PIRAMID Fizikal Aktiviti.
PIRAMID Fizikal Aktiviti.
Dr Zawiah Hashim & Dr Chin Yit Siew - Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO)

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kekurangan aktiviti fizikal menduduki tangga keempat sebagai penyebab utama penyakit dan kecacatan seluruh dunia.

Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 menunjukkan satu pertiga dalam kalangan dewasa di Malaysia tidak aktif. Banyak kajian menunjukkan senaman secara konsisten boleh mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, diabetes jenis dua, strok, dan kanser.

Tinjauan terbabit mendapati lebih 60 peratus golongan dewasa tidak aktif. Namun dilihat lebih terperinci, majoriti golongan dewasa hanya aktif secara minimum. Alasan yang sering diberikan untuk mengelak daripada melakukan aktiviti fizikal ialah aktiviti fizikal terlalu sukar, tidak memberi faedah, tidak selesa, berbahaya atau amnya tidak menarik.

NHMS juga melaporkan golongan dewasa yang mempunyai tahap pendidikan formal lebih aktif secara fizikal berbanding mereka yang tidak mempunyai pendidikan secara formal.

Generasi muda masa kini juga mengikut budaya yang tidak aktif (sedentari). Satu kajian menunjukkan kanak-kanak di Malaysia mempunyai tahap aktiviti fizikal yang rendah dan gaya hidup tidak aktif. Rata-ratanya meluangkan hampir tujuh jam setiap hari melakukan aktiviti sedentari. Ini melebihi saranan Panduan Diet Malaysia iaitu aktiviti sedentari seperti menonton televisyen, duduk, atau baring dihadkan kepada dua jam atau kurang dalam masa sehari.

Gaya hidup tidak aktif akan meningkatkan risiko kematian, menambah risiko dua kali ganda penyakit jantung, kencing manis, obesiti serta risiko kanser kolon, tekanan darah tinggi, osteoporosis, kolesterol tinggi, kemurungan dan kebimbangan .

Jika masalah yang semakin meruncing ini gagal ditangani, ia akan menyebabkan penyusutan kualiti hidup secara menyeluruh yang bukan saja memberi kesan kepada individu, tetapi juga kepada keluarga dan khususnya negara.

Kekal aktif secara fizikal

Kepentingan aktiviti fizikal terhadap kesihatan sudah terbukti dan perlu bermula sejak kecil. Kekal aktif secara fizikal setiap hari dapat membantu untuk:

• Mencegah penyakit kronik contohnya, penyakit jantung, kencing manis dan kanser.

• Mengekalkan berat badan sihat dan mencegah lebih berat badan serta obesiti yang jugafaktor risiko kepada banyak penyakit tidak berjangkit .

• Meningkatkan kekuatan dan prestasi tulang, otot dan sendi.

• Meningkatkan kesihatan mental dan neuro contohnya memperbaiki mood, mengurangkan simptom kemurungan dan kebimbangan.

• Memperbaiki kesihatan dan kesejahteraan secara menyeluruh.

Anda perlu bergerak lebih aktif setiap hari dengan pelbagai cara, pada bila-bila masa setiap kali ada peluang, tidak kira sama ada di rumah, pejabat atau semasa melakukan rutin harian.

Penetapan minda yang betul sangat membantu dalam mengamalkan aktiviti fizikal secara konsisten. Jadikan aktiviti fizikal dan pergerakan lebih aktif sebagai peluang untuk bersenam dan kekal sihat, bukannya sebagai sesuatu yang menyusahkan.

Untuk menjadikan senaman satu tabiat, ia memerlukan ketetapan minda dan pendekatan yang bijak. Apabila anda menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin harian anda, akhirnya ia akan menjadi satu tabiat. Anda akan belajar untuk menggemarinya.

Anda boleh rujuk Piramid Aktiviti Fizikal Malaysia sebagai panduan untuk menjadi lebih aktif setiap hari. Dasar piramid menggambarkan jenis aktiviti yang harus kerap dilakukan setiap hari. Manakala aras paling atas piramid menunjukkan aktiviti atau tabit yang harus dihad atau dikurangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 1:38 PM