SUSPEK cuba melarikan diri namun berjaya diberkas pihak polis. Gambar kanan, suspek yang memecah masuk dirakam CCTV premis berkenaan. FOTO Hasrawati Syarifuddin
SUSPEK cuba melarikan diri namun berjaya diberkas pihak polis. Gambar kanan, suspek yang memecah masuk dirakam CCTV premis berkenaan. FOTO Hasrawati Syarifuddin
Nasrawati Syarifuddin


Tawau: Pengalaman meringkuk dalam penjara selama sembilan bulan atas dua kesalahan jenayah sebelum ini gagal menyedarkan seorang lelaki, sebaliknya dia terus mengulangi kesalahan sama selepas diberkas kerana terbabit dalam kes pecah kedai menjual alat komputer riba dan elektronik di bandar Sabindo, Rabu lalu.

Suspek berusia 36 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang menjalankan operasi memburu suspek pada jam 12.15 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pada 16 Julai lalu, pemilik kedai berkenaan di Fajar Komersial Kompleks membuat laporan polis selepas premisnya dipecah masuk dan beberapa barangan hilang.

“Antara barang yang hilang iaitu tiga unit komputer riba milik pelanggan dan syarikat, dua televisyen, tablet, telefon bimbit, pemancar LCD dan pembesar suara.

“Pemeriksaan melalui rakaman litar tertutup (CCTV) membawa kepada penahanan suspek terbabit dalam serbuan di hadapan kedai serbaneka 24 jam di bandar Sabindo, Rabu lalu. Ketika tangkapan itu dijalankan, suspek berada di atas motosikal dan cuba melarikan diri namun berjaya diberkas,” katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 7:30 AM