AQILAH bersama suami dan anak bercuti di Bagan Lalang.
AQILAH bersama suami dan anak bercuti di Bagan Lalang.
Nurul Husna Mahmud


SEBAIK kerajaan mengumumkan warga kota yang menetap di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya boleh merentas daerah, kesempatan itu dimanfaatkan eksekutif swasta, Aqilah Kamarudin, 32, bersama lapan ahli keluarga yang lain untuk bercuti di Bagan Lalang, Sepang.

Bagan Lalang menjadi pilihan kerana dia mahu memberi pengalaman kepada anak tunggalnya, Ariq Shiraz Muhammad Syawal berusia setahun lima bulan yang tidak pernah ada kesempatan menikmati pemandangan atau persekitaran pantai sebelum ini.

Katanya, dia dan suami, Dr Muhammad Syawal Hamdan lebih selektif memilih lokasi percutian yang sesuai dengan keperluan keluarga terutama tahap keselamatan tinggi terutama dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Biarpun percutian kali ini dirancang secara mengejut iaitu sehari sebelum bertolak, kami masih mengambil kira hal penting terutama tahap keselamatan lokasi percutian.

"Maklumlah percutian yang membabitkan keluarga ke Bagan Lalang turut disertai anak buah saya berusia tiga bulan dan ibu saya. Jadi, kami memilih destinasi yang privasi seperti Avani Sepang Goldcoast Resort sebagai destinasi percutian pertama selepas hampir dua tahun tidak melancong," katanya.

Berkongsi pengalaman percutian dalam suasana pandemik, akui Aqilah, berbanding kali pertama berkunjung bersama suami pada 2018 banyak perbezaan baik dari segi suasana atau aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung di situ.

"Kali pertama saya berkunjung ke pusat pelancongan ini tiga tahun lalu banyak aktiviti ditawarkan. Berbeza dengan keadaan sekarang yang mana banyak aktiviti rekreasi air tidak lagi ditawarkan kepada pengunjung.

"Contoh yang terdekat ialah tiada aktiviti seperti 'banana boat' atau jet ski ditawarkan. Namun, pengunjung masih boleh akses pantai dan melakukan aktiviti biasa seperti mandi-manda atau bermain pasir di pantai," katanya.

Tambah Aqilah itu tidak menghalang keluarganya menikmati suasana damai di pantai apabila resort berkenaan memiliki pantai persendirian yang tidak boleh diakses pengunjung luar.

SUASANA makan malam di Avani Sepang Goldcoast Resort.
SUASANA makan malam di Avani Sepang Goldcoast Resort.

"Dari segi fasiliti yang boleh diakses pengunjung termasuk kolam renang, tetapi ada sistem giliran bagi mengelak kesesakan. Tidak lupa juga aktiviti lain seperti memancing boleh dilakukan pengunjung menerusi satu kawasan khas disediakan pihak resort.

"Kami menikmati pemandangan pantai dan menyewa basikal bagi aktiviti riadah petang. Sebelah malam pula kami melihat pertunjukan permainan api selain makan malam bersama," katanya.

Kata Aqilah, rutin baharu yang perlu dilakukan pengunjung ialah menyesuaikan diri dengan SOP ketat pengurusan resort terbabit.

"Norma baharu juga jika sebelum ini tiada sekatan untuk jumlah ahli keluarga yang boleh menginap dalam bilik resort, kali ini saya dan keluarga perlu mengenakan gelang khas dan patuh dengan had bilangan penghuni ditetapkan bagi setiap bilik.

"Ia juga pengalaman buat saya dan suami apabila terpaksa melakukan tempahan tambahan untuk ahli keluarga yang lain.

"Lebih mencabar apabila saya juga terpaksa lakukan carian dan tempahan bilik menerusi aplikasi percutian lain kerana pihak resort memaklumkan tempahan bilik sudah penuh dan tidak dapat dilakukan secara manual," katanya.

Tidak dinafikan kunjungan kali kedua ini mengundang rasa rindu suasana cuti yang bebas ketika sebelum pandemik.

"Sebenarnya apabila kembali bercuti ke sini ada perkara yang saya rasa rindu hendak buat iaitu menikmati sajian makanan laut di restoran terkenal terletak tidak jauh dari resort.

AHLI keluarga tidak melepaskan kesempatan merakam pemandangan berlatarkan laut.
AHLI keluarga tidak melepaskan kesempatan merakam pemandangan berlatarkan laut.

"Tetapi, terpaksa pendam kerana bimbang dengan situasi pandemik yang belum selesai. Tambahan pula ahli keluarga lain turut serta jadi kami perlu sabar dan menanti sehingga situasi benar-benar selamat untuk makan di luar," katanya.

Beliau turut menasihati semua untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengawal penjarakan fizikal dalam memastikan tiada risiko dijangkiti Covid-19.

"Memang ralat apabila tidak dapat menyapa mesra pengunjung lain dan benarkan anak bermain dengan kanak-kanak lain. Tetapi, saya ambil pendekatan positif dengan menjaga diri dan anak sebagai keutamaan. Anak masih ada ruangan untuk bermain dan boleh bercuti dalam suasana gembira," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 6:11 AM