SYAMEL
SYAMEL
Michelle Gun

Selepas tampil dengan beberapa lagu balada, Syamel keluar dari zon selesa dengan mencabar diri menyanyikan lagu berentak rancak menerusi single Kau Pun Sama.

Sudah pasti terselit rasa gementar di hati pemilik nama sebenar Syamel Aqmal Mohd Fodzly ini setiap kali memikirkan penerimaan pendengar.

“Sewaktu melancarkan Kau Pun Sama bulan lalu, saya takut pendengar tidak boleh terima.

“Alhamdulillah, ramai beri maklum balas positif,” katanya di Balai Berita, baru-baru ini.

Setakat ini, video lirik rasmi Kau Pun Sama di YouTube ditonton lebih 800,000 kali sejak dimuat naik 24 Ogos lalu.

Karya garapan Syamel bersama Kidd Santhe itu turut menampilkan vokal penyanyi terkenal Ernie Zakri.

“Sudah sampai masa saya ubah angin dan cabar diri keluar dari zon selesa. Lagipun, trend muzik sekarang banyak mengetengahkan lagu rancak.

“Harap Kau Pun Sama dapat memeriahkan lagi industri muzik tanah air,” katanya.

Mengenai suara latar Ernie dalam Kau Pun Sama, Syamel menjelaskan kolaborasi terbabit bukan gimik untuk melariskan lagu itu seperti didakwa segelintir netizen.

“Ernie cuma menyumbang untuk suara latar lagu ini. Lagipun, kami pernah bekerjasama sebelum ini dalam program realiti Duo Star,” katanya.

Ujar bekas peserta Akademi Fantasia 2015 itu lagi, ada perancangan menghasilkan lagu duet dengan Ernie selepas single Aku Cinta.

“Bagaimanapun, kami perlu berbincang dan mencari masa sesuai kerana masing-masing sibuk.

“Saya kini dalam proses menyiapkan single solo baru Ernie yang akan diperkenalkan kepada peminat tidak lama lagi.

“Single ini adalah yang pertama saya hasilkan untuk penyanyi lain. Selama ini saya hanya berkarya untuk diri sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai percintaan, Syamel menjelaskan belum bertemu wanita pilihan hati.

“Ya, saya belum ada kekasih. Buat masa ini, saya mahu fokus karier seni dan menyimpan hasrat mengadakan konsert,” katanya.

Menyedari menganjurkan acara sedemikian bukan mudah, Syamel mahu terus menghasilkan lagu baru agar dapat disampaikan dalam konsert dan persembahan solo.

“Itu perancangan saya dan juga sebagai buah tangan kepada penyokong. Bagaimanapun, banyak yang saya perlu ambil kira terutama soal penerimaan, lokasi dan penaja,” katanya.

Selain menyanyi dan mencipta lagu, Syamel terbuka hati untuk mencuba nasib dalam bidang pengacaraan.

“Kalau ada tawaran, saya akan pertimbangkan. Namun, jika ditawarkan berlakon atau jadi penyampai radio, saya belum yakin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 1:59 PM