PROF Shirasawa bersama buku Food for the Brain yang menyediakan resipi sihat untuk kesihatan otak.
PROF Shirasawa bersama buku Food for the Brain yang menyediakan resipi sihat untuk kesihatan otak.
LAZAT dan berkhasiat.
LAZAT dan berkhasiat.
MUDAH disediakan dan kaya khasiat.
MUDAH disediakan dan kaya khasiat.
Siti Nadirah Hafidzin

Terdapat pelbagai jenis bahan bacaan di pasaran yang disediakan khusus untuk pengurusan berat badan, meningkatkan stamina serta kecergasan selain buku yang menjelaskan jenis makanan yang sesuai dengan jenis darah.

Namun, agak sukar untuk menemui bahan bacaan yang disediakan khusus untuk penjagaan dan kesihatan otak melalui pemakanan. Otak ternyata antara organ yang paling penting kepada individu dalam menjalani kehidupan.

Ia menjadi paksi kepada fungsi kognitif, memori dan pembelajaran namun sama seperti organ yang lain, otak juga terdedah kepada masalah gangguan degeneratif (kemerosotan) seperti penyakit Parkinson dan nyanyuk termasuk Alzheimer.

Gangguan ini biasanya dikaitkan dengan peningkatan usia.

Resipi sihat untuk otak

Pada 2015, terdapat 2.8 juta warga emas (berusia 60 tahun dan ke atas) atau sembilan peratus daripada populasi rakyat Malaysia iaitu 31 juta orang. Menjelang 2050, Malaysia dijangka mempunyai 40.7 juta warga negara dengan 23.5 peratus populasi itu warga emas.

Kini, seramai 1.4 daripada 10 orang dewasa di Malaysia yang berusia 60 tahun dan ke atas menderita penyakit dementia yang meningkat kepada 22.7 peratus dalam kalangan mereka yang berusia 75 tahun dan ke atas.

Kandungan lemak sihat yang boleh didapati di dalam kelapa dan ikan mungkin boleh menjadi satu penyelesaian mudah serta lazat dalam membantu mengekalkan fungsi otak untuk beberapa tahun akan datang.

Buku masakan sihat yang berasaskan kepada penyelidikan, Food for the Brain ini ditulis pakar penuaan dari Jepun, Prof Takuji Shirasawa. Ia menjelaskan cara untuk menyihatkan otak dengan lemak yang sihat daripada kelapa dan ikan, sekali gus mengurangkan kesan degeneratif untuk jangka panjang.

Prof Shirasawa ialah penulis prolifik di Jepun dengan lebih 230 buku diterbitkan untuk bacaan orang awam dan komuniti saintifik. Buku Food for the Brain ditulis khas untuk pembaca di Malaysia dan Singapura. Resipinya direka untuk disesuaikan dengan selera tempatan.

Ia boleh didapati dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Malaysia tidak lama lagi.

Dicetak dengan tulisan yang besar supaya mudah dibaca terutama pada warga emas bersama penerangan mudah untuk semua peringkat usia, Food for the Brain menjelaskan manfaat asid lemak omega-3 dan medium chain triglycerides (MCT) dalam mengurangkan risiko dementia, diabetes, strok dan peningkatan berat badan secara berlebihan.

Ia memaparkan makanan yang dirakam dengan cantik dan pastinya membangkitkan selera.

Bahagian pertama buku memberi fokus kepada penyelidikan kesan MCT dan omega-3 yang sudah terbukti mampu membantu mengurangkan kesan penyakit Alzheimer serta dementia jika diambil pada setiap hari.

Perlu diketahui lemak baik ini bukan penawar kepada penyakit degeneratif otak, namun ujian makmal yang membabitkan satu kumpulan kecil jelas menunjukkan ia berupaya mengurangkan beberapa kesan kemerosotan otak dan menambah baik kesihatan secara keseluruhannya. Ia juga dapat melambatkan kesan langsung penyakit ini.

Bahagian kedua buku ini pula menunjukkan resipi yang direka hasil usaha sama antara pakar antipenuaan, nutrisi, penata gaya makanan dan fotografi. Pakar terbabit memastikan resipi direka berdasarkan kepada cita rasa tempatan dan bahannya mudah diperoleh.

Resipi ini juga mempunyai kandungan MCT dan omega-3 yang tinggi, mudah disediakan, enak serta terbukti dari segi nilai nutrisinya. Setiap resipi ini hadir dengan imej makanan atau minuman dengan susun atur yang cantik, malah ia memperincikan bahan atau ramuan, cara penyediaan, jumlah hidangan juga jumlah MCT atau omega-3 yang ada di dalam hidangan.

Prof Shirasawa berkata, mengekalkan fungsi otak dan kesihatan keseluruhan yang baik sangat penting kerana ia menentukan bagaimana usia tua dihabiskan.

“Jika kita mulakan diet yang betul dengan lebih awal, kita boleh menikmati kehidupan selepas usia 60 tahun yang lebih aktif, produktif serta gembira kerana risiko penyakit degeneratif otak dapat dikurangkan.

“Diet tradisional rakyat Malaysia yang kaya dengan kelapa serta lemak ikan seperti sardin dan tuna lebih baik untuk kesihatan otak berbanding makanan segera,” katanya.

Antara hidangan yang terkandung di dalam buku itu termasuk bubur bijian chia, penkek kelapa, kari ikan kembung, sardin, bebola nasi tuna parmesan, gulungan tuna dan sardin, ais krim susu kelapa dan smoothie kelapa mangga.

Buku Food for the Brain kini boleh didapati di kedai buku Popular di seluruh negara pada harga pengenalan RM15.90 senaskhah (harga asal: RM19.90 sebuah) dan setiap pembelian buku didatangkan bersama santan Ayam Brand (200ml) sehingga stok masih ada.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 12:07 PM