PEMANDANGAN dari kaki Gunung Jerai, alunan ombak chalet terapung gamit ‘kaki’ pancing.
PEMANDANGAN dari kaki Gunung Jerai, alunan ombak chalet terapung gamit ‘kaki’ pancing.
Izad Thaqif Hassan


Tiada lagi bau asap kenderaan, bunyi bising atau hiruk-piruk sebarang jenis kenderaan dan ia sememangnya menjadi idaman ramai terutama warga kota.

Apa lagi jika dapat melihat sendiri suasana matahari terbenam dengan kicauan burung dari pepohon bakau selain kehadiran bot kecil menyusul masuk ke jeti kala senja.

Bagi kebanyakan daripada kita ia biasanya dilihat dalam lukisan sahaja namun itulah pengalaman mengujakan dapat dinikmati di Kampung Segantang Garam, Merbok, Sungai Petani, Kedah yang sebelum ini hanya dikenali sebagai kawasan bersejarah kerana memiliki tinggalan arkelogi bernilai di Lembah Bujang.

Penulis yakin tidak ramai mengetahui lokasi di Kampung Segantang Garam, terletak dikaki Gunung Jerai ini yang sebenarnya menjadi 'syurga' untuk kaki pancing.

Selepas puas meronda sekitar kampung dengan menyaksikan suasana mendamaikan dan makanan segar dari restoran tempatan, penulis bersama rakan dari ibu negara mencari lokasi melepas penat serta berkesempatan merasai sendiri pengalaman bermalam di Chalet Terapung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok di Kampung Segantang Garam.

Umpana kucing dihidangkan lauk, kami begitu teruja dan terus memancing walaupun semuanya bukanlah kaki pancing.

Nyata bermalam di chalet yang sepenuhnya terapung tanpa menggunakan tiang itu, begitu mengujakan terutama bagi mereka yang inginkan ketenangan bagi melepaskan tekanan akibat bebanan kerja.

Suasana dan persekitaran kawasan chalet ini yang dikelilingi kehijauan hutan paya bakau membuatkan pengunjung yang berhasrat lari dari kesibukan bandar 'melekat' sejurus merasai kedamaiannya.

DERETAN chalet terapung yang terdapat di kawasan berkenaan.
DERETAN chalet terapung yang terdapat di kawasan berkenaan.

Suara ombak perlahan dan nyanyian manja unggas menjelang tengah malam pasti tidak akan dilupakan.

Ini ditambah dengan keramahan enam kakitangan membabitkan penyelia, kerani, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan yang bertugas di chalet itu akan membuatkan pengunjung selesa kerana mereka sedia membantu memberikan perkhidmatan terbaik buat tetamu.

Sejak awal tiba di kaunter pendaftaran, kami sudah melihat senyuman terukir di wajah penyelianya, Mohamed Rozidi Ismail ketika itu yang kemudian membawa penulis ke bilik sambil menerangkan kemudahan dan segala tindakan yang perlu diambil jika berlaku kecemasan.

Terdahulu, penulis turut diberi penerangan yang jelas daripada pengurusnya, Siti Zubaidah Abdul Kadir mengenai kawasan terbabit serta aktiviti dan program yang disediakan.

SUASANA luar kawasan chalet berkenaan.
SUASANA luar kawasan chalet berkenaan.

Selain memancing atas pelantar dari dalam bilik, pengunjung boleh melakukan aktiviti barbeku bersama keluarga dan mengelilingi kawasan hutan paya bakau yang juga antara hutan simpan paya laut terbesar di negara dengan menggunakan bot.

Pengunjung juga tidak perlu memikirkan untuk mencari kedai makan kerana lokasi terbabit yang terletak agak jauh dari bandar kini sudah dilengkapi dengan restoran terapung.

"Bagi pemancing tegar pula mereka mempunyai pilihan kedua dan menjanjikan habuan lebih besar kerana boleh bermalam di Chalet Teluk Bayu yang juga diuruskan PPK," katanya.

Sementara itu Pengurus Besar PPK Merbok, Faizul Mat Hassan berkata, menyingkap kembali sejarah tercetusnya chalet terapung itu mungkin ramai tidak mengetahui ia sebenarnya bermula dengan projek ikan sangkar yang diusahakan PPK Merbok sebelum musnah akibat dilanda ribut pada 2012.

KELIBAT bot nelayan yang pulang ke jeti.
KELIBAT bot nelayan yang pulang ke jeti.

Bertitik tolak daripada kejadian itu, maka timbul idea untuk menghidupkan Sungai Merbok dengan menjadikan kawasan terbabit sebagai tarikan buat pelancong dan hasilnya chalet terapung sepenuhnya menggunakan tong plastik itu terbina.

Menurutnya, pihaknya kini sedang merencana pelbagai program di kawasan terbabit selepas negara dilanda pandemik Covid-19 yang turut menjejaskan sektor pelancongan.

"Antara langkah dilakukan ialah giat melakukan promosi bagi menarik kembali pelancong ke kawasan itu yang sebelum ini sentiasa dikunjungi terutama golongan pemancing.

"Berikutan itu, kita turut akan menawarkan pakej menaiki bot mengelilingi paya bakau, mengunjungi dan melawat lokasi pengusaha hasil laut seperti ternakan ikan, tiram, kupang, lokan.

"Sebagai contoh, pengunjung tidak hanya melihat pengusaha menternak hasil laut saja, malah mereka boleh mencuba sendiri untuk merasai pengalaman makan tiram segar mentah," katanya.

PEMANDANGAN indah kala senja di kawasan kuala Kampung Segantang Garam.
PEMANDANGAN indah kala senja di kawasan kuala Kampung Segantang Garam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 6:40 AM