ERNIE Zakri. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ERNIE Zakri. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ardini Sophia Sina


Pernah dinobatkan juara Bintang RTM pada 2009, Ernie Zakri pernah putus harap dengan nasibnya dan hampir saja mengikut kata hati untuk menyerah kalah.

Dia terkilan kerana lagu demi lagu yang dihasilkan dipandang sepi oleh peminat seni suara tanah air. Tapi kini tuah mula menyebelahinya apabila lagu Jangan Marah ciptaan DJ Fuzz dan lirik oleh kumpulan Viral mula mendapat perhatian hingga menjadi siulan ramai.

Ernie juga menyertai pertandingan Duo Star dengan Syamel dan menghasilkan lagu duet bersama dengan judul Aku Cinta. Ternyata lagu itu juga sangat membantu melonjakkan nama mereka berdua di persada seni.

“Alhamdulillah saya bersyukur. Ia secara tidak langsung menyuntik semula semangat saya untuk kembali gigih memacu kerjaya seni suara,” katanya.

Terjun ke dunia nyanyian secara profesional pada usia 17 tahun, dalam setiap tutur kata diluahkan Ernie sudah cukup menggambarkan kematangannya sebagai anak seni.

Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri gembira kerana laluannya kini untuk mencapai impian semakin terbuka luas. Kini masa untuknya membuktikan kemampuan sebagai penyanyi.

“Tidak dinafikan nama saya agak lambat untuk naik dan dikenali. Perjalanan kerjaya saya agak perlahan. Tetapi berkat kesabaran dan usaha tidak jemu itu membuahkan hasil apabila single Jangan Marah mula mendapat tempat.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh selesa dengan ruang yang saya ada sekarang. Saya mesti gunakan sebaik mungkin untuk mengejar cita-cita yang pernah diimpikan satu ketika dulu.

“Saya sedar belum tiba masanya untuk berpuas hati dengan pencapaian dalam kerjaya yang dikecapi kini. Masih terlalu awal kerana banyak yang ingin saya capai,” katanya.

Ernie lega kerana masyarakat terutama peminat semakin menerima kehadirannya sebagai penyanyi. Katanya, dia pernah melalui pelbagai pahit getir bergelar anak seni dan mengakui kini mula rasakan kemanisan sebagai penyanyi.

“Saya juga percaya penyanyi perlu yakin dengan genre pilihannya. Seperti saya, boleh saja menyanyikan genre lain tetapi fokus utama tetap pada aliran yang sesuai dan menjadi pilihan saya.

“Stacy antara yang boleh dijadikan contoh terbaik. Walaupun terkenal dengan lagu rancak, sesekali apabila membawakan lagu genre balada, persembahan dan nyanyiannya masih memukau,” katanya.

Dia juga berharap lagu bergenre dangdut dan irama Malaysia akan kembali semula memeriahkan industri kerana sudah terlalu lama arena seni suara tanah air sepi tanpa lagu genre berkenaan.

“Bagi saya dangdut dan irama Malaysia adalah akar umbi muzik yang memeriahkan industri kita satu masa dulu dan bukannya irama muzik pop atau reggae semata-mata.

“Jujurnya, saya sendiri ternanti-nantikan kehadiran lagu sebegini. Bagi saya, kalau ada memang tambah meriah dan seronok kerana terdapat banyak pilihan lagu,” katanya.

Ernie juga bangga dengan pencapaian bapa saudaranya, Anuar Zain begitu juga ibu saudaranya, Ziana Zain dalam dunia seni kerana sejak dulu sampai sekarang lagu mereka daripada aliran yang sama.

“Mereka tidak terlalu mengikut selera pendengar masa kini. Setiap kali Anuar muncul dengan lagu baru, ia tetap diterima baik semua orang.

“Bagi saya, tidak salah mengikut peralihan muzik tetapi sebagai penyanyi, kita juga tidak boleh melupakan genre pilihan yang tepat dengan cita rasa termasuk vokal sendiri.

“Menjadi versatil itu memang perlu kerana ia adalah kebolehan kita menyanyikan pelbagai genre dengan cara tersendiri. Bagaimanapun, ia tetap bergantung pada rezeki.

“Namun, saya juga tidak salahkan pendengar kerana tanggungjawab untuk mengubah situasi ini sebenarnya digalas oleh penyanyi. Dalam soal ini, penyanyi itu sendiri yang perlu bijak ‘mengajar’ pendengar untuk menerima semua jenis lagu dihasilkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 2:53 AM