Mangsa ditemui meninggal dunia di dalam lori. FOTO ihsan bomba
Mangsa ditemui meninggal dunia di dalam lori. FOTO ihsan bomba
Mohd Hasbi Sidek


SEORANG lelaki ditemui meninggal dunia di dalam lori di Hentian Rawat dan Rehat (RnR) Dengkil, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE ), pagi hari ini.

Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan 8.07 pagi untuk bantuan membuka pintu sebuah lori yang terkunci dari dalam.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Alimaddia Bukri berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya bergegas ke lokasi dengan dua jentera.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati seorang lelaki dipercayai pemandu lori tangki di tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pihak bomba memulakan operasi membuka pintu lori menggunakan alat khas. Dalam masa sama pihak ambulans dan paramedik turut berada di lokasi sebagai persediaan rawatan awal," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sebaik pintu dibuka dalam masa kurang 10 minit, pasukan perubatan melakukan pemeriksaan dan mengesahkan lelaki berkenaan sudah meninggal dunia.

Menurutnya, mayat diserahkan kepada pihak ambulans dan siasatan diserahkan kepada polis.

"Mayat dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 6:11 PM