PEMANDANGAN indah sepanjang perjalanan.
PEMANDANGAN indah sepanjang perjalanan.
Lizam Ridzuan

PENGELUAR peralatan aksesori tunggangan motosikal, Givi melalui Givi Asia Sdn Bhd menganjurkan aktiviti konvoi ke Cameron Highlands, Pahang bersama Givista (pemilik dan peminat gaya hidup Givi Explorer).

Bermula di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang arah utara, lebih 50 peserta termasuk rakan media menyertai acara anjuran yang julung kali diadakan bagi 2020.

Selepas pendaftaran dan taklimat, perjalanan dimulakan jam 11 pagi.

Konvoi dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu motosikal di bawah dan atas 200cc.

Melalui laluan Lebuhraya Utara Selatan, persinggahan pertama ialah di kawasan rehat Bikam sebelum ke R&R Tapah untuk isian bahan api.

Cuaca panas sepanjang hari antara cabaran ditempuh dan bagi memastikan kesegaran sepanjang masa, air minuman disediakan di setiap lokasi persinggahan.

BERT (tengah) bersama peserta konvoi.
BERT (tengah) bersama peserta konvoi.

Sebelum naik ke Cameron Highlands melalui laluan Simpang Pulai, Perak, konvoi singgah makan tengah hari di Restoran Tasik Raban.

Perjalanan diteruskan dengan konvoi melalui laluan berselekoh serta mendaki.

Cuaca juga semakin lama semakin dingin apabila kumpulan konvoi semakin menghampiri tanah tinggi.

Tiba di lokasi, kami terus menuju ke lokasi penginapan.

Pada sebelah malam, selain aktiviti bebas serta menikmati hidangan, peserta turut dihidang dengan tayangan perjalanan kembara dunia oleh Bert Boute dari Belgium yang turut serta pada konvoi kali ini.

PESERTA Givista Ride Cameron Highlands.
PESERTA Givista Ride Cameron Highlands.

Ketua Unit Pemasaran Givi Asia, Samir Sharman berkata, acara ini dianjurkan bagi menghargai pelanggan yang menyokong produk mereka untuk digunakan dalam aktiviti kembara dan penjelajahan.

“Aktiviti konvoi seperti ini juga menyediakan peluang untuk Givista bertemu dengan pemilik motosikal yang mempunyai minat yang sama sambil berkongsi pengalaman dan panduan untuk kembara yang seterusnya,” katanya yang turut menyertai konvoi dengan menunggang Kawasaki ZXR 750.

Pada hari kedua, konvoi memulakan perjalanan pulang ke ibu kota awal pagi bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 6:10 AM