AHMAD GHAZIE menerapkan unsur jalinan dan rupa dalam karya cetakan mono.
AHMAD GHAZIE menerapkan unsur jalinan dan rupa dalam karya cetakan mono.
‘CAPTIVATING’ hasil seni Rube menggunakan teknik cetakan mono.
‘CAPTIVATING’ hasil seni Rube menggunakan teknik cetakan mono.
LUKISAN Ahmad Ghazie menggunakan pastel minyak.
LUKISAN Ahmad Ghazie menggunakan pastel minyak.
RUBE menggunakan akrilik di atas kertas untuk menghasilkan catan bertajuk ‘Summer In Paris’.
RUBE menggunakan akrilik di atas kertas untuk menghasilkan catan bertajuk ‘Summer In Paris’.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman


Artis veteran Ahmad Ghazie Ibrahim dan Rube Jamal bergabung dalam pameran ‘Diversity’ dengan menampilkan 35 kombinasi karya baru dan lama mereka.

Pameran di Lobi Utama Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) yang berlangsung sehingga penghujung bulan ini memberi kepelbagaian dalam karya dihasilkan kedua-dua artis berkenaan.

“Diversity itu sendiri bermaksud kepelbagaian. Hasil seni yang kami tampilkan sememangnya pelbagai dan tidak terhad pada satu tema atau fokus saja.

“Karya yang kami hasilkan terdiri daripada lukisan, catan dan cetakan mono dan setiap satu ada unsur seni tersendiri dan itu menggambarkan kepelbagaian dalam karya kami,” kata Ahmad Ghazie.

Ahmad Ghazie mempamerkan lukisan, catan dan cetakan mono, manakala Rube menampilkan catan dan cetakan mono.

Karya Rube, ‘Joyful Feeling’ unik dan abstrak kerana menerapkan beberapa unsur seni seperti warna, garisan, gubahan, ruang dan pergerakan.

Beliau mengetengahkan konsep abstrak dalam hasil seninya manakala Ahmad Ghazie pula lebih kepada landskap dan abstrak.

Medium yang digunakan juga pelbagai termasuk akrilik di atas kanvas, dakwat cetakan dan pastel minyak.

“Rube menggunakan akrilik untuk karya catan dan dakwat cetakan bagi cetakan mono. Saya juga gunakan akrilik untuk catan dan dakwat percetakan untuk cetakan mono tapi bagi lukisan saya gunakan pastel minyak,” kata Ahmad Ghazie.

Pameran dibuka kepada orang ramai sehingga 31 Oktober ini dan masuk percuma.

INFO

DIVERSITY

- Artis: Ahmad Ghazie Ibrahim dan Rube Jamal

- Jumlah karya: 35

- Lokasi: Lobi Utama NSTP, Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur

- Tarikh: Sehingga 31 Oktober

- Masa: 9 pagi hingga 6 petang

- Telefon: 03-20569852

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 11:11 AM