RUMAH kluster The Maris yang memiliki keluasan binaan bermula 2,059 kaki persegi.
RUMAH kluster The Maris yang memiliki keluasan binaan bermula 2,059 kaki persegi.
Sofyan Rizal Ishak


PADA masa kini, industri hartanah tempatan menyaksikan kebanyakan unit kediaman siap dan belum siap sukar dijual berikutan pelbagai faktor termasuk harga terlalu mahal atau kesukaran mendapatkan pembiayaan dalam kalangan pembeli.

Bagaimanapun, ada kalanya situasi itu mampu berubah jika unit kediaman yang hendak dijual dapat menawarkan nilai tambah kepada pembeli dan memenuhi kehendak pasaran terutama di lokasi hartanah terbabit.

Menyedari perkara itu, UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) terus memanfaatkan kelebihan melalui falsafahnya iaitu EVE (‘exciting’, ‘value’ dan ‘easy’) yang membabitkan tiga aspek iaitu ‘Menarik’, membawa ‘Nilai’ dan ‘Mudah’ dimiliki bagi mencuri perhatian pembeli hartanah terhadap pembangunan hartanah terbaharunya, The Maris di Desaru Coast, Johor.

Pengarah Urusan Dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, falsafah itu membolehkan syarikat sentiasa peka terhadap keperluan pelanggan, pada masa sama, mengukuhkan strategi dan meningkatkan kecekapan serta kualiti berurusan dengan pelanggan.

Menurutnya, pelaksanaan falsafah EVE memang terbukti membantu syarikat apabila 66 peratus fasa pertama atau 43 unit daripada 66 unit bagi Presint 1, The Maris terjual dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas dilancarkan.

“Kami tidak menjangkakan sambutan baik ini apabila kebanyakan unit yang terjual setakat ini adalah unit Bumiputera. Kebiasaannya, kebanyakan pembangunan berhadapan cabaran untuk menjual unit Bumiputera namun projek ini berbeza kerana unit Bumiputera yang habis dijual terlebih dahulu.

“Trend ini jelas membuktikan kami berjaya memenuhi kehendak pasaran dan akan terus bertindak balas sewajarnya berikutan sambutan menggalakkan ini,” katanya kepada media ketika lawatan ke The Maris, Desaru Coast di Kota Tinggi, baru-baru ini.

The Maris adalah pembangunan gaya resort terkini di wilayah selatan tanah air yang menawarkan kehidupan tenang di tengah-tengah suasana hijau dengan pemandangan menghadap padang hijau Lapangan Golf Antarabangsa atau suasana menyenangkan daripada tarikan taman tema dengan pantai berpasir indah di Desaru.

Ia adalah projek pembangunan pertama UEM Sunrise di Desaru Coast yang akan membabitkan pembinaan kediaman bertanah secara berperingkat selama 10 tahun di tanah seluas 92.3 hektar.

Untuk Presint 1 The Maris, 260 unit kediaman akan dibina terdiri daripada 244 unit rumah kluster dan 16 unit rumah berkembar dengan keluasan binaan bermula dari 2,059 hingga 2,666 kaki persegi serta menawarkan empat bilik tidur dan tiga bilik air pada harga bermula daripada RM630,000 bagi rumah kluster.

Antara ciri unik The Maris adalah ia menawarkan pemandangan premium padang golf, tarikan taman tema air, pantai berpasir, taman, tasik dan kolam renang.

ANWAR Syahrin
ANWAR Syahrin

Beliau berkata, The Maris menawarkan pilihan sempurna untuk pelabur mencari pulangan jangka panjang dan destinasi kehidupan resort yang unik serta sesuai untuk keluarga dan individu yang mencari tempat percutian.

“Kami juga melihat projek ini mempunyai potensi yang tinggi untuk membangun melalui kehadiran projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang yang terletak kira-kira 30 minit dari kawasan ini.

“Kebanyakan unit kediaman yang terjual setakat ini dibeli oleh pekerja RAPID dan ia mengejutkan apabila ramai pekerja di RAPID memilih untuk membeli kediaman di luar kawasan kerja mereka dan menjadikan The Maris sebagai antara pilihan utama, “ katanya.

The Maris terletak di koridor pertumbuhan pesat di Johor Selatan dan dihubungkan dengan lapangan terbang dan lebuh raya antarabangsa utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Lebuhraya Senai-Desaru, Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya Link Kedua (Tuas).

Ia juga menawarkan tarikan tambahan dengan lokasi yang terletak berdekatan dengan pelbagai kemudahan bertaraf dunia termasuk The Westin, Hard Rock Hotel, Adventure Waterpark, Anantara Resort & Villas, The Els Club (Ocean Course) dan The Riverside.

Anwar berkata, The Maris akan berfungsi sebagai penanda aras untuk perkembangan UEM Sunrise pada masa depan kerana pembangunan di Desaru yang memiliki pelbagai peluang dan potensi untuk terus berkembang maju.

Menurutnya, projek terbabit menyediakan persekitaran resort bersepadu melalui setiap komponen di Desaru Coast seperti hotel, taman air dan pusat persidangan yang direka untuk saling melengkapi sehingga penduduk tidak perlu meninggalkan kawasan rumah untuk menikmati pengalaman hidup atau gaya hidup percutian.

“Kami yakin dengan lokasi indah dan strategik serta tawaran kemudahan yang datang dengan pembangunan, maka kadar pembeliannya tentu memberangsangkan untuk pelancaran presint pertama ini dan ia akan membantu meningkatkan lagi keyakinan terhadap pelancaran presint akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:25 AM