Diana Danielle.
Diana Danielle.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Diana Danielle, 31, tidak mahu memanjangkan kisah penderaan yang pernah dialami dengan bekas kekasihnya sebelum mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Farid Kamil.

Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson berkata, dia terkejut apabila isu penderaan fizikal yang dikongsikan di sebuah program di YouTube menjadi tular dan meraih perhatian ramai.

"Saya tak berniat nak mengungkit, ia sekadar perkongsian saja. Bukan niat saya, orang pun tahu saya jenis orang yang bukan suka cari gaduh. Saya pernah mendedahkan perkara ini 10 tahun lalu, tapi mungkin ramai peminat muda yang tak tahu.

"Kita juga bercakap mengenai kesihatan mental dan bagaimana cara untuk meneruskan hidup. Sepanjang lebih satu jam berkongsi, tak sangka pula perkara itu yang menjadi perhatian, benda itu yang orang fokuskan.

"Bila saya dengar semula rakaman terbabit, ramai yang mesej secara peribadi dan berterima kasih kerana ada perkara yang saya sentuh memberi semangat kepada mereka serta memberi ruang mereka bercerita mengenai pengalaman mereka, bukan hanya berkisar mengenai apa yang saya perkatakan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Rizman Ruzaini RR Cruise 22/23 di RR Flagship Store di Shoppes Four Season Place, di sini, hari ini.

Menurut Diana, perkongsian yang dibuat turut membuatkan dirinya diselubungi rasa serba-salah.

"Dalam hati saya wujud rasa serba-salah apabila saya berkongsi mengenai perkara itu kerana saya tak maksudkan sesiapa. Saya tak boleh nak salahkan orang lain jika kita sendiri yang memulakan sesuatu," katanya.

Ditanya adakah dia fobia melalui pengalaman hitam itu, Diana menyifatkan ia sebagai satu pengajaran buat dirinya.

"Ia menjadi pengajaran. Dalam hidup ini, manusia tak lari daripada buat kesalahan atau membuat orang lain terasa hati. Kita belajar menjadi insan yang lebih baik dan belajar buat keputusan yang lebih baik untuk diri sendiri dan keluarga.

"Semua orang ada pengalaman yang berbeza, buatlah keputusan yang terbaik lebih-lebih lagi bila kita ada anak. Jika kita tak kuat untuk diri sendiri, kita perlu kuat demi anak-anak supaya mereka tak perlu menjalani hidup yang penuh kekerasan," katanya.

Terdahulu, Diana mendedahkan pernah didera secara fizikal oleh bekas kekasih yang tidak didedahkan identitinya. Pendedahan itu dibuat menerusi program di YouTube.

Dalam perkembangan lain, Diana akan tampil dengan single bahasa Melayu tahun depan selepas mengeluarkan single bahasa Inggeris berjudul Shine On.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 5:48 PM