MERUJUK pada gejala berterusan melepasi tempoh empat minggu jangkitan.
MERUJUK pada gejala berterusan melepasi tempoh empat minggu jangkitan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MESKIPUN sudah pulih daripada 'penderitaan' jangkitan Covid-19 kategori empat dan lima, segelintir bekas pesakit terpaksa bergelut pula dengan sindrom 'Long Covid'.

Gejala yang dialami adalah seperti kelesuan, kesukaran bernafas, kesukaran tidur nyenyak, batuk berpanjangan dan masalah keresahan.

Keadaan ini menyebabkan mereka tidak dapat menjalani kehidupan secara normal seperti sedia kala hingga memberi impak kepada kualiti kehidupan.

Ketua Jabatan Perubatan Rehabilitasi Hospital Sungai Buloh, Dr Akmal Hafizah Zamli berkata, berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh 'British National Institute of Care Excellence', Long Covid merujuk kepada kewujudan gejala berterusan melepasi tempoh empat minggu jangkitan.

Menurutnya, sekiranya gejala ini berterusan melepasi tempoh 12 minggu, ia diistilahkan sebagai 'Post Covid Syndrome'.

"Kewujudan gejala ini mestilah tanpa ada sebarang diagnosis alternatif lain yang dapat menjelaskan kehadirannya.

SINDROM Long Covid dialami bekas pesakit Covid-19 kategori empat dan lima.
SINDROM Long Covid dialami bekas pesakit Covid-19 kategori empat dan lima.

"Ia boleh jadi gejala yang sama dialami individu ketika fasa awal jangkitan atau wujud gejala baharu selepas pulih daripada jangkitan.

"Atau bagi sesetengah individu, gejala yang sudah pulih wujud kembali selepas beberapa tempoh jangkitan," katanya.

Dr Akmal Hafizah berkata, bekas pesakit yang mengalami jangkitan ringan Covid-19 termasuk kategori satu dan dua, juga berpotensi mengalami Long Covid.

Jelas Dr Akmal Hafizah, sehingga kini tiada rawatan atau ubat-ubatan yang khusus untuk merawat Long Covid.

"Rawatan yang ada pada masa ini ialah untuk melegakan gejala ('symptomatic relief').

"Contoh, jika gejala kesakitan pada sistem muskuloskeletal berpanjangan, mungkin bekas pesakit memerlukan rawatan ubat-ubatan bagi mengurangkan kesakitan atau rawatan rehabilitasi seperti fisioterapi.

RAWATAN sindrom Long Covid pada masa ini ialah untuk melegakan gejala.
RAWATAN sindrom Long Covid pada masa ini ialah untuk melegakan gejala.

"Sekiranya berlaku kenaikan suhu badan atau demam, rawatan bagi menurunkan suhu badan akan dipreskripsi dan sebagainya.

"Rujukan kepada bidang kepakaran berkaitan juga akan dilakukan, sekiranya berindikasi bagi memastikan pesakit mendapat rawatan klinikal yang optimum," katanya.

Dr Akmal Hafizah berkata, gejala Long Covid boleh dibahagikan kepada gejala umum seperti kelesuan, kesakitan dan kenaikan suhu badan.

Gejala khusus pula bergantung kepada sistem tubuh yang terkesan akibat jangkitan.

"Kesan dominan jangkitan Covid-19 adalah kepada sistem pernafasan atau pulmonari yang menyebabkan pesakit boleh mengalami kesukaran bernafas terutama ketika melakukan aktiviti atau batuk berterusan.

"Gejala akibat kesan ke atas sistem 'extra-pulmonari' juga boleh berlaku.

‘BRAIN fog’ iaitu lemah daya ingatan dan kesukaran menumpukan perhatian antara gejala Long Covid
‘BRAIN fog’ iaitu lemah daya ingatan dan kesukaran menumpukan perhatian antara gejala Long Covid

"Contoh, bagi sistem jantung dan pembuluh darah, pesakit boleh mengalami kesakitan serta kesempitan di bahagian dada atau degupan jantung laju," katanya.

Kata Dr Akmal Hafizah, antara gejala yang boleh terjadi akibat kesan kepada sistem saraf adalah seperti kesukaran tidur nyenyak, kebas di hujung jari tangan dan kaki, pening serta sakit kepala.

"Kesan seperti lemah daya ingatan dan kesukaran menumpukan perhatian atau diistilahkan 'brain fog' juga berpotensi dialami bekas pesakit ini.

"Kesan ke atas sistem psikologikal dengan gejala seperti keresahan atau kemurungan juga boleh terjadi.

