SEMAKIN seseorang berusia, jumlah kalori diambil sepatutnya tidak sama seperti zaman muda. GAMBAR hiasan
SEMAKIN seseorang berusia, jumlah kalori diambil sepatutnya tidak sama seperti zaman muda. GAMBAR hiasan
Siti Zarinah Sahib


SETIAP individu akan menunjukkan perubahan fizikal apabila berusia. Bagi wanita, perubahan bentuk badan ini lebih ketara. Disebabkan proses kelahiran anak, berat badan mula meningkat, badan lebih cepat terasa penat, kurang berdaya dan mungkin senang mendapat penyakit. Namun bagi sesetengah individu pula peningkatan usia tidak memberikan kesan ketara disebabkan beberapa faktor seperti amalan pemakanan .

Namun menurut pakar pemakanan, Nor Fazilah Mohd Bajuri, secara fitrahnya semua wanita akan menunjukkan perubahan fizikal selari usia mereka. Namun apa yang membezakannya cara penjagaan pemakanan dan amalan senaman yang akan menentukan kecepatan atau lambatnya proses penuaan ini.

“Sebab itu pentingnya golongan ini menjaga pemakanan. Semakin kita berumur, peningkatan berat badan akan terjadi sekiranya pola pemakanan masih sama seperti waktu muda. Disebabkan perubahan hormon, kadar metabolisme badan semakin menurun. Oleh itu, cara pemakanan perlu berubah dan bersesuaian dengan keadaan tubuh seseorang,” nasihatnya.

Katanya, masalah penyakit akibat gangguan hormon seperti kerapuhan tulang atau osteoporosis turut berlaku terutama dalam kalangan wanita berusia 50 tahun ke atas.

Wanita juga akan melalui proses menopaus dan tiada lagi hormon progesteron dan estrogen yang mengeluarkan haid sekali gus membuatkan kulit hilang keanjalannya, kabur penglihatan dan kurang daya tahan memori menjurus kepada nyanyuk dan dementia.

“Mengikut statistik Pertubuhan Alzheimer Malaysia 2016, dianggarkan 50,000 rakyat Malaysia menghidap penyakit lupa ingatan atau nyanyuk. Masalah ini boleh menyebabkan kualiti hidup merosot. Kajian menyatakan seseorang yang menghidap dementia akan cenderung kepada masalah kesihatan yang lebih besar seperti tekanan perasaan,” katanya.

NOR Fazilah
NOR Fazilah

Untuk itu amat penting bagi golongan warga emas ini mengekalkan kesihatan menerusi pemilihan makanan. Ini kerana semakin seseorang itu berusia, jumlah kalori yang diambil sepatutnya tidak sama seperti zaman muda.

Sekiranya berlebihan, berat badan akan bertambah. Ini akan menyebabkan individu mudah senang mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi dan sakit jantung.

Bagi mereka sering mengalami masalah penat atau letih serta otot yang lemah mereka disarankan mengambil makanan tinggi kalsium dan vitamin D.

“Contohnya makanan berasaskan produk tenusu seperti susu, keju, dadih dan sayur berdaun hijau seperti bayam, sawi serta kailan. Apabila kita tidak mengambil kalsium secukupnya, badan akan menggunakan simpanan kalsium yang terdapat pada tulang. Ini menyebabkan kehilangan jisim tulang dan sekiranya berlanjutan, tulang akan menjadi semakin lemah,” jelasnya.

ELAK MAKANAN MANIS DAN MASIN

Wanita berusia juga tidak seharusnya mengabaikan kecantikan kulit. Oleh itu bagi mengekalkan kulit wajah yang berseri, amalkan pengambilan air lapan gelas sehari kerana kulit yang kering akan menyebabkan kulit kusam dan kelihatan lebih tua.

“Jangan lupa ambil makanan kaya vitamin C kerana ia membantu melindungi tubuh daripada radikal bebas yang menjejaskan kesihatan. Sebagai contoh, anda boleh mengambil buah sebagai snek minum petang berbanding kuih-muih yang tinggi gula,” ujarnya.

Elakkan pengambilan makanan tinggi gula, garam dan berminyak kerana ia boleh meningkatkan berat badan. Tambahan pula, makanan berkalori tinggi akan menyebabkan masalah kesihatan seperti obesiti yang turut menyumbang kepada kencing manis. Kekalkan berat badan ideal dengan sentiasa mengambil makanan berkhasiat dan seimbang serta memperbanyakkan pengambilan sayur dan buah-buahan.

BERSENAM setiap hari untuk kekal cergas.
BERSENAM setiap hari untuk kekal cergas.

Secara keseluruhan, setiap peringkat umur perlu mengambil makanan tinggi serat atau fiber kerana serat membekalkan kadar peratusan vitamin dan mineral yang cukup untuk keperluan seharian. Saranan pengambilan adalah 25 - 30 gram sehari.

Untuk itu wanita digalakkan bersenam (contohnya yoga, berjoging dan berenang) untuk menguatkan otot. Untuk menjaga kepadatan tulang, anda boleh melakukan senaman yang berunsurkan latihan beban dan daya tahan seperti plank.

TIP MAKANAN WARGA EMAS

1. Makan secara seimbang

Pastikan setiap menu merangkumi karbohidrat, protein dan lemak baik. Banyakkan minum air untuk mengelakkan dehidrasi.

2. Pilih makanan mudah dihadam

Bagi mereka yang menggunakan gigi palsu atau mengalami masalah gigi, pastikan tekstur makanan lembut dan mudah dikunyah.

3. Tidak terlalu pedas

Organ dan sistem pencernaan warga emas adalah lebih sensitif. Elakkan pengambilan makanan pedas kerana akan menyebabkan perut berasa tidak selesa.

4. Makan makanan kurang garam, gula dan minyak

Makanan tinggi gula, garam dan minyak adalah penyumbang kepada pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, hiperlipidemia dan sakit jantung.

5. Banyakkan sayuran dan buah

Hal ini kerana warga emas cenderung mengalami masalah sembelit dan buasir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 5:20 AM