MENCIPTA kerjaya daripada sebuah hobi.
MENCIPTA kerjaya daripada sebuah hobi.
Hafiz Ithnin


"JANGAN takut kepada persaingan kerana kita wanita," jelas wanita berusia 46 tahun itu kepada penulis.

Malah, anak kelahiran Pulau Pinang yang membesar di ibu negara itu sebenarnya tidak menyangka dari sekadar hobi, akhirnya mencipta sebuah kerjaya.

Kebanyakan yang aktif dalam kejohanan larian denai pasti mengenali pemilik nama Azlihana Abdul Rahim ini kerana beliau antara penganjur acara sukan itu yang aktif sejak 2013.

Sehingga kini Azlihana sudah menganjurkan lebih 100 acara larian sukan. Acara yang paling dikenali dalam kalangan peminat larian sukan itu yang dianjurkan pastinya Cameron Ultra Trail (Cultra) yang sudah memasuki tahun ke enam tahun ini.

Azlihana berkata, sejak kecil lagi dia aktif menyertai sukan larian dan aktiviti itu menjadi gaya hidupnya sehingga dewasa. Namun, dia tidak pernah terfikir untuk menyertai industri penganjur acara.

"Selepas tamat persekolahan, saya sebenarnya berniaga menjual kain ela. Setiap minggu saya akan ke Singapura dan Thailand bagi mendapatkan stok sutera Thai untuk dijual di pejabat.

"Ketika itu, saya masih ingat cara menjual iaitu dengan menawarkan bayaran secara ansuran kepada pembeli. Jadi, mereka tidaklah rasa begitu mahal untuk membelinya sekali gus," katanya.

Dari berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung yuran pengajian di kolej, dia berjaya membuka sebuah butik pada 1993 dengan menjual pelbagai jenis kain.

"Walaupun saya ketika itu, menjadi penjual kain tetapi aktiviti larian tidak pernah saya tinggalkan. Setiap petang pasti diisi dengan aktiviti itu. Malah, rasa tidak lengkap jika tidak melakukannya.

"Sehinggalah pada 2013, saya mula menyertai bidang penganjuran acara larian. Ketika itu, acara larian denai masih tidak ramai yang ingin menyertainya. Saya mengambil langkah berani untuk menganjurkannya," katanya.

MENYERTAI bidang pengurusan sukan bukan sesuatu perkara yang mudah tanpa ada pengalaman dan minat.
MENYERTAI bidang pengurusan sukan bukan sesuatu perkara yang mudah tanpa ada pengalaman dan minat.

Jelasnya, ketika itu tidak ramai penganjur acara sukan dalam kalangan wanita. Apatah lagi untuk acara larian denai kerana diketahui umum untuk melaksanakan acara itu penganjur perlu mempunyai pengalaman 'di dalam hutan.'

"Saya sememangnya gemarkan alam semula jadi. Daripada aktif berlari maraton, saya lebih gemar berlari denai. Jadi, pengalaman sebagai pelari mengajar saya untuk menjadi lebih berani.

"Agak mencabar juga untuk menyertai bidang ini kerana pesaing kita adalah dalam kalangan lelaki. Pada awal pembabitan saya, orang agak skeptikal mengenai kemampuan saya untuk masuk ke dalam hutan kerana saya seorang wanita," katanya.

KOMITED dan berani menjadi kunci penting dalam berkerja.
KOMITED dan berani menjadi kunci penting dalam berkerja.

Jelasnya, jantina sebenarnya bukan penghalang jika seseorang itu mempunyai pengalaman dan ia mampu memberi keyakinan kepada pelbagai pihak untuknya menganjurkan kejohanan sukan itu.

"Syukur saya mampu melaksanakannya. Sehinggalah pada 2015 saya mengambil langkah untuk menjual butik kerana ingin memberi tumpuan dalam bidang penganjuran sukan.

"Pada 2015, saya amat sibuk dalam penganjuran sukan dan suami, Hazemi Hamidi memberi kata dua sama ada ingin terus fokus di dalam perniagaan kain atau acara larian. Jadi saya memilih untuk ke bidang larian kerana saya tahu ia mempunyai potensi yang amat besar," katanya.

Ternyata langkah ibu kepada tiga cahaya mata itu tidak salah sehingga mampu meraih pelbagai pengiktirafan di dalam bidang itu antaranya acara kelayakan UTMB World Series 2022 & 2023, acara kelayakan Western State 2023 dan Pemenang Video Acara Terbaik 2019 oleh Tourism Pahang .

Azlihana berkata, dia melihat bidang larian di Malaysia mampu menjadi satu industri kerana ia semakin mendapat sambutan dan ia sentiasa mendapat sambutan dalam kalangan pelari sedia ada dan baharu.

BERSAMA suami yang sentiasa menyokong pembabitan Azlihana dalam bidang pengurus acara sukan.
BERSAMA suami yang sentiasa menyokong pembabitan Azlihana dalam bidang pengurus acara sukan.

"Saya boleh lihat sendiri, apabila kerajaan mula memberi kelonggaran untuk menyertai acara larian. Peminat larian denai berpusu-pusu mendaftarkan diri dalam pelbagai acara yang dianjurkan oleh penganjur tempatan.

"Malah sentiasa ada wajah baharu yang menyertai acara larian denai. Tidak kira usia kerana orang kita semakin menghargai alam semula jadi dan ingin aktif dalam gaya hidup sihat," katanya.

Bercerita mengenai cabaran, katanya sudah pasti Covid-19 memberi kesan kepada semua usahawan termasuk dirinya.

"Dalam tempoh dua tahun, acara larian tidak dapat dilaksanakan pasti memberi kesan besar kepada semua pemain industri tetapi saya tidak mengalah kerana tahu bakal ada cahaya baharu.

"Ternyata, apabila kerajaan mengumumkan kelonggaran bagi penganjuran sukan, acara yang dianjurkan saya mendapat sambutan begitu menggalakkan," katanya.

Katanya, bidang penganjuran sukan sememangnya menarik kerana ia memberi kesan kepada industri lain terutama pelancongan dan juga penduduk setempat untuk mendapat limpahan ekonominya.

"Bagi saya jika ada usahawan wanita ingin menyertai bidang ini, kita perlu kental dan berani kerana industri ini memerlukan pengalaman serta pesaing kita adalah dalam kalangan lelaki yang sinonim dengan aktiviti lasak.

"Namun, ingatlah jantina bukan penghalang untuk kita bersaing di dalam bidang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 7:00 AM