ERNIE beri kepercayaan sepenuhnya kepada penggantinya untuk lagu Boneka di AJL36.
ERNIE beri kepercayaan sepenuhnya kepada penggantinya untuk lagu Boneka di AJL36.
Syafil Syazwan Jefri


Kemantapan vokal penyanyi, Ernie Zakri tidak perlu lagi dicanang memandangkan dia sendiri sudah membuktikan kemampuannya di pelbagai pentas berprestij.

Setiap kali muncul membuat persembahan, penyanyi lagu Boneka ini tentunya akan berjaya memukau pandangan dan pendengaran setiap yang menonton.

Namun kehadiran lagu Boneka di pentas Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36) pada 6 Mac depan pastinya menampilkan perbezaan ketara berikutan ia tidak akan didendangkan oleh Ernie sendiri.

Memberi kepercayaan sepenuhnya kepada penggantinya, Ernie juga memberi ruang kepada penyanyi yang belum diumumkan namanya itu untuk bermain dengan kreativiti.

"Penggantinya sudah ada dan kini bersiap sedia untuk beraksi. Rancangannya, untuk AJL36 itu nanti akan ada sedikit perbezaan daripada apa yang saya sendiri ingin sampaikan.

"Apabila kita menjemput penyanyi gantian untuk menggantikan kita, tentunya mereka juga ada kreativiti dan matlamat tersendiri bagaimana nak persembahkan lagu itu," katanya.

Ditanya mengenai konsep yang akan diketengahkan, Ernie berkata, ia akan menampilkan konsep yang luar daripada apa yang dibayangkan oleh penonton.

"Ia akan berbeza daripada apa yang dibayangkan sekiranya saya sendiri yang buat persembahan. Saya berikan kebebasan kepada penyanyi itu untuk buat apa yang dia mahu.

"Antara saya dengan penyanyi itu, masing-masing ada identiti yang berbeza," katanya.

Terdahulu, Ernie terpaksa mencari penyanyi gantian untuk menyampaikan lagu Boneka di AJL36 kerana keadaannya yang sarat hamil anak pertama hasil perkahwinan dengan penyanyi, Syamel dan berkemungkinan berada dalam keadaan berpantang ketika acara itu berlangsung.

Netizen sebelum ini membuat beberapa andaian mengenai siapa yang bakal menggantikan Ernie untuk menyanyikan lagu Boneka itu. Malah, antara nama yang disebut-sebut adalah, penyanyi, Anuar Zain.

Terbaharu, Ernie kini hadir dengan single berjudul Korban yang dicipta sendiri olehnya, termasuk penulisan lirik. Harapan Ernie supaya lagu itu juga mendapat sambutan baik pendengar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 6:51 AM