WARGA emas digalakkan melakukan aktiviti fizikal supaya lebih sihat.
WARGA emas digalakkan melakukan aktiviti fizikal supaya lebih sihat.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


"IBU ayah rehat sahaja, jangan buat apa-apa. Biar kami semua (anak) yang uruskan rumah".

Itu ayat popular anak buat ibu bapa untuk 'melarang' mereka daripada melakukan sebarang aktiviti di rumah termasuk membantu memasak.

Bagi anak, larangan itu adalah cara menzahirkan kasih sayang terhadap kedua-dua ibu bapa, untuk membalas jasa mereka yang sudah penat membesarkan mereka ketika kecil.

Adakah larangan anak ini satu tindakan yang betul atau biarkan sahaja ibu bapa melakukan aktiviti fizikal?

Pakar Perunding Geriatrik, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Hazlina Mahadzir berkata, anak yang memahami proses penuaan, sewajarnya menggalakkan ibu bapa melakukan aktiviti fizikal.

"Ini kerana aktiviti berkenaan boleh memberikan kesan yang baik terhadap kesihatan ibu bapa.

"Ia dapat membina kekuatan fizikal, meningkatkan kecerdasan otak melalui aktiviti minda dan mengelakkan ibu bapa berasa kesunyian atau keseorangan daripada aktiviti sosial dilakukannya.

"Kita mahu warga emas menjalani kehidupan lebih berkualiti, aktif serta cergas.

"Tujuannya untuk mengelakkan warga emas daripada menghidap penyakit yang sinonim usia mereka seperti Alzheimer, osteoporosis, osteoarthritis (pinggul dan lutut) dan sebagainya," katanya.

Dr Hazlina berkata, warga emas sudah lama menjalani kehidupan malah segelintir mereka menghidap penyakit komorbid seperti darah tinggi serta kencing manis sejak berusia 40 dan 50 tahun.

Bagaimanapun, kata Dr Hazlina, tidak dinafikan ada penyakit berunsur degeneratif iaitu penyakit yang menjejaskan fungsi, struktur tisu atau organ badan disebabkan faktor usia dialami warga emas.

"Sebab itu ada warga emas yang menghidap osteoarthritis, penyakit buah pinggang kronik dan Alzheimer. Namun setiap daripada mereka mengalami gejala berbeza.

MENGAJI atau menghafaz ayat al-Quran meningkat fungsi minda warga emas.
MENGAJI atau menghafaz ayat al-Quran meningkat fungsi minda warga emas.

"Tidak semestinya seseorang yang berumur 60 tahun, fungsi badan mereka seperti 60 tahun. Mungkin fungsi badan sudah merosot dan berperwatakan seolah-olah berusia 80 tahun.

"Ada pula yang berusia 80 tahun, tetapi kefungsian badannya masih kuat, boleh melakukan aktiviti harian dengan baik termasuk memandu kenderaan dan sebagainya," katanya.

Kata Dr Hazlina, ini yang mahu ditonjolkan kepada warga emas supaya mereka kekal sihat dan kefungsian badan sentiasa dalam keadaan baik.

"Oleh itu, satu cara untuk memastikan kefungsian badan masih baik dan mereka kekal sihat ialah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Tip untuk warga emas kekal sihat boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu fizikal, minda dan pemakanan," katanya.

Jelasnya, untuk meningkatkan kemampuan fizikal, warga emas perlu mengurangkan aktiviti tidak aktif melalui cara melakukan senaman tiga kali seminggu.

"Jenis senaman yang dilakukan bergantung kepada kemampuan warga emas terbabit dan boleh berunsur riadah dan sosial seperti berjalan, pergi ke pasar serta berkebun setiap hari.

"Mereka juga boleh melakukan aktiviti bangun dan duduk daripada kerusi sebanyak 10 kali, secara berulang serta angkat lutut paras pinggang.

"Aktiviti ini dapat membina kekuatan otot dan tulang serta menjadikan anggota badan lebih fleksibel untuk bergerak," katanya.

Menurutnya, minda warga emas juga perlu kekal sihat dan kapasiti kefungsiannya boleh dipertingkatkan melalui aktiviti menguji minda mereka.

"Aktiviti itu seperti menjahit, menghafaz ayat al-Quran dan memasak resipi baharu serta mengingati bahan diperlukan untuk memasak.

"Bagi warga emas yang ada kekangan pada kaki untuk bergerak, mereka boleh menggunakan bantuan peralatan seperti tongkat bagi menyokong pergerakan.

AKTIVITI sosial bersama rakan membuatkan warga emas lebih ceria. - FOTO Google
AKTIVITI sosial bersama rakan membuatkan warga emas lebih ceria. - FOTO Google

"Jangan takut hendak menggunakan tongkat sampai warga emas mudah mengalami jatuh.

"Warga emas yang sukar bergerak pula, mereka boleh melakukan gerakan ringan dalam keadaan duduk.

"Ahli keluarga perlu menjadi individu yang memberikan sokongan, sekiranya ibu bapa enggan bergerak atau melakukan aktiviti, gunakan pendekatan memujuk," katanya.

Dr Hazlina berkata, untuk pemakanan pula, warga emas disarankan mengamalkan pemakanan sihat dan melebihkan buah-buahan, sayur-sayuran dan sumber protein seperti ikan serta ayam.

Katanya, ramai warga emas menyatakan masalah kesukaran tidur waktu malam, namun kelaziman mereka tidur waktu siang dan apabila dicampurkan jumlah itu (tidur waktu alam dan siang), mereka mendapat jumlah tidur yang mencukupi.

"Jumlah tidur ideal setiap warga emas ialah antara enam hingga lapan jam sehari, namun bergantung kepada setiap individu.

"Kita perlu kenal pasti punca warga emas sukar tidur. Jika ia berpunca daripada tekanan perasaan, pastikan mereka mendapat pemeriksaan doktor untuk menentukan sama ada ia satu daripada gejala kemurungan.

"Kualiti tidur mereka juga akan lebih baik, sekiranya kemurungan dapat dirawat dan diatasi," katanya.

Kemurungan dalam kalangan warga emas jarang didiagnosis kerana gejalanya agak tidak ketara dan doktor juga mungkin tidak bertanya lanjut.

"Masalah kemurungan itu sendiri sebenarnya adalah salah satu faktor risiko penyakit demensia," katanya.

Ditanya kesan kepada Malaysia sekiranya mempunyai ramai warga emas berpenyakit, Dr Hazlina berkata, Malaysia menuju ke arah negara menua pada 2030 dengan 15 peratus daripada penduduknya berusia 60 tahun ke atas dan ramai berpenyakit.

"Maka kerajaan dan penduduk Malaysia akan terbeban dengan kos perbelanjaan awam termasuk kos perubatan.

"Kesan dalam aspek sosial pula, mungkin anak terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ibu bapa yang uzur.

"Oleh itu, ia akan mewujudkan 'keluarga generasi sandwic' iaitu anak perlu menjaga ibu bapa dan pada masa sama menjaga anak sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 7:00 AM