TAMAN Rekreasi Paya Bakau Sijangkang dibangunkan masyarakat Kampung Sijangkang saji keindahan alam semula jadi.
TAMAN Rekreasi Paya Bakau Sijangkang dibangunkan masyarakat Kampung Sijangkang saji keindahan alam semula jadi.
Nurul Husna Mahmud


DESTINASI pelancongan selalu dibayangkan di tempat percutian indah termasuk resort yang cantik dengan tilam empuk selain dipenuhi pelbagai aktiviti menyeronokkan.

Lain pula pendekatan satu tarikan terbaharu di Kuala Langat ini yang memberi pandangan berbeza menerusi konsep percutian lebih sederhana, tetapi bermakna.

Destinasi itu ialah Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang yang menyajikan keindahan alam semula jadi menerusi pemandangan redup dan suasana eksotik hutan paya bakau.

Kunjungan julung kali bersama jurugambar Saifullizan Tamadi membuatkan penulis teruja apabila mengetahui hutan bakau itu dibangunkan masyarakat Kampung Sijangkang menggunakan kapasiti mereka sendiri. Tujuan utama memulihkan ekosistem paya bakau terbabit.

Laluan bertiti sepanjang 1.8 kilometer bagi menyusuri segenap hutan itu yang memiliki lebih tujuh hentian rehat termasuk di pesisiran Sungai Langat dibina sukarelawan sendiri.

Menurut Pengerusi Persatuan Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang Mohd Suhaimi Sanusi, sebelum ini kawasan itu menjadi lokasi pembuangan sampah haram oleh pihak luar selain kegiatan mencuri pokok bakau sehingga menjejaskan ekosistem hutan terbabit.

Kata Mohd Suhaimi, ia dibangunkan sendiri oleh penduduk dengan kebenaran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bagi tujuan pemuliharaan semula dan mencantikkan kawasan kampung.

"Kami orang kampung bersihkan dan bangunkan kawasan dahulunya rosak kerana sampah menjadi tempat rekreasi penduduk sejak 2015.

PENGUNJUNG dapat merakam panorama sepanjang Sungai Langat.
PENGUNJUNG dapat merakam panorama sepanjang Sungai Langat.

"Orang kampung ketika itu yang beralih dari rumah kayu ke rumah bata menyumbang papan dan kayu rumah mereka untuk dibuatkan titi.

"Kami bergotong-royong dengan sumbangan kayu dan kutipan duit dari penduduk kampung dan laluan titi mula-mula sejauh 700 meter.

"Apabila ada sumbangan korporat dan persatuan memenangi hadiah, kami naik taraf infrastruktur terutama trek titi sehingga sejauh 1.8 kilometer.

"Mengenakan bayaran minimum iaitu RM2 untuk akses masuk orang ramai boleh menikmati alam semula jadi selain merakam panorama menarik di hutan paya bakau," katanya.

Kata Mohd Suhaimi, pengunjung yang bernasib baik, mereka berpeluang melihat hidupan paya seperti ketam, ikan belacak, monyet atau burung.

"Setakat ini hala tuju Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang lebih kepada edu-ekopelancongan dan tiada sebarang bermotifkan keuntungan.

"Pengunjung perseorangan mereka boleh datang untuk lawatan sehari menikmati suasana dalam hutan paya bakau.

MASYARAKAT sekitar berekreasi di taman paya bakau terbabit.
MASYARAKAT sekitar berekreasi di taman paya bakau terbabit.

"Biasanya kalau pagi dan petang, orang beriadah dan berbasikal sekitar kawasan.

"Ada juga datang untuk ambil gambar di 'spot' menarik. Kalau musim kerja kahwin memang berbaris pasangan pengantin untuk ambil gambar kenangan dekat sini.

"Tujuan utama kami ialah mahu generasi iaitu anak cucu kami ada tempat untuk mereka belajar mengenai alam semula jadi.

"Kami juga berkolaborasi dengan universiti tempatan seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi penyelidikan berkaitan alam semula jadi," katanya.

Kemudahan asas juga disediakan seperti tapak perkhemahan, pentas persembahan, padang dan kemudahan sukan lasak ATV dan peralatan memanah.

"Pernah juga kawasan ini menjadi tempat acara bagi program kerajaan negeri, korporat dan persatuan tertentu.

"Kami alu-alukan asalkan program terbabit boleh memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar atau program masyarakat.

TURUT memberi pendidikan mengenai pemeliharaan hutan paya bakau.
TURUT memberi pendidikan mengenai pemeliharaan hutan paya bakau.

"Hari keluarga juga pernah dilakukan di sini kerana ada ruang luar dan kemudahan parkir selesa," katanya.

Mohd Suhaimi cuma berharap orang ramai mengambil inisiatif sama iaitu menjaga kebersihan dan alam sekitar.

"Kami mengalu-alukan sumbangan orang ramai baik dana dan kerjasama untuk menaik taraf lagi taman terbabit.

"Kapasiti kami terhad dan melakukan mengikut kemampuan kami. Impian atau kalau ada dana kukuh, boleh juga bina menara tinjau mesra alam dan banyakkan lagi kemudahan sesuai dengan laras sebagai tempat sehenti penyelidikan ekosistem bakau," katanya.

Suhaimi memaklumkan kumpulan penyelidik mengenal pasti sekurang-kurangnya 18 spesies tumbuhan paya bakau terdapat di kawasan taman rekreasi terbabit.

Taman itu dibuka kepada awam setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 6:20 AM