ELAKKAN sedentari kerana memberi kesan tidak baik kepada kesihatan. - FOTO Google
ELAKKAN sedentari kerana memberi kesan tidak baik kepada kesihatan. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


'Badan aku dah 'lemau' sebab lama tidak bersenam. Aku bercadang hendak joging hujung minggu ini'.

Ini antara ayat popular yang sering digunakan, namun tetap tidak melakukan aktiviti itu kerana mahu berehat selepas penat bekerja pada hujung minggu.

Alasan seperti ini menyebabkan ramai yang terperangkap dengan gaya hidup sedentari atau tidak aktif terutama ketika pandemik Covid-19.

Ketika masa terluang, lebih banyak duduk sama ada menonton televisyen, menggunakan komputer atau bermain permainan video.

Ditambah pula banyak pekerjaan cenderung menjadikan individu lebih sedentari seperti duduk dan berada di meja kerja dalam tempoh lama.

Gaya hidup tidak aktif boleh memberi kesan kepada badan seperti sistem imun tidak berfungsi dengan baik, peredaran darah lemah, tulang menjadi lemah, kehilangan kekuatan dan ketahanan otot serta mudah mendapat banyak keradangan.

Sedentari juga boleh menjadi penyebab banyak penyakit kronik dan meningkatkan risiko beberapa penyakit jika tidak melakukan senaman secara berkala.

i. Obesiti

Masalah ini terjadi apabila mengambil banyak kalori berbanding digunakan seperti melakukan pergerakan dan aktiviti fizikal.

Keseimbangan di antara kalori yang diambil dan digunakan berbeza bagi setiap individu.

Faktor yang berkemungkinan mempengaruhi berat badan individu termasuk genetik, pengambilan makanan tinggi kalori dan gaya hidup tidak aktif.

Obesiti meningkatkan risiko kencing manis, penyakit jantung, angin ahmar, masalah lutut (arthritis) dan sebahagian barah.

Sekiranya individu obesiti dapat mengurangkan lima hingga 10 peratus berat badan, mereka boleh melewatkan atau mencegah penyakit berkenaan.

ii. Penyakit jantung

Punca biasa penyakit jantung adalah disebabkan oleh arteri koronari yang membekalkan darah ke jantung sempit atau tersumbat.

Senaman berkala dapat memberi manfaat kesihatan secara keseluruhannya termasuk jantung.

Lakukan senaman intensiti sederhana sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu.

Selain itu, kawal tekanan darah, turunkan tahap kolesterol dan jangan menghisap rokok.

iii. Tinggi kolesterol

Kolesterol ialah sejenis lemak dalam badan yang mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri.

Tubuh memerlukan sedikit kolesterol untuk menghasilkan hormon, vitamin D dan membantu mencernakan makanan.

Namun, jika terdapat kolesterol dalam darah, ia boleh membentuk plak yang melekat pada dinding arteri dan seterusnya menyebabkan penyakit arteri koronari.

Punca masalah tinggi kalori, selain kurang melakukan aktiviti fizikal adalah disebabkan tabiat pemakanan tidak sihat dan merokok.

BOLEH lakukan senaman regangan selepas sedentari. - FOTO Google
BOLEH lakukan senaman regangan selepas sedentari. - FOTO Google

iv. Sindrom metabolik

Sindrom metabolik ialah kumpulan faktor risiko penyakit seperti jantung, kencing manis jenis dua dan darah tinggi.

Kebiasaannya, individu yang mengalami masalah sindrom metabolik ini mempunyai dua jenis penyakit terbabit.

Sindrom metabolik mempunyai beberapa punca yang bertindak bersama-sama seperti berat badan berlebihan, gaya hidup tidak aktif, kerintangan insulin, usia dan genetik.

Individu yang mempunyai sindrom metabolik juga sering mengalami masalah pembekuan darah dan keradangan berlebihan pada badan.

v. Meningkatkan tekanan

Individu mengalami tekanan akan berasa sedih, kurang berminat melakukan aktiviti harian, makan berlebihan, rasa terlalu penat, tidak boleh tidur dan putus harapan.

Gejala yang dialami ini berterusan dan mengganggu rutin harian.

Tekanan sedikit atau sederhana adalah baik kerana boleh menjadi faktor pendorong atau motivasi kepada individu untuk meningkatkan produktiviti.

Bagaimanapun, tekanan berlebihan untuk jangka masa panjang dan tidak dapat ditangani boleh menyebabkan kesan negatif seperti memudaratkan kesihatan serta risiko penyakit.

Senaman terbukti menghasilkan pelbagai hormon baik untuk kesihatan.

Antaranya, hormon endorphin dikaitkan dengan perasaan gembira.

v. Osteoporosis

Bermaksud tulang berliang dan menjadi rapuh. Ia adalah penyakit tulang rapuh yang terjadi apabila tubuh kehilangan banyak jisim tulang atau penghasilan tulang yang sedikit atau kedua-duanya sekali.

Gaya hidup tidak aktif iaitu kurang melakukan senaman atau rehat dalam tempoh lama boleh melemahkan tulang dan seterusnya meningkatkan risiko masalah osteoporosis.

Senaman setiap hari dapat meningkatkan otot yang berperanan menyokong kekuatan tulang.

vi. Angin ahmar

Keadaan berlaku disebabkan penyempitan salur darah ke bahagian otak dan salur darah pecah.

Bagi individu yang tidak mengamalkan senaman, darah hanya berjalan pada salur darah kecil dan bukan salur darah besar untuk mendapatkan fungsi menyeluruh pada badan.

Senaman dapat melancarkan peredaran darah ke seluruh badan.

Sekiranya anda bukan individu aktif, boleh memulakan senaman secara perlahan-lahan dan meningkatkannya dengan berperingkat.

Adalah lebih baik dapat melakukan senaman secara kerap, tetapi jangan lakukan secara berlebihan yang mengatasi kemampuan diri.

Terdapat banyak cara untuk bersenam, tetapi paling penting adalah memilih aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan dan tahap kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 6:35 AM