KETUMBIT jenis ‘stye’.
KETUMBIT jenis ‘stye’.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


'MATA ketumbit jika mengintai orang'. Itu gurauan popular diberikan kepada sesiapa yang mengalami ketumbit pada kelopak mata.

Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Samhan Awang berkata, tanggapan itu hanya mitos semata-mata.

Menurutnya, ketumbit ialah bisul kecil pada kelopak mata dan ada dua jenis ketumbit iaitu 'stye' serta 'kalazion'.

"Stye ialah bisul kecil yang terjadi disebabkan jangkitan kuman 'staphylococcus aureus' pada akar (folikal) bulu mata.

"Jangkitan ini menyebabkan kelopak mata menjadi bengkak kemerahan dan berasa sakit," katanya.

Dr Ahmad Samhan berkata, ketumbit 'stye' selalunya terjadi kepada individu seperti pesakit kencing manis, blefaritis kronik (keradangan kelopak mata yang lama) dan seborea (rembesan sebum berlebihan oleh kelenjar sebum).

Katanya, jenis kedua ialah kalazion yang terjadi berpunca daripada kelenjar bulu mata tersumbat dan menyebabkan bengkak, tetapi tidak sakit.

"Kalazion berlaku disebabkan kebersihan bulu mata kurang terjaga. Contoh, tidak membersihkan bulu mata selepas menggunakan kosmetik.

"Mungkin juga kerana pesakit mempunyai masalah kulit iaitu seborea," katanya.

DR Samhan
DR Samhan

Dr Ahmad Samhan berkata, kebanyakan masalah ketumbit tidak serius dan boleh dirawat di rumah melalui tiga cara.

"Pertama, menuam beberapa kali sehari menggunakan sapu tangan yang direndam dalam air suam.

"Tuam mata dalam keadaan tertutup selama 10 minit dan lakukan dua atau tiga kali sehari," katanya.

Menurut Dr Ahmad Samhan, kaedah kedua ialah membersihkan akar bulu mata menggunakan putik kapas yang terdapat air campuran sabun mandian bayi.

"Kemudian bersihkan tempat ketumbit pada kelopak mata supaya kelenjar tidak tersumbat dan mempercepatkan penyembuhan.

"Bagaimanapun, sekiranya ketumbit semakin teruk, perlu segera berjumpa doktor untuk rawatan lanjut menerusi penggunaan ubat antibiotik dan titis mata" katanya.

Menurut Dr Ahmad Samhan, rawatan ketiga ialah pembedahan kecil yang dilakukan sekiranya ubat antibiotik dan titis mata tidak berkesan.

"Doktor akan membuat hirisan kecil pada ketumbit untuk mengeluarkan nanah atau apa sahaja yang terdapat dalam ketumbit berkenaan.

"Boleh jadi punca ketumbit disebabkan debu pada tangan yang kemudian menyentuh dan mengelap mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 6:22 AM