SAINGAN Melaka United di Stadium Hang Jebat lebih meriah dengan kehadiran penyokong bermula 6 April ini. FOTO Nazri Abu Bakar
SAINGAN Melaka United di Stadium Hang Jebat lebih meriah dengan kehadiran penyokong bermula 6 April ini. FOTO Nazri Abu Bakar
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Kesemua 1,596 pemegang pas bermusim Melaka United 2020 boleh menyaksikan saingan pasukan itu di gelanggang sendiri sepanjang Liga Malaysia 2021 bermula 6 April di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput.

Melaka United Football Club (MUFC) dalam kenyataannya berkata, keputusan itu bagi menghargai semua pemegang pas terbabit yang sekian lama menunggu untuk menyaksikan saingan Liga Malaysia.

Kemasukan membabitkan 4,500 penyokong namun mereka perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Malaysian Football League (MFL).

Sementara itu, MUFC berbesar hati dengan keputusan kerajaan dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk membenarkan kemasukan penyokong ke stadium selepas lebih setahun mereka tidak dibenarkan hadir sebagai langkah pencegahan penularan Covid -19.

"Kami sudah mendapat 'lampu hijau' daripada MFL untuk menerima kehadiran penyokong ke Stadium Hang Jebat bermula perlawanan ketujuh Liga Super menentang Penang FC pada 6 April ini.

"Sehubungan itu, harga tiket musim ini kekal RM15 untuk tempat duduk terbuka. Bagi tempat berbumbung (RM20 ) namun masih tidak dibuka disebabkan kapasiti penonton terhad yang akan digunakan untuk pemegang pas bermusim," katanya.

Penjualan 3,000 tempat duduk terbuka hanya akan dilaksanakan secara atas talian (online) di laman web Tickethotline.com.my dan tiada penjualan tiket secara fizikal seperti yang ditetapkan MFL.

Menurutnya, mesyuarat bersama Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi MUFC, Datuk Seri Sulaiman Md Ali juga bersetuju persatuan itu menanggung caj perkhidmatan internet dan caj tiket yang dikenakan oleh pihak Tickethotline.

Walau bagaimanapun, penyokong akan dikenakan caj 'Payment Gateaway' ketika melakukan transaksi pembelian.

Keputusan berkenaan bagi meringankan beban peminat selain Sulaiman yang mahukan lebih ramai peminat hadir ke stadium dan memberikan sokongan padu kepada pasukan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 1:15 PM