Nor ‘Asyikin Mat Hayin


WABAK koronavirus baharu diklasifikasikan sebagai sangat patogenik (boleh menyebabkan kesan teruk) kerana komplikasinya bukan sekadar demam selesema biasa, tetapi mampu menyebabkan radang paru-paru yang boleh mengakibatkan kematian.

Ini kerana, berdasarkan penemuan sehingga kini, mutasi pada virus baharu itu menyasarkan sel organ paru-paru sebagai tempat membiak dan secara tidak langsung membunuh sel dalam organ berkenaan.

Apabila sel paru-paru cedera dan mati (gagal berfungsi), ia menyebabkan paru-paru secara keseluruhan tidak dapat menjalankan fungsi asasnya iaitu membekalkan oksigen ke badan manusia.

Ini mengakibatkan komplikasi lebih teruk sehingga boleh menyebabkan kematian.

Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Penyakit Berjangkit, Dr Muhamad Yazli Yuhana berkata, kod genetik koronavirus baharu ini hampir sama dengan kod Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) korona virus pada 2002.

KAKITANGAN kesihatan memantau keadaan orang ramai menggunakan mesin pengimbas suhu badan. FOTO arkib NSTP
KAKITANGAN kesihatan memantau keadaan orang ramai menggunakan mesin pengimbas suhu badan. FOTO arkib NSTP

“Pesakit yang dijangkiti SARS turut mengalami gejala sama iaitu demam berpanjangan dan keradangan paru-paru yang menyebabkan kesukaran bernafas.

“Pesakit memerlukan mesin bantuan pernafasan kerana paru-parunya tidak mampu berfungsi secara optimum untuk membekalkan oksigen ke seluruh badan,” katanya.

Dr Muhamad Yazli berkata, sehingga kini, wabak itu dipercayai menjangkiti individu lain menerusi air titisan mulut ketika bersin atau batuk yang dilepaskan pesakit di sekelilingnya iaitu dalam jarak kurang dua meter.

“Melalui pengalaman berdepan wabak SARS-CoV dan MERS-CoV sebelum ini, kita menjangkakan wabak koronavirus baharu turut memberi risiko lebih tinggi kepada petugas barisan depan iaitu pegawai perubatan, jururawat juga ahli keluarga yang sentiasa mendampingi serta menjaga pesakit di rumah.

“Rakyat Malaysia dan negara lain yang tidak menetap di Wuhan atau mana-mana bahagian di China tidak perlu gusar serta panik.

“Ini kerana risiko mereka mendapat jangkitan ini adalah rendah melainkan jika mengunjungi negara berkenaan atau berada berdekatan pesakit yang membawa virus ini,” katanya.

Menurut Dr Muhamad Yazli, tidak dinafikan segelintir masyarakat bimbang kemungkinan dijangkiti wabak ini melalui barangan diimport dari China.

ORANG ramai memakai penutup mulut dan hidung di tempat awam.
ORANG ramai memakai penutup mulut dan hidung di tempat awam.

“Tidak perlu bimbang kerana tiada bukti menunjukkan wabak ini menjangkiti manusia melalui barangan dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut memberikan jaminan perkara itu.

“Virus koronavirus baharu ini memerlukan sel pada organ manusia seperti paru-paru untuk terus hidup dan bergiat aktif.

“Virus ini tidak mampu berada lama pada suhu terlampau sejuk, contoh ketika penghantaran dalam penerbangan,” katanya.

Menurut Dr Muhamad Yazli, koronavirus seperti influenza dan virus pernafasan lain yang sudah lama wujud, tetapi hanya menyebabkan penyakit biasa iaitu demam dan selesema biasa.

Katanya, virus korona ini mula mendapat perhatian masyarakat dunia apabila SARS koronavirus melanda selatan China pada 2002.

“Sebelum ini, penyakit koronavirus lebih kerap menjangkiti haiwan dan sebab itu tidak banyak kajian ke atas virus berkenaan dibuat kerana kurangnya jangkitan serius pada manusia.

“Namun, apabila SARS muncul pada 2002, saintis menemui mutasi unik pada virus koronavirus ini yang mengakibatkan penyakit membawa maut pada manusia,” katanya.

Dr Muhamad Yazli berkata, ketika penularan SARS, kerajaan China mengambil langkah mengawal penularan pada haiwan pembawa virus ini dan ia mengekang penularannya sehingga hari ini.

Menurut Dr Muhamad Yazli, pada 2012, muncul pula wabak MERS-CoV iaitu sejenis virus korona yang bermutasi yang turut mampu menyebabkan kematian.

Insiden itu mendorong lebih ramai saintis membuat kajian mengenai virus terbabit.

“Sehingga kini, MERS-CoV masih wujud walaupun tidak banyak kes berlaku disebabkan ada jangkitan daripada unta dan kelawar di negara Asia Barat.

“Sukar hendak bunuh semua haiwan ini. Bagaimanapun, pada penghujung tahun lalu, satu lagi virus daripada keluarga koronavirus muncul iaitu koronavirus baharu yang menjadi ancaman baharu terhadap kesihatan manusia,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan pemerhatian hingga hari ini, kadar kematian yang dilaporkan tidak setinggi wabak SARS dan MERS-CoV sebelum ini.

“Ini kerana, setakat ini (minggu lalu), hanya 400 atau 0.02 peratus pesakit daripada keseluruhan kes wabak itu meninggal dunia.

“Berdasarkan perspektif saya, terlalu awal mengatakan pesakit meninggal dunia kerana koronavirus baharu, tetapi mungkin kekurangan mesin bantuan pernafasan di hospital menyebabkan mereka meninggal dunia,” katanya.

Dr Muhamad Yazli berkata, walaupun trend kematian wabak koronavirus baharu adalah rendah dan tidak seteruk SARS serta MERS-CoV, tetapi trend berjangkit lebih tinggi daripada dua penyakit ini.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 6:00 AM