PENGUNJUNG menghayati lukisan yang dipamerkan.
PENGUNJUNG menghayati lukisan yang dipamerkan.
LUKISAN  Family Ties karya Amirudin Ariffin.
LUKISAN Family Ties karya Amirudin Ariffin.
LUKISAN Something To Be Remember karya Koo Yean Ni.
LUKISAN Something To Be Remember karya Koo Yean Ni.
Mohd Nasif Badruddin


Karya kreatif dipamerkan pelukis sejak awal kemerdekaan negara hingga kini bukan saja mengembalikan nostalgia bagaimana Malaysia membangun daripada sebuah negara kecil hingga mencipta nama di peringkat antarabangsa, malah lebih penting menonjolkan elemen dan semangat patriotik dengan gaya tersendiri.

Usaha Balai Seni Negara mempamerkan 60 karya seni sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-60 oleh 22 artis tempatan yang mengetengahkan pelbagai elemen dan perkembangan negara merentas peredaran zaman membuktikan betapa karya seni diiktiraf sebagai antara penggerak dalam memupuk semangat patriotik.

Pelbagai subjek dan tema kemerdekaan dipaparkan dalam Pameran Merdeka: Unity & Diversity di Balai Seni Negara, sekali gus menunjukkan makna dan peranan berbeza bagi setiap peringkat usia dalam masyarakat.

Malah, lebih bermakna orang ramai dapat melihat perkembangan hasil karya kreatif berbeza setiap tahun diilhamkan daripada pelbagai latar belakang pelukis tanpa mengira usia, jantina dan bangsa.

Pameran membabitkan kerjasama antara Balai Seni Negara dengan Infinity Logistics & Transport Sdn Bhd itu sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu dalam membantu artis tempatan serta meraikan sambutan kemerdekaan negara.

Ketua Pengarah Balai Seni Negara Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, kerjasama dua entiti itu sewajarnya menjadi contoh dan disertai lebih ramai syarikat korporat dalam usaha memartabatkan seni budaya tanah air.

“Pameran Merdeka: Unity & Diversity ini selaras dengan tema sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara iaitu Negaraku Sehati Sejiwa mengikut kreativiti pelukis itu sendiri.

“Selain itu, kami ingin menggalakkan artis muda untuk terus berusaha menghasilkan karya seni yang bermutu,” katanya.

Beliau berkata, selain Pameran Merdeka: Unity & Diversity di Creative Space 3 dengan kemasukan percuma, pihaknya menggunakan kontena terpakai sebagai studio melukis dan galeri sementara, sekali gus menjadi tarikan terbaru.

Katanya, sekumpulan pelatih juga baru saja menamatkan program Bootcamp selama 40 jam yang julung kali diadakan di Balai Seni Negara.

Menurutnya, menerusi program itu pelatih bukan saja didedahkan dengan pelbagai elemen kesenian tetapi turut diterapkan dengan strategi keusahawanan bagi memasarkan hasil karya mereka dan digelar sebagai Art-Preneur.

“Art-Preneur menggalakkan menjadi hab seni yang menyediakan ruang untuk berkarya dan memasarkan karya mereka,” katanya.

Selain pameran di Balai Seni Negara dari 5 hingga 31 Ogos ini, pameran sama juga akan menjelajah ke Yayasan Warisan Johor, Johor Bahru diikuti KOMTAR, Pulau Pinang dan SACC Mall, Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 7:09 AM