PELARIAN Rohingya  tiba dari Myanmar selepas menyeberangi Sungai Naf, Bangladesh.
PELARIAN Rohingya tiba dari Myanmar selepas menyeberangi Sungai Naf, Bangladesh.
Yusmizal Dolah Aling


Dhaka: Ribuan pelarian Muslim Rohingya yang melarikan diri dari keganasan di Myanmar untuk mencari perlindungan berkemungkinan berpindah ke penempatan baru di sebuah pulau di Bangladesh yang dilanda banjir setiap tahun.

Kerajaan Bangladesh sudah merayu sokongan antarabangsa untuk memindahkan mereka ke pulau itu kerana menghadapi krisis yang semakin meningkat berikutan tindakan keras tentera di Rakhine, Myanmar yang dikuasai Buddha.

Lebih 300,000 Rohingya lari ke Bangladesh sejak serangan pada 25 Ogos lalu dan tinggal di kem yang dipantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di daerah Cox’s Bazar, dekat dengan sempadan Myanmar.

Ia menyebabkan pihak berkuasa Bangladesh mencari tanah untuk membina lebih banyak kem, termasuk di pulau Thengar Char yang tidak berpenghuni dan dinamakan semula sebagai Bhasan Char biarpun mendapat tentangan pemimpin Rohingya dan pegawai PBB sendiri.

Bhasan Char, terletak di muara Sungai Meghna, mengambil masa satu jam perjalanan menaiki bot dari Sandwip, pulau terhampir yang mempunyai penduduk dan dua jam dari Hatiya, salah satu pulau terbesar di Bangladesh.

Pihak berkuasa pertama kali mengusulkan menetap pelarian Rohingya di sana pada 2015 ketika kem di Cox’s Bazar padat dengan pendatang baru.

Bagaimanapun, rancangan itu ditangguhkan tahun lalu dan laporan menyebut ia adalah pulau lumpur, yang hanya muncul dari laut pada 2006 tidak dapat didiami kerana banjir pasang surut.

Kerajaan cuba mencari ruang baru untuk Rohingya, termasuk mendirikan kem baru seluas 800 hektar berhampiran Cox’s Bazar, dekat dengan sempadan Myanmar, yang akan menempatkan sekitar 250,000 Rohingya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 6:20 AM