SATU mitos yang cukup popular dengan ketumbit ialah dikatakan berpunca daripada tabiat gemar mengintai.
Sedangkan penjelasan lebih tepat mengenai punca ketumbit adalah jangkitan kuman bakteria Staphylococcus Aureus yang menyebabakan gejala bengkak atau nanah pada salah satu atau kedua-dua bahagian mata.
Kebiasaan ia berlaku pada folikel bulu mata atau kelenjar meibomian yang terletak di tepi mata dan menyebabkan rasa kurang selesa.
Ada yang mengalami masalah ketumbit sebagai gejala kepada penyakit dihidapi mereka termasuklah pesakit kencing manis, pesakit seborrhea iaitu penyakit kulit bersisik dan permukaan kasar.
Selain individu yang mengabaikan penjagaan kebersihan mata terutama mereka yang mengenakan kanta lekap dan solekan mata tebal.
Bagi menangani rasa kurang selesa dan membantu mengendali masalah ketumbit dengan baik, terdapat beberapa langkah boleh dilakukan:
1. Tuam hangat
Dikatakan komponen yang menghalang kelenjar meibomian adalah sejenis cecair berminyak atau lapisan lemak susah hendak dikeluarkan antara punca mengakibatkan masalah ketumbit terbentuk.
Dikatakan dengan kaedah tuam hangat boleh membantu melarutkan lapiran lemak itu ataupun nanah membuatkan keadaan ketumbit yang bengkak boleh kering secara semula jadi.
Kaedahnya ambil tuala atau kain bersih, kemudian basahkan dan perah. Seterusnya tuam pada bahagian mata yang bengkak dan biarkan selama lima
hingga 10 minit. Ulang langkah ini tiga hingga empat kali setiap hari untuk hasil lebih baik.
2. Guna uncang teh
Jika anda baru sahaja selesai menikmati secawan minuman teh panas, ambil uncangnya sebagai pengganti kepada beg tuam panas. Cumanya biarkan suhu sedikit hangat dan letakkan pada bahagian mata yang mengalami ketumbit.
Tuam antara lima hingga 10 minit untuk dapatkan hasil lebih baik. Sebenarnya teh hitam baik untuk urus masalah bengkak seperti ketumbit kerana memiliki kompaun bersifat antibakteria.
3. Elak mengenakan alat
Solekan dan kanta lekap
Jika anda mendapati adanya bengkak atau ketumbit pada bahagian mata, langkah terbaik hentikan seketika pemakaian alat solekan di bahagian terjejas.
Ada kandungan dalam alat solek boleh membuatkan radang bertambah teruk. Selain ketumbit yang berkait dengan jangkitan kuman boleh memindahkan bakteria ke bahagian lain.
Bagitu juga kanta lekap, keadaan mata tidak selesa dan pemakaian kanta lekap boleh menjadikan keadaan lebih teruk. Kenakan cermin mata kerana pemakaian alat itu kurang kontak langsung dan mengurangkan jangkitan kuman pada bahagian mata.