FATIMAH Zaharah Ghazalli. FOTO Nasharuddin Muhammad
FATIMAH Zaharah Ghazalli. FOTO Nasharuddin Muhammad
Nasharuddin Muhammad


“Saya berharap dapat terus melaksanakan ibadat yang sepatutnya biarpun sekarang terpaksa melakukannya bersendirian dengan hanya ditemani ustazah.

"Sebelum ini, apa saja yang dilakukan pasti bersama arwah termasuk ketika kami beriktikaf di masjid ketika menunaikan umrah dulu," kata Fatimah Zaharah Ghazalli, 53, balu kepada jemaah haji pertama yang meninggal dunia di Tanah Suci, Sabtu minggu lalu.

Suami Fatimah Zaharah, Mohd Ghazali Ab Rahim, 53, dari Taman Pengkalan Harapan, Ipoh, Perak, meninggal dunia di Hospital King Fahd, Madinah, 7.25 malam waktu tempatan akibat serangan jangkitan kuman dalam paru-paru yang kuat.

Menurutnya, pemergian arwah suaminya begitu mengejutkan biarpun sebelum ini, dia dan arwah sama-sama pernah berseloroh mengatakan mahu meninggal dunia di Tanah Suci.

Katanya, selepas arwah tiada, hampir setiap hari anak-anak ada menghubunginya bagi memberikan sokongan dan semangat.

"InsyaAllah, saya dan anak-anak tabah dengan ujian ini, malah anak-anak sentiasa meminta saya supaya bertenang dan tidak terlalu memikirkan mengenai ayah mereka dan meneruskan ibadat seperti biasa," katanya ketika ditemui di maktab penginapannya di Hotel Azhar Al Safa di Makkah, hari ini.

Menurutnya, dia kini semakin kuat untuk menerima hakikat dan cuba menenangkan diri, cuma ada masa-masa tertentu sering teringatkan arwah suami dan kenangan lama.

"Maklumlah, baru pada Disember yang lalu, kami anak-beranak ada melakukan umrah bersama.

"Mungkin ada yang Allah nak tunjukkan yang lebih baik kepada saya," katanya.

Katanya, dia cuma terkilan kerana tidak berpeluang untuk bersama-sama dengan arwah ketika dia menghembuskan nafas terakhir.

"Sebaik arwah dibawa ke hospital (Hospital King Fahd), doktor memaklumkan keadaannya begitu kritikal sedangkan saya pula dihantar pulang ke hotel penginapan.

"Ketika itulah, arwah disahkan meninggal dunia.

"Sebelum itu, ketika dibawa ke pusat rawatan di hotel penginapan, arwah masih boleh bersembang tetapi sebaik tiba, dia mula mengalami sesak nafas lalu terus dirujuk ke hospital," katanya.

Berita berkaitan:

Jemaah haji meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 4:40 PM