PEMANDANGAN laut biru dengan pantai putih mampu memberi pemandangan menarik.
PEMANDANGAN laut biru dengan pantai putih mampu memberi pemandangan menarik.
Nurul Husna Mahmud


DALAM kalangan kita, pasti ada yang gemar memilih pulau atau pemandangan laut sebagai lokasi percutian.

Begitu juga penulis yang mula rindukan detik untuk menikmati pemandangan itu lebih-lebih lagi sudah lama 'terkurung' di dalam rumah.

Selalunya penulis lebih tertarik dengan destinasi pantai di sebelah utara Semenanjung, namun kali ini penulis ingin kongsikan pula pengamatan mengenai pantai Desaru yang terletak di Pengerang Johor.

Mengenai Desaru, lokasi ini terdapatnya pantai paling menarik apabila disajikan dengan pemandangan pasir putih yang dihiasi deretan pokok ru sejauh 25 kilometer.

Jika berjalan-jalan santai sambil menghirup angin petang, anda boleh saksikan sendiri pokok ru seakan-akan 'menari' mengikut rentak angin.

Pesona pantai dengan deruan ombak dan lebih damai di petang hari mampu menghilangkan rasa penat selepas menempuh perjalanan yang panjang untuk sampai ke destinasi berkenaan.

Sebelum pandemik Covid- 19 menular, pantai sememangnya menjadi pilihan ramai baik buat pengunjung yang datang bersama keluarga mahupun bercuti bersama teman.

Malah bagi negara jiran, destinasi itu antara persinggahan terhampir untuk mereka menikmati suasana pantai semula jadi.

MEWAH antara fasiliti kolam ditawarkan di salah satu resort di Desaru.
MEWAH antara fasiliti kolam ditawarkan di salah satu resort di Desaru.

Meskipun hujung minggu berbeza apabila Johor mula pada Jumaat dan Sabtu, namun pada Ahad aktiviti di pantai masih meriah.

Tatkala musim cuti persekolahan yang panjang pula, suasana pantai seperti berpesta dengan pelbagai aktiviti ditawarkan operator tempatan dan pengusaha resort tempatan.

Antara servis ditawarkan kepada pengunjung adalah snorkeling, memancing, berenang, merentas denai, menunggang kuda dan banyak lagi.

Untuk penginapan terdapat pelbagai pilihan mengikut bajet pengunjung daripada rumah inap tradisi sehinggalah hotel lima bintang yang memenuhi sekitar pantai terbabit.

Hotel tersohor seperti Hard Rock turut memiliki fasiliti taman tema bersebelahannya untuk anda yang sukakan cabaran ekstrem.

Bagi yang suka percutian santai pula, kebanyakan hotel menawarkan perkhidmatan spa dan juga gimnasium bagi memenuhi waktu senggang selain aktiviti pantai.

Jika bernasib baik, ada hotel turut menyediakan persembahan muzik untuk anda bersantai di ruang legar ataupun tepi kolam bersama keluarga.

ANTARA juadah ditawarkan di resort terdapat di Desaru.
ANTARA juadah ditawarkan di resort terdapat di Desaru.

Akses kepada keperluan harian juga tidak sukar kerana bandar Penawar iaitu pekan kecil terhampir mempunyai kemudahan seperti kedai runcit dan pasar raya selain restoran turut beroperasi 24 jam.

Perjalanan menuju ke Desaru juga lebih santai kerana sepanjang pantai hanyalah kawasan penginapan.

Kemudahan pengangkutan terdapat bas disediakan untuk membawa penumpang dari resort hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Selain pantai,
boleh juga kunjungi Desaru Fruit Farm atau bersiar-siar sekitar hutan paya dengan mengunjungi Wetland Sedili di Kampung Belukar Durian, Kota Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 6:11 AM