BERJALAN di pesisiran pantai pada waktu senja antara aktiviti mengujakan di Tiara Desaru Seaview Residence.
BERJALAN di pesisiran pantai pada waktu senja antara aktiviti mengujakan di Tiara Desaru Seaview Residence.
KOLAM infiniti antara dua blok penginapan memberikan kelainan.
KOLAM infiniti antara dua blok penginapan memberikan kelainan.

Sudah lama tidak mendengar nama Desaru. Sekitar tahun 80-an dan 90-an, ia antara kawasan peranginan tersohor di Johor.

Entah kenapa nama itu kemudian seakan akan dilupakan menyebabkan jemputan melancong ke sana baru-baru ini lantas menimbulkan rasa teruja untuk mengetahui perkembangannya.

Dalam diam, rupa-rupanya Desaru berusaha bangkit kembali sebagai destinasi pelancongan popular tanah air.

Ternyata kawasan pelancongan pantai di daerah Kota Tinggi dan pesisiran Laut China Selatan itu masih menjadi tumpuan rakyat Singapura bercuti serta melegakan minda.

Kini makin banyak pusat penginapan, rekreasi dan dan kegiatan ditawarkan.

Bagi ahli perniagaan dan korporat, mereka mungkin memikirkan Desaru sebagai syurga golf. Di situ terdapat padang golf 27 dan 18 lubang bertaraf dunia seperti The Els Club Desaru Coast, di samping resort dan hotel lima bintang.

Terdapat juga taman tema seperti Ocean Splash Water Park dan Ocean Splash Marine Park yang menjadi kesukaan semua golongan masyarakat.

Pantai Desaru juga menjadi destinasi peranginan premium dan antara kawasan pembangunan pelancongan yang dinanti-nantikan ramai. Ditambah pula dengan gabungan pembinaan hotel dan resort terkemuka bertaraf dunia, tentulah masing-masing teruja menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan.

Pertama terfikir sewaktu menyertai siri kedua X-Plore Johor baru-baru ini ialah di mana akan menginap? Dalam program anjuran Travel Writers Association Malaysia (Tram), Tourism Johor dengan kerjasama Tiara Desaru @ Desaru Johor itu kami dibawa menginap di Tiara Desaru Seaview Residence (TDSR).

Selepas puas menjelajah ladang buah Desaru Fruit Farm Agro Tourism dari tengah hari membawa ke petang pada hari pertama, kami dibawa ke pusat penginapan jenis kondominium ala hotel itu. Sebaik sampai, terserlah aura pantainya dengan suasana sunyi lagi nyaman.

Halamannya dibiarkan lapang dengan taman menghijau. Kelihatan beberapa pondok kayu berbumbung V terbalik di halaman berumput, unsur kejur yang mencetuskan suasana santai, sesuai dengan persekitaran di kawasan pantai.

Menariknya pondok teduhan itu dibina daripada jaluran batang kayu seakan bakau dengan imej rustik, lambang dekat dengan alam.

Selepas diberikan kunci di kaunter pendaftaran, kami menuju ke unit penginapan. Difahamkan TDSR milik Premier Plus Group masih dalam peningkatan imej setelah melalui proses pemuliharaan setelah diambil alih daripada resort asal, LA Cemara Desaru Resort Condominium.

Beberapa bahagian di ruang legar tampil menarik dengan kemasan dinding tumpu daripada jaluran batang kayu yang divarnis, memperlihatkan imej rustik manakala seluruh lantai dipasangkan panel kayu coklat kekuningan, mencetuskan suasana hangat.

Dalam perjalanan menuju ke bilik, melalui kawasan kolam utama, mata terpaku pada landskapnya yang dihiasi jambatan dan replika penyu dan ikan.

Penulis ditempatkan di unit kondominium dua bilik, masing-masing dilengkapi katil bersaiz queen yang turut menyediakan kemudahan kabinet dapur dan peti ais. Menjenguk ke belakang menerusi pintu belakang, mata tertumpah ke kolam infiniti dengan air jernih membiru di antara dua blok bangunan.

Penerbit Rancangan Kanan Radio IKIMFM, Nik Hasnah Ismail dan Mazlina Ismail berkongsi bilik di satu unit kondominium, sama dengan penulis. Dalam kesibukan mengikuti jadual lawatan pelancongan, sempat juga kami meluangkan masa bermain di tepi pantai.

Seronok melihat Nik Hasnah dan Mazlina menjalani sesi rakaman video sambil menggayakan aksi bersiar di tepi pantai dirakam jurugambar Dino Al Ham dalam suasana panas terik.

Pengarah Primer Plus Datuk Sri Jacky Ker Cherk Yee berkata, terdapat lapan blok kondominium servis mengandungi 579 unit di situ dengan 70 peratus untuk dijual atau disewa bagi jangka panjang manakala selebihnya sewa harian.

Di kawasan seluas empat hektar, selain menawarkan pelbagai kemudahan menyeluruh seperti di hotel, pengunjung berpeluang menunggang basikal. Tanah rata dan lapang satu kelebihan untuk aktiviti itu.

Difahamkan TDSR adalah kondominium gaya hidup tepi pantai pertama di selatan Semenanjung dan kondomium pertama di Desaru menyediakan perkhidmatan hotel kepada residen.

Lokasinya cuma lima minit dari Bandar Penawar dan sekolah berasrama, antaranya Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Sekolah Sukan Bandar Penawar, Sekolah Menengan Kebangsaan Agama Bandar Penawar. - Rashidah Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 6:01 AM