Nasharuddin Muhammad


KUMPULAN pertama dan kedua jemaah haji Malaysia seramai kira-kira 700 orang selamat tiba di Makkah, sebentar tadi

Mereka tiba di kota suci ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah, kira-kira jam 2 petang (waktu tempatan) dan ditempatkan di Hotel Abraj Al-Janadriyah yang turut menempatkan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) Makkah.

Terdahulu, semua jemaah berkenaan berlepas dengan dua penerbangan berbeza dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, awal pagi Ahad (waktu Malaysia)

Sebaik tiba di hotel penginapan mereka, semua jemaah terbabit yang sudah dalam ihram disambut Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Nurrin Anuwar Shamsuddin serta pengurusan kanan TH serta wakil Muassasah Asia Tenggara.

Mereka diberikan air zam-zam serta manisan sambil diiringi alunan nasyid sebelum dibawa ke bilik penginapan masing-masing untuk berehat seketika sebelum dibawa ke Masjidil Haram oleh petugas TH untuk melaksanakan ibadat umrah.

Seorang jemaah, Mohd Sayuti Shafie, 61, dari Pasir Puteh, Kelantan bersyukur dan teruja terpilih sebagai ‘dhuyufurrahman’ pada tahun ini.

Dia yang datang bersama isteri, Zaleha Abdullah, 51, berharap mereka dikurniakan haji mabrur.

Bagi warga emas, Fatimah Abdul Razak, 71, yang berkerusi roda dari Kuala Lumpur bersyukur dan gembira terpilih dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada tahun ini.

"Memang gembira dan bersyukur dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan Rukun Islam kelima," katanya yang ditemani anak perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 8:17 PM