang mewakili negaranya dalam pertandingan Miss World di China pada 18 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 7:48 AM