GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu bersedia dengan menyediakan pelbagai pelan jangka panjang untuk negara menuju ke arah negara menua pada 2030.

Pakar Perunding Geriatrik, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Hazlina Mahadzir berkata, Malaysia menuju ke arah negara menua pada 2030 dengan 15 peratus daripada penduduknya berusia 60 tahun ke atas dan ramai berpenyakit.

"Mengambil contoh negara barat menyediakan pusat kesihatan iaitu khidmat ibu tunggal yang mahu wang lebih tetapi tidak dapat bekerja lebih masa.

"Mereka ini akan ke rumah warga emas yang ditinggalkan bersendirian kerana anak sibuk bekerja, menyediakan makanan dan mengemas dalam tempoh hanya dua hingga tiga jam saja," katanya.

Katanya, mereka ini akan menjadi 'mata' kepada anak yang sibuk bekerja dan terpaksa meninggalkan ibu bapa bersendirian di rumah.

Dr Hazlina berkata, warga emas sudah lama menjalani kehidupan malah segelintir mereka menghidap penyakit komorbid seperti darah tinggi serta kencing manis sejak berusia 40 dan 50 tahun.

Bagaimanapun, kata Dr Hazlina, tidak dinafikan ada penyakit berunsur degeneratif iaitu penyakit yang menjejaskan fungsi, struktur tisu atau organ badan disebabkan faktor usia dialami warga emas.

"Sebab itu ada warga emas yang menghidap osteoarthritis, penyakit buah pinggang kronik dan Alzheimer. Namun setiap daripada mereka mengalami gejala berbeza," katanya.

Katanya, untuk meningkatkan kemampuan fizikal, warga emas perlu mengurangkan aktiviti tidak aktif melalui cara melakukan senaman tiga kali seminggu.

"Jenis senaman yang dilakukan bergantung kepada kemampuan warga emas terbabit dan boleh berunsur riadah dan sosial seperti berjalan, pergi ke pasar serta berkebun setiap hari.

"Mereka juga boleh melakukan aktiviti bangun dan duduk daripada kerusi sebanyak 10 kali, secara berulang serta angkat lutut paras pinggang.

"Aktiviti ini dapat membina kekuatan otot dan tulang serta menjadikan anggota badan lebih fleksibel untuk bergerak," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, dengan jumlah penduduk berusia lebih 65 tahun diunjurkan meningkat tiga kali ganda iaitu dua juta kepada lebih enam juta menjelang 2040, Malaysia perlu belajar daripada Jepun cara mengurus rakyatnya yang semakin menua.

Duta Jepun ke Malaysia Katsuhiko Takahashi dipetik berkata, Jepun memiliki populasi yang tinggi dalam kalangan warga emas berminat berkongsi pengalaman dan kepakarannya dalam menguruskan golongan ini sebagai usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 4:20 PM