MENGINAP di rumah rakit sambil mengadakan aktiviti riadah bersama keluarga.
MENGINAP di rumah rakit sambil mengadakan aktiviti riadah bersama keluarga.
Samadi Ahmad


MENYAKSIKAN hutan paya bakau yang menghijau dengan menyusuri Sungai Sepang Besar di Bagan Lalang, Sepang, Selangor pastinya memberikan pengalaman berbeza.

Kini, pengunjung turut berpeluang memancing di pusat ternakan ikan dalam sangkar melalui pakej River Cruise disediakan Jeti Sirip Biru.

Terdapat beberapa spesies ikan laut yang diternak di sini seperti kerapu, merah dan siakap menjadi tarikan baharu pelancongan di sungai berkenaan.

Pengurusnya, Zaidi Ahmad berkata, memancing di sangkar ikan itu menjadi salah satu destinasi menarik dalam pakej berkenaan selain singgah di pantai pasir hitam dan ke muara sungai yang bersempadan dengan laut untuk menyaksikan dari luaran loji jana kuasa arang batu.

Menurutnya, pakej itu mengambil masa 45 minit menaiki bot berbumbung seramai enam penumpang.

Katanya, bagi pakej memancing di sangkar ikan pelancong tidak perlu membawa pancing dan umpan kerana ia sudah disediakan pihak pengurusan.

"Ikan yang dipancing juga boleh dibawa pulang dengan pembelian bermula dari RM20 hingga RM30 sekilogram mengikut jenis ikan.

"Kami juga menyediakan perkhidmatan bot memancing kepada kaki pancing yang gemarkan aktiviti 'casting', joran 'jigging' dan sebagainya ke tengah laut.

"Bagi yang ingin merasai suasana baharu dan mencari ketenangan, pengunjung boleh menginap dan bermalam di rumah rakit yang disediakan di persisiran sungai sambil menjalankan aktiviti memancing secara santai bersama keluarga dan rakan.

"Pengunjung boleh menginap dan menyewa di rumah rakit ini memuatkan 10 hingga 20 peserta pada satu-satu masa dilengkapi dengan bekalan elektrik, air serta kelengkapan tidur.

PERKHIDMATAN River Cruise menyusuri Sungai Sepang Besar.
PERKHIDMATAN River Cruise menyusuri Sungai Sepang Besar.

"Malah, pengunjung juga boleh memasak sendiri di rumah rakit ini kerana segala peralatan memasak disediakan dan mereka hanya perlu membawa bahan memasak sendiri," katanya.

Zaidi berkata, bagi yang menggemari sukan lasak pengunjung boleh menyertai aktiviti kayak di pesisiran sungai ini secara berkumpulan selain diawasi pihak pengurusan menggunakan bot bagi menjamin keselamatan.

Katanya, program ekopelancongan dan rekreasi yang diperkenalkan pihaknya bermula empat tahun lalu menjadi salah satu usaha bagi menarik lebih ramai pelancong bercuti ke Sepang.

"Pelancong pasti teruja bercuti di sini kerana ia menyajikan suatu kelainan dan lokasinya juga tidak jauh dari Putrajaya dan ibu kota serta memudahkan pelancong untuk datang.

"Usaha memperkenal ekopelancongan Sungai Sepang Besar ini turut mendapat kerjasama Jabatan Pelancongan Selangor dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) terutama dalam menaik taraf infrastruktur di jeti ini.

"Bagaimanapun, usaha untuk menarik pelancong di sini terjejas akibat pandemik Covid-19 yang tidak membenarkan aktiviti pelancong dan merentas daerah bagi orang ramai ketika berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KEINDAHAN semula jadi di sepanjang Sungai Sepang Besar dapat ditinjau menerusi River Cruise.
KEINDAHAN semula jadi di sepanjang Sungai Sepang Besar dapat ditinjau menerusi River Cruise.

"Pembukaan sektor pelancongan domestik secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) diumum kerajaan dapat memberi sinar kepada kami untuk membangun semula industri pelancongan di sini.

"Selain mempunyai pemandangan yang menarik kawasan ini juga dilengkapi dengan hutan kayu bakau yang boleh dieksploitasi dengan baik dalam membangunkan bidang ekopelancongan.

"Kami sudah menyenaraikan beberapa produk teras ekopelancongan iaitu aktiviti penanaman pokok bakau di pantai pasir hitam dan projek ternakan ikan sangkar air masin.

"Setiap produk teras ini mempunyai keunikan dan keistimewaan dari segi komposisi biodiversiti dan berpotensi untuk diketengahkan sebagai salah produk ekopelancongan mampan di negara ini.

"Sehubungan itu, kami meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar untuk melawat dan menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan ini," katanya.

PELUANG berkayak di Sungai Sepang Besar.
PELUANG berkayak di Sungai Sepang Besar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 6:10 AM