DIANA Chan dinobatkan sebagai juara program Masterchef Australia 2017
DIANA Chan dinobatkan sebagai juara program Masterchef Australia 2017
Najiy Jefri


ANAK Malaysia, Diana Chan yang dinobatkan sebagai juara program Masterchef Australia 2017, malam Isnin lalu tidak menyangka penyertaannya buat julung kali itu membuahkan hasil.

Diana yang menetap di Melbourne menewaskan pesaingnya Ben Ungermann dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM849,000 berserta trofi selain bakal bergelar penulis tetap kolum masakan majalah Delicious.

Kata Diana, 29, selepas berdepan detik sukar dan mencabar dalam menyiapkan menu masakan setiap minggu dia akhirnya berjaya menyakinkan hati juri.

"Memasak adalah jiwa saya. Sejak kecil lagi saya selalu membantu ibu bapa di dapur. Ketika menetap di Australia, saya nekad mencuba nasib dengan menghantar penyertaan kepada Masterchef Australia.

"Walaupun bukan mudah untuk menyertai program ini, tak sangka nama saya dipilih selepas melepasi sesi uji bakat hinggalah dijulang sebagai juara musim ini.

"Boleh dikatakan setiap minggu cabarannya sangat sukar dan saya bekerja keras untuk memastikan tidak disingkirkan. Apa boleh saya kongsikan, cabaran minggu final adalah antara detik paling tidak dapat dilupakan kerana tiada menu yang mudah untuk disediakan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Pada pertandingan akhir itu, Diana menyediakan masakan ikan merah asam pedas resepi ibunya.

Menurut Diana yang bertugas sebagai akauntan dan berasal dari Johor Bahru, dia sangat terharu dan berbangga apabila dapat memperkenalkan dan menyajikan masakan Malaysia di negara berkenaan.

Katanya lagi, dia juga tidak menyangka menerima maklum balas positif rakyat Malaysia yang menonton program itu.

"Saya dihujani ucapan tahniah daripada rakyat Malaysia. Ia sesuatu yang luar biasa apabila mereka bangga dengan kejayaan saya tempoh hari. Malah, saya juga mendapat tawaran daripada pelbagai pihak selepas program ini tamat bersiaran.

"Saya juga bercadang untuk pulang ke tanah air dalam masa terdekat. Saya berharat untuk menjalin kerjasama dengan Tourism Malaysia bagi melakukan beberapa aktiviti bersama rakyat Malaysia," katanya.

Selain Diana, seorang lagi rakyat Malaysia yang pernah memenangi pertandingan sama ialah Adam Liaw ketika musim kedua program itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 11:36 PM