BATUK berpanjangan juga isyarat penyakit kronik lain.
BATUK berpanjangan juga isyarat penyakit kronik lain.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SUDAH enam minggu sembuh daripada jangkitan Covid-19, tetapi masih 'dibelenggu' dengan masalah batuk.

Ini antara senario bekas pesakit Covid-19 yang terpaksa menanggung 'penderitaan' itu hingga membuatkan mereka bimbang dengan tahap kesihatan.

Malah, apa yang menimbulkan tanda tanya, adakah ia sindrom Long Covid atau isyarat penyakit lain yang 'tersembunyi' dalam badan mereka.

Sihat minggu ini bersama Pakar Perubatan Klinikal Respiratori, Jabatan Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Nik Nuratiqah Nik Abeed untuk berkongsi lanjut mengenai perkara itu.

Dr Nik Nuratiqah berkata, untuk menentukan penyakit sebenar dihidapi bekas pesakit Covid-19, ia bergantung kepada gejala dialami sama ada ia (gejala) statik (tidak berubah) yang akan hilang dengan sendiri atau sebaliknya.

"Sekiranya gejala ini berpanjangan dan semakin teruk atau membawa kepada gejala lain, ia adalah petunjuk tidak baik. Oleh itu, mereka perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

"Bagi bekas pesakit Covid-19 yang mengalami batuk sehingga lapan minggu, mereka dikenal pasti menghidap gejala batuk berpanjangan.

"Manakala gejala batuk yang berterusan melepasi tempoh 12 minggu, ia diistilahkan sebagai sindrom Long Covid.

SALURAN pernafasan normal (kiri) manakala saluran pernafasan dengan asma (kanan).
SALURAN pernafasan normal (kiri) manakala saluran pernafasan dengan asma (kanan).

"Kenyataan ini disokong dengan beberapa kajian dilakukan oleh pakar perubatan mengenai sindrom Long Covid," katanya.

Beliau berkata, virus SARS-CoV-2 memasuki dalam badan seseorang adalah melalui hidung hingga paru-paru.

Katanya, virus ini menyerang saluran pernafasan yang menyebabkan keradangan, lalu menghasilkan mukus dan cecair likat (kahak).

"Dua cecair ini (mukus dan kahak) akan mengakibatkan batuk berpanjangan kepada bekas pesakit Covid bagi mengeluarkan cecair itu sebagai reaksi kepada virus yang masuk ke saluran pernafasan.

SERANGAN virus SARS-CoV-2 merosakkan tisu paru-paru menyebabkan batuk berpanjangan.
SERANGAN virus SARS-CoV-2 merosakkan tisu paru-paru menyebabkan batuk berpanjangan.

"Batuk berpanjangan ini berlaku juga disebabkan oleh tisu paru-paru dirosakkan virus SARS-CoV-2, yang mengambil masa lama untuk pulih," katanya.

Dr Nik Nuratiqah berkata, lazimnya masyarakat menganggap batuk berpanjangan terutama sindrom Long Covid adalah perkara biasa.

Kata Dr Nik Nuratiqah, bagaimanapun melalui pemeriksaan menyeluruh, mereka sebenarnya didapati menghidap penyakit lain seperti batuk kering (tibi), asma, penyakit pulmonari tersumbat kronik (COPD), barah paru-paru dan pneumonia.

"Apabila mendapat kes bekas pesakit Covid-19 mengalami batuk berpanjangan, kami akan membuat kiraan bilakah dia mengalami batuk. Ini untuk menentukan sama ada dia boleh mendapat sindrom Long Covid atau sebaliknya.

DR Nik Nuratiqah
DR Nik Nuratiqah

"Seterusnya, kami akan mengambil kahak bekas pesakit terbabit untuk pemeriksaan bagi melihat ada jangkitan kuman atau jangkitan baharu.

"Kemudian membuat ujian sinar-X dan sekiranya terlihat ada tompokan pada paru-paru, penilaian dilakukan bagi menentukan ia adalah barah atau penyakit lain," katanya.

Menurut Dr Nik Nuratiqah, ia diteruskan pula dengan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

Jika keputusan ujian ini menunjukkan bukan kesan daripada Long Covid, maka pemeriksaan lebih terperinci dilakukan ke atas bekas pesakit terbabit.

"Sekiranya hasil pemeriksaan mendapati bekas pesakit Covid-19 ini menghidap penyakit tibi, maka rawatan diberikan adalah sebagai pesakit tibi.

PENGHISAP vape berisiko mengalami gejala berterusan.
PENGHISAP vape berisiko mengalami gejala berterusan.

"Kebanyakan bekas pesakit Covid-19 yang saya rawat adalah lebih kepada penyakit asma. Kita membuat siasatan lanjut untuk mengetahui individu itu baru mendapat asma atau sudah lama menghidapinya. Batuk berpanjangan ini membantu kita ke arah mendiagnosis penyakit berkenaan," katanya.

Jelasnya, pneumonia dan tibi berlaku ke atas bekas pesakit Covid-19 kerana jangkitan virus berkenaan yang melemahkan sistem imun menyebabkan mereka lebih mudah terkena jangkitan pada paru-paru.

Ditanya mengenai jangka batuk pulih,

Dr Nik Nuratiqah berkata, terdapat kajian menunjukkan gejala ini pulih dalam tempoh sehingga 90 hari, berbulan-bulan, malah bertahun.

"Namun, kita tidak dapat menyatakan tempoh yang spesifik kerana ia masih dalam peringkat kajian.

"Tahap antibodi individu tidak boleh menentukan tempoh batuk dialaminya lama atau singkat, tetapi dipengaruhi beberapa faktor lain.

"Faktor pertama ialah dijangkiti Covid-19 pada usia lebih 50 tahun. Kajian menunjukkan, pesakit Covid-19 pada usia ini ada kemungkinan mengalami sindrom Long Covid atau gejala itu berterusan adalah tinggi," katanya.

Dr Nik Nuratiqah berkata, faktor kedua ialah obesiti. Individu dengan masalah obesiti cenderung mendapat batuk lebih lama.

"Faktor ketiga ialah perokok dan penghisap vape. Kajian menunjukkan perokok atau penghisap vape lebih mudah mendapat gejala (batuk) yang berterusan.

"Faktor terakhir adalah pesakit Covid-19 kategori tiga yang dimasukkan ke hospital dan menggunakan alat bantuan pernafasan. Mereka dilihat memerlukan lebih banyak masa untuk kembali sihat," katanya.

Menurut Dr Nik Nuratiqah, tiada rawatan spesifik untuk merawat bekas pesakit Covid-19 yang mengalami sindrom Long Covid.

"Bagaimanapun, ada kajian menyatakan individu mengalami batuk berterusan hingga menjejaskan kesihatan mental akan diberikan ubat opiat pada dos rendah sebagai penenang dan menahannya daripada batuk.

"Mereka juga diajar cara untuk menghilangkan batuk melalui pernafasan dengan menahan batuk.

"Perkara penting berkaitan dengan Long Covid ialah mengambil langkah pencegahan daripada mengalami sindrom berkenaan.

"Jika tidak dapat mengelakkannya, boleh melakukan rawatan lain seperti minum air secukupnya, mengambil vitamin C dan mengamalkan makanan berkhasiat.

"Mereka yang sudah mengambil suntikan vaksin, berisiko rendah mendapat sindrom Long Covid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 7:00 AM