ANWAR dan Lee Hsien Loong bergambar bersama tetamu kehormat pada Majlis Penyempurnaan Span Menghubungkan Johor Bahru dan Singapura. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ANWAR dan Lee Hsien Loong bergambar bersama tetamu kehormat pada Majlis Penyempurnaan Span Menghubungkan Johor Bahru dan Singapura. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Syarifah Dayana Syed Bakri

SITUASI warga tempatan menaiki motosikal beratur panjang setiap pagi untuk memasuki Singapura mungkin bakal menjadi sejarah apabila projek Rapid Transit System Link (RTS Link) siap kelak.

Walaupun projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi, ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kesesakan yang dihadapi warga tempatan yang mencari rezeki di seberang Tambak.

Projek RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar, Johor Bahru dan di Woodlands North, Singapura.

Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, laluan RTS Link yang dijadualkan siap pada Disember 2026 itu akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru.

Projek berkenaan dijangka membuka lembaran baharu perhubungan dua hala antara kedua-dua negara di samping inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kerajaan yakin projek mega itu akan siap mengikut perancangan yang dijadualkan dan beroperasi tepat pada 1 Januari 2027.

Loke berkata, pembinaan jejambat marin yang dilancarkan minggu ini menunjukkan perkembangan baik dengan kini sebanyak 68 peratus kerja pembinaan sudah selesai.

Pembinaan jejambat darat pula yang dimulakan pada 22 Mac tahun lalu, juga berjalan lancar dan kini kemajuannya adalah pada tahap 31 peratus.

Katanya, bagi kawasan stesen, ia sudah 41 peratus siap, manakala pembinaan bangunan CIQ (Kastam, Imigresen dan Kuarantin) yang dimulakan 11 Oktober 2023, kerja-kerja pemasangan cerucuk sudah siap dan kemajuan kerja itu mencecah 3.22 peratus.

Minggu ini, projek berkenaan mencatat langkah baharu dengan penyempurnaan span, iaitu titik pertemuan jejambat marin projek itu antara Johor Bahru dan Singapura.

RTS Link adalah sebahagian elemen untuk memacu JS-SEZ yang mana ia bakal meningkatkan lagi perdagangan antara Johor dan Singapura, dan boleh berkembang maju seperti bandar raya Shenzhen di China, yang menjadi bukti kejayaan sebagai sebuah zon ekonomi khas.

MRT Corp dipertanggungjawab membangunkan bahagian Malaysia sepanjang 2.7 kilometer (km) bagi rangkaian rel dan struktur diperlukan yang mana operasi itu akan dijalankan secara bersama dengan Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corp Ltd dari Singapura.

Selepas siap kelak, RTS Link akan menjadi jambatan darat ketiga ke Singapura dan dijangka dapat mengurangkan lagi kesesakan teruk yang sentiasa dialami di Tambak Johor.

Melalui 'laluan' lebih mudah ini, kerajaan mencadangkan penggunaan kaedah digital sistem QR Code sama seperti Singapura bagi pergerakan keluar masuk menerusi Kompleks CIQ di Johor.

Ia antara lain membayangkan bahawa pergerakan keluar masuk ke kedua-dua negara tidak lagi memerlukan pasport seperti yang dilaksanakan ketika ini bagi mengurangkan kesesakan dan memudahkan pergerakan orang awam.

Selain itu, kerajaan turut mencadangkan inisiatif seperti multiple entry Visa dan pas khas selain kakitangan imigresen dan kastam yang mencukupi bagi memudahkan pergerakan.

Dengan kelancaran pergerakan di kedua-dua hala, ia secara tidak langsung menarik minat pelabur untuk mencari peluang khususnya di Johor.

Menurut nota penyelidikan RHB Investment Bank, semakin banyak pemaju hartanah dilihat sedang meninjau dengan agresif untuk menambah simpanan tanah pada tahun ini.

Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), AME Elite Consortium Bhd, Mah Sing Group Bhd dan Avaland Bhd adalah antara pemaju yang sedang mencari bidang tanah seperti di kawasan yang berkepentingan terutamanya Iskandar Malaysia dan Lembah Klang.

Pada September 2023, EcoWorld memperoleh 404 ekar tanah di Kulai daripada IOI Properties Group Bhd.

Selain itu, kawasan berhampiran sempadan, terutamanya yang lebih dekat dengan tambak dan pautan Tuas, turut menarik perhatian pemaju.

UEM Sunrise dan Sunway juga mempunyai simpanan tanah yang besar di kawasan itu malah, syarikat multinasional (MNC) serantau sedang merancang untuk melakukan penempatan semula atau memusatkan operasi terutamanya selepas pandemik Covid-19, sebagai sebahagian daripada pengurusan risiko untuk memastikan rantaian pengeluaran tidak terganggu.

Johor telah menjadi salah satu destinasi pelaburan popular bagi banyak MNC, terutama dalam kalangan syarikat yang mempunyai pejabat serantau di Singapura.

Semoga projek yang membawa makna kepada kedua-dua negara ini dapat dibangunkan tanpa sebarang masalah dan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia khususnya yang mencari rezeki di seberang Tambak.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 5:58 AM