DISERTAI pelumba tempatan dan luar negara.
DISERTAI pelumba tempatan dan luar negara.
Hafiz Ithnin


PERASAAN berdebar bercampur letih sukar digambarkan sebaik sahaja penulis hampir sampai ke garisan penamat dalam acara larian 55 kilometer (KM) itu sebelum melabuhkan tirainya .

Hakikatnya larian jarak jauh dalam segmen larian denai itu bukan sesuatu yang mudah untuk dihabiskan. Apatah lagi untuk satu jarak yang jauh.

Dari jalan tar, mendaki Gunung Berembun setinggi 2,077 meter (m), Gunung Gunung Perdah (1,576 m), laluan bertangga, merentas ladang teh yang terbuka dengan matahari terpacak di atas kepala sehinggalah pelbagai laluan mencanak yang sukar digambarkan betapa mencabarnya.

Cogan kata, 'Be Prepared, Be Very Prepared' hakikatnya bukan sekadar cogan kata dalam acara larian denai jarak jauh, Cameron Highlands Ultra (Cultra) yang diadakan baru-baru ini kerana pada hemat penulis ia adalah peringatan untuk peserta terutama yang kali pertama menyertainya.

Dalam acara itu yang menawarkan empat jarak larian iaitu 15 kilometer (km), 30 km, 55 km dan 100 km sememangnya berjaya memikat 2,000 peserta pelari denai bukan sahaja tempatan malah antarabangsa.

Pengarah Komunikasi Bolt Events Management (Bolt), Azlihana Abdul Rahim berkata, seramai 150 peserta tidak dapat menamatkan larian untuk semua kategori.

MAJLIS perlepasan pelumba yang  meriah.
MAJLIS perlepasan pelumba yang meriah.

Jumlah itu jika dilihat tidaklah begitu ramai dari keseluruhan peserta yang menyertainya tetapi bagi mereka yang 'gugur' sebelum ke garisan penamat harus diberi pujian kerana mereka berani menyertai acara larian yang cukup mencabar itu.

Ternyata acara larian denai itu bukan sekadar kejohanan larian tetapi ia boleh dianggap sebagai sebuah festival pelancongan menarik.

Ketika tiba pada hari pertama untuk mengambil kit perlumbaan, di tapak perhimpunan kelihatan begitu ramai peserta yang datang bukan sekadar dalam kalangan pelari malah rakan-rakan dan ahli keluarga bagi menyokong peserta.

Hotel di sekitar Tanah Rata terutamanya boleh dikatakan penuh ditempah dek penangan acara larian itu diadakan.

PEMANDANGAN memukau di ladang teh.
PEMANDANGAN memukau di ladang teh.

Bagi peserta pula, di samping dapat menguji ketahanan, mereka berpeluang menikmati pemandangan alam semula tersembunyi di Cameron Highlands seperti Gunung Berembun yang mempunyai dunia hijau yang memukau.

Tidak sekadar itu, peserta juga dapat menikmati pemandangan Air Terjun Robinson yang menjadi salah satu laluan dalam perlumbaan. Keindahannya cukup luar biasa. Jika tidak kerana mengejar masa pasti sudah menjadi tumpuan untuk bersantai.

Malah, peserta juga diberi peluang secara eksklusif untuk berada di dalam dunia ladang teh yang cukup luas dan indah untuk merakam memori bergambar.

Namun, bagi penulis ia adalah laluan yang amat menguji mental memandangkan terdapat salah satu titik pemeriksaan ('check point') masa penamat yang diambil di situ.

TURUT mengadakan persembahan kesenian Malaysia kepada pengunjung sebelum acara bermula.
TURUT mengadakan persembahan kesenian Malaysia kepada pengunjung sebelum acara bermula.

Jika lewat tiba maka sia-sia berpuluh kilometer sudah dilalui sebelum itu. Apatah lagi matahari berada tepat di atas kepala.

Meskipun melalui pengalaman yang amat memenatkan untuk menamatkan larian dalam tempoh 13 jam, tetapi acara larian itu sememangnya menarik kerana ia mencakupi pengalaman mengembara sambil menguji stamina.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 6:10 AM