DEAD River Beach tumpuan ketika cuti musim panas, musim luruh dengan pelbagai aktiviti rekreasi air.
DEAD River Beach tumpuan ketika cuti musim panas, musim luruh dengan pelbagai aktiviti rekreasi air.
Mohd Saiful Shahmun Mohd Khalid

Minat terhadap aktiviti memancing dan bermalam di tepi sungai membuatkan penulis bersama rakan memilih destinasi popular bagi perkhemahan iaitu Dead River Beach di sempadan dua negeri di Australia iaitu Victoria dan New South Wales, Mac lalu.

Nama Dead River Beach dengan sendirinya menerangkan kedudukannya di kuala Sungai Murray yang mengalirkan airnya ke Laut Tasman. Suasananya tidak ubah seperti pemandangan sungai atau hutan paya di Malaysia.

Bagi penduduk tempatan, destinasi itu menjadi tumpuan ketika cuti musim panas mahupun musim luruh dengan pelbagai aktiviti rekreasi air. Bagi penduduk tempatan, mereka memiliki bot sendiri bagi menyusuri pemandangan di sepanjang sungai berkenaan.

Tidak kurang juga apabila tiba cuti umum keadaan seperti berpesta apabila kebanyakan pengunjung tempatan akan menaiki bot, berkayak dan berenang di pesisir tebing sungai.

Malah kedudukan Dead River Beach juga tidak jauh dengan Combram iaitu pekan kecil dalam wilayah Victoria. Pekan berkenaan pula berdekatan dua pekan kecil lain seperti Yarrawonga dan Numurkah. Terdapat kemudahan seperti teksi atau bas untuk ke Dead River Beach dari pekan berkenaan.

Kebetulan ketika kunjungan penulis ke sana rakyat Australia sedang menikmati cuti umum yang panjang. Sudah menjadi kebiasaan apabila setiap kali cuti, penulis mengambil kesempatan bermalam 'di port' memancing bersama dua atau tiga kenalan warga Malaysia.

Penulis sendiri sudah menetap di Australia sejak lima tahun lalu bermula dengan bekerja di ladang dan kini bertukar lapangan di sektor pembinaan pula.

TERDAPAT juga perkhidmatan sewaan karavan oleh operator tempatan.
TERDAPAT juga perkhidmatan sewaan karavan oleh operator tempatan.

MEMANCING aktiviti utama di sini.
MEMANCING aktiviti utama di sini.

Cumanya kali ini percutian lebih meriah apabila disertai hampir 30 orang terdiri daripada orang Malaysia yang sudah berhijrah dan menetap di Australia. Mereka datang bersama keluarga masing-masing bagi menikmati panorama di sepanjang Sungai Murray.

Percutian di Dead River Beach kali ini selama empat hari tiga malam turut menjadi hari keluarga bagi komuniti Malaysia di Melbourne. Penting juga percutian kali ini untuk mengenali dan berhubung rapat dengan komuniti Malaysia yang sudah lama menetap di Australia.

Perjalanan penulis pula bermula dari Melbourne iaitu tiga jam pemanduan sebelum sampai ke Chombram. Sepanjang perjalanan anda boleh menikmati pemandangan mengasyikkan kerana perjalanan merentasi wilayah paling selatan itu diiringi dengan pemandangan hutan dan denai.

Jika bernasib baik mungkin anda boleh menyaksikan pelbagai hidupan liar termasuk koala dan kanggaru di sekitar kawasan berkenaan. Bagi mereka yang berkemampuan boleh juga menyewa perkhidmatan karavan dengan kadar sewaan sekitar RM120 hingga RM180 sehari.

Namun kadar itu selesa jika datang bersama kumpulan atau ahli keluarga. Kelebihan karavan disediakan operator tempatan, biasanya kemudahan sudah lengkap termasuk tandas dan ruang memasak.

Bagi anda yang gemarkan cabaran, boleh bercuti seperti penulis dengan membawa peralatan perkhemahan sendiri. Tiada permit dikenakan selain anda boleh memilih kawasan kegemaran masing-masing untuk berkhemah.

Tidak perlu khuartir, lokasi tapak perkhemahan itu turut disedia kemudahan asas seperti tandas dan bekalan air bersih bagi anda yang ingin mendapatkan bekalan air sepanjang berkhemah di lokasi terbabit.

PERCUTIAN yang meriah penulis (berbaju putih bertopi jingga) bersama komuniti Malaysia di Melbourne, Australia.
PERCUTIAN yang meriah penulis (berbaju putih bertopi jingga) bersama komuniti Malaysia di Melbourne, Australia.

Sebaik tiba, kami memilih kawasan paling dekat dengan sungai kerana merancang memancing sepanjang hari. Lokasi itu cukup terkenal sebagai lubuk bagi ikan kod Murray, 'perch' dan ikan keli.

Tidak semua lokasi dibenarkan bebas memancing dan ada sebahagian tempat memerlukan permit bagi memancing spesies tertentu. Sebagai contoh 'silver perch' tidak dibenarkan untuk ditangkap sementara untuk 'golden perch' terdapat had tertentu manakala 'redfin perch' bebas dipancing.

Selain memancing, boleh juga melakukan aktiviti rekreasi di kawasan berkenaan seperti menaiki jet ski dan berkayak. Namun disarankan mengenakan jaket keselamatan kerana paras air sungai berkenaan cukup dalam.

Aktiviti malam biasanya sesuai untuk aktiviti barbeku dan kumpulan kami turut membuat unggun api untuk bersantai pada sebelah malam. Suasana di sekitar cukup menenangkan. Selain berbual bersama rakan, boleh juga cuba menikmati suasana malam dengan bersiar-siar sekitar tapak perkhemahan.

Selain memancing dan perkhemahan, anda boleh mengunjungi ladang milik orang tempatan bagi mendapatkan buah-buahan segar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 7:00 AM