AMALAN pemakanan baik pastikan keperluan zat dipenuhi bagi wanita seiring fasa kehidupan dari alam remaja hingga usia emas.
AMALAN pemakanan baik pastikan keperluan zat dipenuhi bagi wanita seiring fasa kehidupan dari alam remaja hingga usia emas.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


ANTARA aspek utama menyumbang kepada kesejahteraan tubuh dan kesihatan keseluruhan bagi wanita adalah pemakanan yang baik.

Ini kerana tubuh wanita mengalami banyak perubahan fisiologi dan biologi seiring dengan fasa kehidupannya dari alam remaja hingga yang paling getir ketika hamil, menyusukan bayi dan sehingga usia emas.

Namun perubahan fisiologi dan tuntutan peranan sebagai seorang ibu, isteri, pekerja dan masyarakat ada kalanya turut mempengaruhi keperluan pemakanan.

Menurut perkongsian info di laman portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan amalan pemakanan yang baik, seseorang wanita berupaya mencegah atau mengurangkan risiko pelbagai masalah kesihatan seperti anemia, osteoporosis dan penyakit kronik seperti obesiti, tekanan darah tinggi, diabetes (kencing manis) dan penyakit jantung.

Justeru, untuk kekal sihat, anda perlu ambil makanan mengikut keperluan kalori disarankan bagi mengelak masalah berlebihan atau kekurangan zat makanan.

Pengambilan kalori harian juga perlu diseimbangkan dengan aktiviti fizikal harian.

Jika kalori daripada makanan diambil tidak digunakan, ia akan disimpan sebagai lemak dalam badan dan ini boleh menyebabkan masalah kegemukan atau obesiti.

Obesiti antara faktor risiko utama penyakit kronik seperti diabetes (kencing manis), tekanan darah tinggi, kanser dan penyakit jantung.

MENGEKALKAN berat badan yang ideal dan sihat berpandukan IJT atau BMI penting untuk kesihatan seseorang wanita.
MENGEKALKAN berat badan yang ideal dan sihat berpandukan IJT atau BMI penting untuk kesihatan seseorang wanita.

Untuk makanan harian pula, disarankan mengikuti panduan Piramid Makanan Malaysia iaitu panduan mudah bagi individu mempelbagaikan makanan harian mengikut jumlah kalori yang disarankan.

Ambil sajian makanan yang betul seperti disyorkan berdasarkan keperluan kalori.

Selain itu, menurut MyHealth, mengekalkan berat badan yang ideal dan sihat berpandukan Indeks Jisim Tubuh (IJT) atau 'body mass index' (BMI) juga penting untuk kesihatan seseorang wanita.

Ini kerana berat badan berlebihan berat badan atau obesiti meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit kronik.

Selain itu, kurang berat badan juga boleh menjejaskan kesihatan wanita.

PENGAMBILAN kalori juga perlu diseimbangkan dengan aktiviti fizikal harian.
PENGAMBILAN kalori juga perlu diseimbangkan dengan aktiviti fizikal harian.

Jika kurang berat badan, tingkatkan dengan menambah pengambilan makanan dan lakukan senaman untuk membantu meningkatkan selera makan.

Andai berlebihan berat badan pula, tingkatkan aktiviti fizikal untuk membakar lemak dalam badan dan elak pengambilan makanan berkalori tinggi seperti makanan tinggi gula, lemak dan minyak serta makanan bergoreng.

Apapun, dapatkan nasihat pakar pemakanan atau pegawai perubatan jika mengalami masalah berat badan.

Dalam pada itu, sebagai wanita, anda perlu menjalani gaya hidup aktif dengan melakukan pelbagai aktiviti untuk membakar kalori yang diambil.

Elakkan aktiviti sedentari (yang tidak membakar kalori) seperti menonton televisyen, menggunakan komputer dalam tempoh yang lama dan menggunakan eskalator atau lif.

Untuk menjadi lebih aktif, lakukan aktiviti berikut pada bila-bila masa iaitu menaiki tangga daripada menggunakan lif atau eskalator, banyakkan berjalan kaki, melakukan kerja rumah secara manual atau berkebun.

PERUBAHAN fisiologi turut mempengaruhi keperluan pemakanan.
PERUBAHAN fisiologi turut mempengaruhi keperluan pemakanan.

Sementara itu, beri perhatian kepada nutrien penting untuk kesihatan tubuh wanita.

Ini kerana terdapat zat-zat tertentu yang penting untuk wanita dan sekiranya pengambilannya tidak mencukupi, ia boleh mengganggu kesihatan.

Antaranya zat besi yang memainkan peranan penting dalam pengangkutan oksigen daripada paru-paru ke tisu badan serta diperlukan untuk pembentukan hemoglobin atau sel darah merah.

Kekurangannya boleh menyebabkan masalah anemia, iaitu kurang darah merah.

Keperluan zat besi adalah tinggi ketika wanita mengandung dan menyusukan anak manakala sumber utamanya daging merah, hati, kerang serta sayur-sayuran berdaun hijau.

Selain itu, kalsium untuk kesihatan tulang dan asid folik juga penting untuk wanita sebagai persediaan kehamilan kerana kekurangannya boleh menyebabkan kecacatan janin.

PADA peringkat menopaus, wanita berisiko mengalami penyakit kronik disebabkan perubahan hormon termasuk osteoporosis.
PADA peringkat menopaus, wanita berisiko mengalami penyakit kronik disebabkan perubahan hormon termasuk osteoporosis.

Asid folik juga diperlukan untuk pembentukan sel darah merah dan koenzim untuk sintesis 'deoxyribonucleic acid' (DNA) dan 'ribonucleic acid' (RNA).

Untuk mendapatkannya daripada sumber makanan, pelbagaikan masakan mengandungi hati, susu, daging merah, bijirin dan sayur berdaun hijau.

Terdapat perubahan fasa fisiologi wanita yang mempengaruhi keperluan pemakanan iaitu:

Remaja:

Di peringkat ini, remaja wanita akan mengalami akil baligh, pertumbuhan badan yang pesat dan kedatangan haid. Beberapa zat penting seperti zat besi, kalsium dan pengambilan kalori perlu diberi perhatian.

Pra hamil:

Tubuh wanita memerlukan zat-zat penting bagi persediaan untuk kehamilan.

Kehamilan:

Pada peringkat ini, keperluan zat bertambah untuk menampung pertumbuhan janin dan juga persediaan untuk menyusukan bayi.

Laktasi/menyusukan bayi:

Keperluan zat bertambah untuk menghasilkan susu yang berkualiti dan mencukupi untuk bayi.

Menopaus:

Wanita berisiko untuk mengalami penyakit kronik disebabkan perubahan hormon. Pada peringkat ini, masalah kerapuhan tulang (osteoporosis) juga boleh berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 6:30 AM