SEORANG lelaki mendukung anaknya yang maut dalam kejadian bit terbalik di Sungai Naf, Bangladesh.
SEORANG lelaki mendukung anaknya yang maut dalam kejadian bit terbalik di Sungai Naf, Bangladesh.
BERNAMA

Dhaka: Seramai 12 mayat termasuk 10 kanak-kanak ditemui selepas bot dinaiki warga Rohingya terbalik di Sungai Naf yang memisahkan Myanmar dengan Bangladesh, lapor agensi berita China Xinhua.

Pegawai di balai polis di Teknaf, Md Main Uddin berkata pada Isnin, semua mayat ditemui terapung di Teluk Bengal di Pulau Shah Porir di daerah Cox’s Bazar, 292 kilometer di tenggara Dhaka.

Beliau bagaimanapun, tidak dapat menyatakan bila kejadian berlaku dan mengandaikan bot mungkin terbalik lewat malam Ahad.

“Daerah Cox’s Bazar Bangladesh kini menjadi penempatan hampir sejuta pelarian Rohingya dari Myanmar,” katanya.

Menurut pegawai itu, pihaknya tiada maklumat berapa jumlah mangsa terselamat.

“Jumlah korban dijangka meningkat berdasarkan maklumat mangsa terselamat bahawa ramai lagi hilang dan operasi mencari diteruskan,” katanya.

Sejak 29 Ogos, 25 kejadian bot terbalik berlaku dan 132 mayat pelarian Rohingya serta seorang tekong warga Bangladesh ditemui di Sungai Naf setakat ini.

Dilaporkan lebih setengah juta Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak tercetusnya keganasan di Rakhine Myanmar pada 25 Ogos. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 6:12 AM