AFP

Istanbul: Pemain tengah muda Turkey Ozan Tufan (gambar) menjadi sasaran pengkritik di negara sendiri dan peringkat antarabangsa selepas gambar menunjukkan dia membelai rambutnya sewaktu pemain Croatia Luka Modric meledak voli kemenangan pada Euro 2016.

Tufan, 21, dipersalahkan ramai peminat kerana kekalahan Turki kepada Croatia 0-1 hujung minggu lalu yang menyebabkan pasukan itu perlu bekerja lebih keras untuk melepasi peringkat kumpulan pada kejohanan di Perancis itu.

Pemain Fenerbahce itu dilihat berlari-lari anak di kawasan penalti dan meletakkan tangan di rambutnya ketika Modric meledak voli di atas kepada Tufan.

Pemain itu tidak menyedari apa yang berlaku sehingga bola itu menggegar gawang Turki.

Peminat Turki yang berang di Twitter memuat naik gambar Tufan sebagai model iklan syampu atau seorang penyanyi pada kulit album 1970-an dengan gaya rambut seperti zaman itu.

“Sewaktu Modric menggegar gawang, Tufan berada dalam iklan rambut,” luah seorang pengguna Twitter.

Insiden itu mewujudkan kebimbangan dalam kalangan peminat Turki bahawa bintang mereka yang pantas meraih populariti dan kekayaan tidak menunjukkan keinginan dan kesungguhan untuk berada di pentas besar.

Peminat Turki turut berkongsi viral kartun membabitkan Tufan oleh pelukis karikatur Omar Momani yang menunjukkan pemain itu kagum dengan rambutnya di depan cermin dengan pengering rambut pada seluarnya ketika Modric menjaringkan gol kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 9:37 AM