DIANA Danielle. FOTO Nurul Shafina Jemenon
DIANA Danielle. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Ramlah Zainal


Lakonan mantapnya dalam filem Hanyut arahan U-Wei Saari, tujuh tahun lalu diiktiraf apabila Diana Danielle memenangi katagori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-29 dan Anugerah Skrin 2017 lalu.

Secara peribadi, Diana, 26, mengakui banyak pihak mula membuka mata terhadap bakat lakonannya selepas dia membintangi filem itu.

“Saya mula mendapat kepercayaan pengarah dan penerbit drama dan filem untuk melakonkan watak berat selepas filem Hanyut.

“Selepas menang trofi, saya juga ditawarkan beberapa projek filem baru dan ada daripada pengarah hebat tanah air,” katanya.

Selepas lima tahun tidak berlakon filem, Diana berkata, dia bakal terbabit dalam projek filem baru pada tahun depan.

Kali terakhir Diana berlakon dalam filem Kami Histeria.

“Saya sangat meminati bidang perfileman sejak dulu. Saya tidak boleh umumkan projek filem baru ini, tetapi pengarah filem ini antara yang saya ingin bekerjasama dalam bidang lakonan,” katanya.

Selepas drama Raisha, Diana kini menghabiskan baki penggambaran drama Coffee Prince untuk saluran Astro.

Diana ditemui pada majlis pelancaran Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia (DPA) yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Damansara, Kuala Lumpur, kelmarin.

Majlis pelancaran DPA disempurnakan Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor.

Hadir sama,Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Samat Kasah dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Surayati Ibrahim.

Mengenai karier nyanyian pula, kata Diana, dia akan muncul dengan projek single barunya tidak lama lagi.

“Ia juga membabitkan penggambaran klip video single baru ini nanti,” katanya.

DIANA Danielle. FOTO Nurul Shafina Jemenon
DIANA Danielle. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Mengulas mengenai perniagaan pula, kata Diana, dia terpaksa menutup kafe miliknya, Born & Bread’s sejak beberapa bulan lalu.

“Maklumlah saya sudah kembali aktif dengan karier lakonan dan nyanyian sekarang. Justeru, sukar untuk saya memberikan komitmen sepenuhnya pada kafe terbabit.

“Bukan mudah mengusahakan perniagaan makanan kerana kita tidak boleh lepas tangan pada orang lain. Kalau ada rezeki dan kelapangan mungkin saya akan menjual sandwic menggunakan konsep ‘food truck’ selepas ini,” katanya.

Bantu rakan artis bergelar usahawan

Diana yang dilantik sebagai Pengerusi DPA berkata, golongan artis tidak boleh bergantung kepada bidang seni semata-mata, sebaliknya perlu mempunyai pelan sandaran bagi menjamin masa depan yang cerah.

“Saya dilantik sebagai Pengerusi DPA pada Ogos lalu. DPA adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan dengan inisiatif presidennya, Datuk Shahrul Nizam Yunos yang menghimpunkan selebriti yang mempunyai minat dan kesungguhan untuk bergiat lebih serius dalam perniagaan berskala besar.

“Justeru, kami ingin mengajak lebih ramai lagi selebriti yang berminat bergelar usahawan dengan menyertai DPA.

“Pelbagai ilmu dan bimbingan perniagaan yang lengkap akan dikongsikan supaya artis memiliki cukup ilmu untuk bergelar usahawan,” katanya.

Selain Diana, sembilan selebriti lain yang sudah mendaftar sebagai ahli tetap ialah Farid Kamil, Bront Palarae, Hazama, Hafiz, Akim, Stacy, Wan Hanafi Su dan Soffi Jikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 7:53 AM