CULTRA mempromosikan pelancongan domestik.
CULTRA mempromosikan pelancongan domestik.
Hafiz Ithnin


BOLT Events Management (Bolt), syarikat pengurus acara sukan Malaysia bercadang untuk menjadikan jenama kejohanan larian rentas denai Cameron Highlands (Cultra) sebagai francais di peringkat antarabangsa dalam tempoh setahun.

Sekiranya Cultra berjaya menjadi acara larian denai Malaysia yang difrancaiskan, ia sekali gus menjadi jenama larian denai jarak jauh tempatan yang menembusi peringkat antarabangsa.

Pengarah Operasi Bolt, Zulkiflee Zainal berkata, pihaknya banyak mendapat tawaran dan meneliti perancangan berkenaan dan ia menjadi kelebihan jika keputusan berkenaan berjaya dimuktamadkan.

"Pada Cultra siri kelima ini pun kita sudah berjaya mendapat Asia Trail Master Championship. Di Malaysia ini hanya beberapa acara yang mendapat label berkenaan.

"Kami memang ada perancangan untuk bekerjasama dengan label antarabangsa lain bagi mengukuhkan lagi jenama Cultra," katanya pada sidang media Cultra 2022 di ibu negara, baru-baru ini.

LARIAN jarak jauh yang menguji ketahanan peserta.
LARIAN jarak jauh yang menguji ketahanan peserta.

Cultra 2022 bakal berlangsung pada 15 hingga 17 Julai depan bertempat di Cameron Highlands, Pahang membabitkan 2,000 penyertaan daripada peserta tempatan dan luar negara.

Zulkifli berkata, Cultra 2022 mempertandingkan empat jarak larian denai yang berbeza iaitu 100 kilometer (km), 55km, 30km dan 15km. Peserta bakal melalui laluan berbukit, merentasi kebun teh dan denai hutan. Ia sekali gus menawarkan pengalaman sukan lasak yang mencabar diri, fizikal dan mental peserta.

Jelasnya, Cultra edisi kelima itu turut membabitkan peserta dari 23 negara. Ia juga menjadi larian kelayakan untuk mengumpul mata Ultra Trail Mont-Blanc (UTMB) iaitu larian denai terbesar di dunia yang dibawakan Cultra 2022.

"Acara sukan rentas denai kian mendapat sambutan di Malaysia apabila kuota 2,000 penyertaan sudah penuh didaftarkan pada bulan lalu. Perkara ini menunjukkan bahawa penggiat larian denai amat menantikan acara ini.

"Cabaran paling besar dalam Cultra pastinya mengenai suhu di Cameron Highlands mampu mencecah lapan darjah Celcius. Selain itu, laluannya juga agak mencabar kerana peserta perlu merentas dua gunung iaitu Gunung Berembun dan Gunung Jasa," katanya.

ACARA larian denai yang mendapat sambutan mengalakkan.
ACARA larian denai yang mendapat sambutan mengalakkan.

Selain perlumbaan berkenaan, kejohanan itu turut menawarkan aktiviti praperlumbaan seperti Pasar Tempatan Cultra, Jamuan Teh Cultra, persembahan tempatan dan banyak lagi.

Pasar Tempatan Cultra akan mempamerkan produk tempatan dan Jamuan Teh Cultra mengumpulkan pelari untuk sesi suai kenal sambil dihiburkan dengan persembahan oleh sekolah tempatan.

Katanya, di samping itu, Cultra juga akan menyumbang kepada masyarakat setempat melalui inisiatif khidmat tanggungjawab korporat (CSR) mereka sendiri. Ia pastinya menjadi acara yang menjanjikan hujung minggu yang cukup penuh dengan aksi.

"Tahun ini, kami berbesar hati untuk mengalu-alukan Toyota sebagai penaja dan kereta rasmi untuk Cultra. Toyota turut menaja acara CSR tradisi bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Panggen, Sekolah Kebangsaan Lemoi di Pos Lemoi, dan Cherish Home di Tanah Rata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 6:30 AM