Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Harapan untuk menyaksikan kilauan pingat di Kejohanan Akuatik Dunia FINA ke-16 di Kazan Russia tidak kesampaian selepas gandingan negara Ahmad Amsyar Azman dan Ooi Tze Liang sekadar menamatkan saingan di tempat ke-10 dalam acara akhir 3 meter papan anjal seirama lelaki.

Gandingan emas di temasya Sukan SEA Singapura itu gagal menyaingi kehebatan terjunan pasangan China yang menyaksikan gandingan Cao Yuan dan Qin Kai meraih emas selepas mengumpul 471.45 mata.

Perak menjadi milik penerjun tuan rumah Evgenii Kuznetsov dan Ilia Zakharov dengan 459.18 mata manakala gandingan Jack David Laugher dan Chris Mears dari Great Britain, gangsa dengan 445.20.

Pasangan negara itu yang sekadar mampu mengumpul 401.37 mata bagaimanapun masih berpeluang merebut pingat apabila turun dalam acara individu hari ini.

Bagi Amsyar, mereka sudah melakukan yang terbaik namun rezeki tidak memihak kepada mereka dan mengakui masih perlu memperbaiki dan melakukan terjunan terbaik seandainya ingin layak ke temasya Sukan Olimpik Rio.

“Terjunan kami semuanya mengikut apa dirancang cuma mungkin nasib tidak menyebelahi kami. Mungkin banyak lagi yang perlu diperbaiki terutama dari segi mental.

“Biarpun tewas., kami masih berpeluang untuk terus mengumpul mata ke Olimpik tahun depan dan saya pula akan berusaha dalam acara individu selepas ini,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan pengadil menjejaskan pungutan mata Amsyar berkata, mutu pengadilan di Kejohanan Dunia itu tidak perlu dipertikaikan kerana mata diberikan berdasarkan terjunan dan tidak wujud tindakan pilih kasih.

Sementara itu, Malaysia masih berpeluang menamatkan kemarau pingat di kejohanan itu apabila pemenang gangsa Sukan Olimpik London, Pandelela Rinong Pamng dan Nur Dhabitah Sabri akan meneruskan cabaran dalam acara 10m platform awal pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:46 AM