TAPAK Majlis pecah tanah Projek Rapid Transit Sistem Link (RTS) antara Johor Bahru-Woodlands Singapura. FOTO Zain Ahamed
TAPAK Majlis pecah tanah Projek Rapid Transit Sistem Link (RTS) antara Johor Bahru-Woodlands Singapura. FOTO Zain Ahamed
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Projek Sistem Transit Rapid (RTS) bakal menyelesaikan masalah kesesakan kritikal di Tambak Johor yang sudah berlanjutan sejak lebih 30 tahun lalu.

Ketua Penyelidik Kumpulan Integrasi Oasis, Institut Integrasi Kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Mohd Fahmy Abdullah, berkata majlis pecah tanah projek RTS Ahad lalu memberi kelegaan dan sinar harapan kepada kira-kira 250,000 pekerja Malaysia yang berulang alik ke Singapura.

Beliau yang juga pensyarah kanan UTHM berkata, bancian yang dibuat pihaknya mendapati lebih 126,000 kenderaan terpaksa bersesak-sesak setiap kali waktu puncak bekerja dan pulang bekerja dengan 70 peratus daripadanya menggunakan laluan di Tambak Johor.

"Majlis pecah tanah RTS sangat signifikan kepada keluh kesah ratusan ribu pengguna harian Tambak Johor yang terpaksa berhadapan kesesakan melampau di laluan berkenaan sejak lebih 30 tahun lalu.

"Pengguna laluan Tambak Johor perlu menempuh perjalanan hampir dua jam untuk pergi dan balik kerja setiap hari, namun dengan RTS ia dijangka akan hanya mengambil masa 30 minit sehala.

"Kita jangkakan hampir 80,000 pekerja Malaysia di Singapura akan menggunakan perkhidmatan RTS sehari apabila ia siap nanti, sekali gus akan mengurangkan kemasukan kenderaan ke kawasan selatan bandar raya dan sekitar Tambak Johor," katanya ketika dihubungi.

Ahad lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

Majlis pecah tanah berlangsung di tapak bangunan KIK Bukit Chagar dengan disaksikan Sultan Ibrahim secara maya dari Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda.

RTS sejauh empat kilometer yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK) Bukit Chagar ke Stesen Woodlands North di Singapura, sudah dimulakan dengan kerja awalan iaitu pembersihan tapak dan pengalihan utiliti di kawasan berkenaan.

Projek pembinaan infrastruktur dijangka dimulakan awal tahun depan secara berperingkat selepas selesai proses tender.

Sementara itu, Mohd Fahmy berkata, pelaksanaan projek RTS akan mengubah landskap pengangkutan awam di bandar raya Johor Bahru dengan beberapa projek pengangkutan penghubung.

Menurutnya, ia termasuk projek Bas Rapid Transit (BRT) yang dilaporkan akan dimulakan pada 2022.

"BRT adalah antara elemen penting yang akan menjadi pengangkutan penghubung atau pengantara pengguna RTS di beberapa kawasan pinggir bandar Johor Bahru.

"Sudah pasti pengangkutan awam di Johor Bahru akan berubah wajah dan menjadi lebih bersepadu dengan pelaksanaan RTS, " katanya.

Beliau berkata, kebarangkalian untuk meluaskan jaringan RTS kepada jajaran Transit Aliran Massa (MRT) di sekitar bandar raya Johor Bahru pada masa hadapan juga cerah dengan pelaksanaan projek itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 4:53 PM