Nadir Al-Nuri

Baru-baru ini kedengaran suara yang mempersoalkan penyaluran dana ke bumi Palestin, khususnya melalui badan bukan kerajaan (NGO) tempatan. Hak untuk bertanya tidak salah, tetapi kenyataan yang dibuat secara rambang dan tidak spesifik, menimbulkan kekeliruan dan prasangka tidak molek terhadap NGO, badan dan institusi yang mengorbankan masa, tenaga dan harta untuk menjadi sebahagian perjuangan pembebasan Al-Aqsa.

Antara kertas kerja pertama yang dihasilkan PALM Strategic Initiatives Centre ketika mula beroperasi hujung tahun lalu ialah Peranan Malaysia Dalam Menjuarai Isu Palestin.

Malaysia mengiktiraf representasi daripada Palestin Liberation Organization (PLO) sejak 1981 dan diperkasakan pada 1989 apabila diangkat setaraf dengan perwakilan asing di ibu negara Kuala Lumpur.

Kebersamaan Malaysia dengan Palestin menjangkaui sempadan negara apabila peluang juga dibuka seluasnya kepada pelajar Palestin meneruskan pengajian di tanah air dengan Biro Statistik Palestin mencatatkan angka 4,000 orang dari negara berkenaan berada di bumi Malaysia pada 2019.

Kerjasama Malaysia–Palestin merangkumi semua sektor.

Di sektor agama, selain secara semula jadi menjadi contoh perjuangan dan kebangkitan menentang penjajahan Zionis sejak lapan tahun lalu, imam Palestin sering dibawa menghiasi masjid di Malaysia pada bulan Ramadan dengan suara lunak mereka. Pihak Darul Al-Quran dan Sunnah Palestin juga pernah dipelawa berkongsi teknik hafazan al-Quran lengkap berikutan anak-anak di sana hanya mengambil masa dua bulan untuk menguasainya.

Di sektor kebudayaan pula, institusi Palestin diberi ruang berkongsi budaya mereka di universiti, sekolah dan program khas, sementara di Palestin, budaya Malaysia dikongsikan melalui Pusat Budaya Malaysia di Gaza yang mengadakan kunjungan ke sekolah, pertandingan dan pengenalan budaya seperti memperkenalkan makanan dan pakaian Malaysia, seni bina, mercu tanda dan toleransi antara kaum.

Rakyat Malaysia juga sangat pemurah apabila membabitkan isu Palestin. Ratusan juta ringgit disalurkan kepada penduduk, dengan Gaza mendapat bantuan terbesar, merangkumi aspek pendidikan, kesihatan, pembangunan infrastruktur, sukan dan pemulihan psikologi kanak-kanak yang terdedah kepada serangan dan peperangan berterusan. Wisma Malaysia di Gaza menghimpunkan puluhan NGO yang bekerjasama serta bersepadu untuk membantu penduduk dan NGO lain yang lebih lama bertapak sudah membina Sekolah Tahfiz Malaysia, hospital dan masjid serta 1,001 projek lain yang menjadikan nama Malaysia semerbak disebut penduduk.

Sokongan paling kuat Malaysia kepada Palestin dizahirkan melalui politik – sokongannya yang tidak berbelah-bagi di Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majlis Keselamatan PBB, Organization of Islamic Cooperation (OIC) dan mutakhir KL Summit. Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah wajah yang sangat sinonim dengan pembelaan tanah Palestin yang dijajah dan kecaman ke atas kezaliman penjajah sehingga digelar antisemitik.

Malah, NGO Islam termasuk parti politik pula sering menjuarai perhimpunan dan perarakan aman membantah perlanggaran demi pelanggaran hak asasi penduduk asal bumi Al-Aqsa.

Minggu lalu, hasil tekanan dan usul resolusi Malaysia ketika menjadi anggota sementara Majlis Keselamatan PBB membawa kejayaan besar kepada usaha Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) yang memaksa PBB mengeluarkan senarai 112 syarikat yang mempunyai kaitan dengan penempatan haram
di tanah Palestin 1948.

Sokongan dalam segala bentuk ini akan berterusan dan dana akan terus mengalir melalui sikap dermawan rakyat negara kita yang dikasihi lalu sampai kepada mereka yang memerlukan sama ada melalui kerajaan Palestine Authority di Ramallah, kerajaan perpaduan Hamas di Gaza, NGO tempatan, malah kepada penduduk Palestin secara terus.

Sebagai rakyat Malaysia, kita mendokong isu Palestin sebagai satu badan dan membantu seluruh penduduk Palestin juga sebagai satu badan, tanpa terjebak dengan perpecahan politik dan faksi yang pelbagai.

>>Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal di Gaza dan pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia serta Wisma Malaysia Palestin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 7:00 AM