"Contoh gejala membabitkan sistem muskuloskeletal pula seperti kesakitan otot dan kelemahan anggota tubuh," katanya.

Dr Akmal Hafizah berkata, kajian berkaitan Long Covid yang dilaporkan di Eropah, AS dan China menunjukkan prevalen Long Covid adalah serendah 33 peratus (AS) hingga setinggi 87.6 peratus (Itali).

DR Akmal Hafizah
DR Akmal Hafizah

"Hasil kajian ini menunjukkan kelesuan adalah gejala umum paling kerap dialami mereka yang mengalami sindrom Long Covid.

"Dapatan kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media 11 Jun lalu, juga seiring dengan dapatan hasil kajian di luar negara," katanya.

Menurut Dr Akmal Hafizah, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengetengahkan konsep 3R dalam menangani isu Long Covid iaitu 'recognition', research' dan 'rehabilitation'.

"Untuk konsep 'recognition', KKM sudah membentuk garis panduan membabitkan pelbagai kepakaran perubatan bagi mengenal pasti gejala Long Covid.

"Ini supaya rujukan bagi rawatan klinikal optimum dan rawatan susulan pasca jangkitan dapat dilakukan.

"Bagi konsep 'research', kajian membabitkan pelbagai disiplin kepakaran KKM kini dilakukan bagi memahami lebih jelas kesan Long Covid kepada tubuh manusia serta rawatan berkaitan.

"Konsep 'rehabilitation pula, fasiliti di KKM tersedia bagi memberikan rawatan khusus kepada bekas pesakit Covid-19 yang terkesan," katanya.

Kata Dr Akmal Hafizah, contoh perkhidmatan rehabilitasi khusus bagi pesakit Covid-19 di Hospital Sungai Buloh sudah dimulakan pada 6 November lalu.

"Hingga kini, 1,443 pesakit sudah mendapat perkhidmatan secara tele konsultasi manakala 995 pesakit yang lain menerima perkhidmatan bersemuka.

"Diketuai Jabatan Perubatan Unit Penyakit Berjangkit, perkhidmatan ini membabitkan pelbagai disiplin kepakaran termasuk Unit Geriatrik, Unit Neurologi, Jabatan Psikiatri, Unit Respiratori UITM, Jabatan Perubatan Rehabilitasi, Unit Fisioterapi dan Unit Pemulihan Cara Kerja.

"Kita memperkasa pesakit dengan kemahiran dan teknik tertentu. Contoh, bagi intervensi kelesuan, kaedah dilakukan ialah senaman penafasan dalam, senaman meningkatkan stamina, ketahanan, 'energy conservation' dan 'pacing'.

"Kita juga sudah memulakan program rehabilitasi pulmonari seawal pesakit masih berada di wad, iaitu peringkat awal melepasi fasa akut Covid-19 di wad 'off-tagged' ketika mereka masih memerlukan rawatan sokongan oksigen," katanya.

Dr Akmal Hafizah berkata, program rehabilitasi pulmonari ini membantu pemulihan optimum sistem pernafasan bekas pesakit yang mengalami sindrom Long Covid memandangkan kesan dominan jangkitan Covid-19 adalah terhadap sistem pernafasan.

"Komponen paling penting program rehabilitasi pulmonari adalah senaman pernafasan dalam bagi meningkatkan kapasiti ventilasi paru-paru," katanya.

Menurut Dr Akmal Hafizah, selain itu, senaman menguatkan otot, peningkatan stamina atau ketahanan adalah elemen yang juga penting bagi membantu memulihkan fungsi tubuh pesakit ke tahap paling optimum.

"Tempoh intervensi adalah berbeza bagi setiap individu, bergantung kepada kemampuan dan kapasiti mereka ketika mengikuti program rehabilitasi pulmonari di peringkat awal.

"Pemantauan rapi terutamanya kadar oksigen dalam darah, respons kardiovaskular dan tanda-tanda penting ketika menjalani aktiviti fizikal akan dilakukan, terutama di peringkat awal program bagi memastikan kesesuaian serta keselamatan pesakit.

"Intervensi awal sebegini dapat membantu memperkasakan pesakit dengan kemahiran dan teknik tertentu agar pemulihan terutamanya pada sistem pernafasan boleh berlaku secara optimum," katanya.

Dalam pada itu, Dr Akmal Hafizah menasihati bekas pesakit Covid-19 yang mengalami sindrom Long Covid supaya segera berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan atau hospital berhampiran untuk penilaian kesihatan.

"Sekiranya berindikasi, individu itu akan dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan kepakaran berkaitan termasuk rehabilitasi untuk memastikan rawatan klinikal optimum dapat diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 6:20 AM