BATUK ialah satu proses membuang benda asing dalam saluran pernafasan.
BATUK ialah satu proses membuang benda asing dalam saluran pernafasan.
Nor 'Asyikin Mat Hayin

"Doktor, saya hairan, setiap kali makan makanan bergoreng atau buah sitrus, saya pasti terbatuk.

"Ia membuatkan saya tidak selesa dan terpaksa mengurangkan pengambilan makanan kegemaran iaitu ayam goreng untuk mengelakkan batuk," luah Rosnani Mazlan, 35.

Situasi dialami Rosnani mungkin berlaku akibat alahan atau terlalu sensitif terhadap minyak pada makanan bergoreng.

Batuk didefinisikan sebagai proses membuang benda asing yang dikenal pasti oleh reseptor di saluran pernafasan, agar ia boleh dikeluarkan daripada sistem pernafasan.

Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru Pusat Perubatan Sunway Velocity, Kuala Lumpur, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa berkata, saluran pernafasan ada kalanya menganggap makanan bergoreng sebagai keradangan atau benda asing bagi segelintir individu yang mempunyai saluran pernafasan sensitif atau dikenali sebagai 'hyperreactive airway'.

"Ada kalanya, masalah batuk ini boleh disebabkan oleh penyakit reflux apabila makanan dimakan sepatutnya turun ke saluran pemakanan dan terus ke perut, tetapi penyakit ini (reflux) menyebabkan makanan itu masuk ke saluran pernafasan. Lalu mengakibatkan keradangan seterusnya terjadi batuk," katanya.

Dr Nurul Yaqeen berkata, kewujudan benda asing pada saluran pernafasan adalah satu daripada punca batuk.

Menurutnya, terdapat benda asing yang tidak sepatutnya berada dalam saluran pernafasan, tetapi ia berada di saluran pernafasan berkenaan.

"Sekiranya ada (benda asing dalam saluran pernafasan), reseptor ini akan mengesan kehadiran benda asing itu.

"Seterusnya, reseptor ini akan menghantar maklumat ke otak dan otak akan memberikan maklumat balas.

"Kemudian maklum balas ini disampaikan kepada diafragma (bahagian otot bawah paru-paru) dan otot interkostal (di luar rongga paru-paru) yang membantu proses pernafasan," katanya.

Menurut Dr Nurul Yaqeen, seterusnya otot interkostal dan diafragma tadi akan mengecut dan menjadikan tekanan tinggi dalam paru-paru untuk memudahkan proses batuk berlaku.

Katanya, punca kedua batuk disebabkan lapisan dalam (mucosa) saluran pernafasan kering.

"Ini terjadi apabila suhu di sekeliling terlalu kering dan individu terbabit kurang minum air.

"Apabila sel lapisan dalam (mucosa) saluran pernafasan kering, ia boleh mencetuskan batuk," katanya.

Menurut Dr Nurul Yaqeen, disebabkan itu, masalah batuk dapat dikurangkan setelah diberikan air minuman.

"Punca ketiga ialah masalah keradangan di saluran pernafasan kerana jangkitan bakteria, virus dan kulat, ia juga boleh mengakibatkan batuk," katanya.

Menyentuh mengenai jenis batuk, Dr Nurul Yaqeen berkata, ia boleh dikategorikan mengikut jangka waktu.

"Batuk akut berlaku dalam tempoh singkat iaitu selama beberapa hari hingga lapan minggu manakala batuk kronik ialah batuk erpanjangan iaitu lebih lapan minggu.

"Punca setiap jenis batuk adalah berbeza. Selain mengikut jangka waktu, ia boleh diklasifikasikan kepada batuk berkahak atau kering," katanya.

Jelas Dr Nurul Yaqeen, batuk kering tidak mengeluarkan sebarang kahak yang terjadi disebabkan keradangan.

Bahkan juga, kerana ada benda asing di saluran pernafasan.

"Sementara itu, batuk berkahak, kebiasaannya berlaku jika saluran pernafasan ingin mengeluarkan habuk atau benda asing.

JUMPA doktor pakar paru-paru jika batuk berpanjangan.
JUMPA doktor pakar paru-paru jika batuk berpanjangan.

"Kahak di saluran pernafasan berfungsi untuk memudahkan pengeluaran benda asing yang terperangkap di saluran pernafasan," katanya.

Kata Dr Nurul Yaqeen, ada juga batuk berturutan yang memerlukan individu menarik nafas selepas batuk.

"Contoh, batuk kokol apabila pesakit mengalami batuk berterusan dan bersiri sebanyak lima hingga enam kali.

"Kemudian diikuti tarikan nafas panjang pada penghujung batuk kerana banyak udara dikeluarkan semasa batuk," katanya.

Katanya, ada juga batuk seakan-akan anjing menyalak disebabkan intensitinya sangat tinggi.

Dalam pada itu, Dr Nurul Yaqeen berkata, batuk ialah sesuatu proses fisiologi yang baik, tetapi jika berlaku untuk suatu jangka masa panjang, kita perlu mengetahui punca dan merawatnya.

"Selain itu pesakit perlu menjelaskan perkara sebenar kepada doktor seperti jangka masa batuk dan adakah ia berkahak atau sebaliknya.

"Ini kerana batuk juga mungkin gejala penyakit terutamanya sekiranya batuk berlarutan dalam tempoh yang lama.

"Jika dapat mengenal pasti puncanya maka rawatan bersesuaian dapat diberikan dan peluang untuk sembuh juga tinggi," katanya.

Dr Nurul Yaqeen berkata, cara merawat batuk bergantung kepada punca batuk itu.

Sekiranya punca batuk kerana jangkitan bakteria, maka pesakit perlu diberikan antibiotik untuk merawatnya.

"Kebiasaannya, antibiotik diberikan untuk tempoh tiga hingga lima hari, malah boleh menjangkau sehingga seminggu atau dua minggu.

"Ia bergantung kepada tahap keseriusan jangkitan bakteria itu dan jenis antibiotik diberikan.

"Jika punca batuk kerana jangkitan virus, maka pesakit perlu diberikan rawatan antiviral. Sekiranya disebabkan jangkitan kuman tibi, pesakit perlu mengambil ubat tibi, sekurang-kurangannya selama enam bulan," katanya.

Dr Nurul Yaqeen berkata, pesakit diberikan ubat antikulat jika batuk itu berpunca daripada jangkitan kulat.

Selain itu, jika batuk kerana radang seperti bronkitis atau saluran pernafasan sensitif, maka pesakit memerlukan inhaler dan ubat anti-radang.

"Bagi batuk yang berpunca daripada barah paru-paru, penilaian harus dilakukan untuk mengenal pasti tahap barah berkenaan.

"Sekiranya peringkat awal iaitu tahap satu dan dua, pesakit perlu menjalani pembedahan membuang sel barah terbabit.

"Namun begitu, sekiranya sudah mencapai tahap akhir iaitu tiga dan empat, pesakit perlu diberikan rawatan kemoterapi atau radioterapi," katanya.

Menurut Dr Nurul Yaqeen, ubat anti reflux diberikan selama enam minggu jika batuk berpunca daripada penyakit berkenaan.

"Berbincanglah dengan doktor pakar paru-paru sekiranya berdepan masalah batuk berpanjangan yang tidak sembuh-sembuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 7:00 AM