USAH  melakukan aktiviti di bawah terik matahari.
USAH melakukan aktiviti di bawah terik matahari.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Cuaca panas yang masih melanda negara belum reda dan berita mengenai negara di rantau Asia Tenggara mencatatkan rekod bahaya sinaran ultraungu (UV) mencetuskan rasa bimbang.

Pada Rabu lalu, hampir semua lokaliti di seluruh Vietnam mengalami tahap bahaya sinaran UV, menurut Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan.

Agensi Berita Vietnam (VNA), semua bandar utama di Vietnam, kecuali Hanoi, melaporkan indeks UV berukuran sekitar 8 hingga 10.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), indeks UV 7.5 hingga 10.4 dianggap 'sangat tinggi' yang bermakna risiko bahaya sangat tinggi daripada pendedahan matahari tanpa perlindungan.

Indeks UV di bandar Ha Long (wilayah utara Quang Ninh) ialah 9.1 dari 11 pagi hingga 2 petang pada hari itu.

Indeks itu diukur pada 9.3 di bandar utara Hai Phong, 9.5 di bandar Hue (wilayah tengah Thua Thien-Hue); 9.5 di bandar Hoi An (wilayah tengah Quang Nam); 10 di bandar Nha Trang (wilayah tengah selatan Khanh Hoa); dan 9.1 di Ho Chi Minh City.

Menurut ramalan cuaca, bandar di seluruh negara akan terus menyaksikan indeks UV yang tinggi hingga sangat tinggi dari 25 hingga 27 Mei.

Menurut maklumat dari laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), semua orang terdedah kepada sinaran UV daripada matahari dan sumber lain bukan semula jadi yang digunakan dalam industri, perdagangan dan rekreasi.

Matahari ialah sumber sinaran UV yang paling kuat di alam sekitar dengan jumlah sinaran yang kecil diperlukan untuk penghasilan vitamin D dalam badan manusia.

Bagaimanapun, apabila terdedah secara melampau, ia akan memberikan kesan buruk jangka pendek dan jangka panjang kepada kulit, mata serta sistem imun manusia.

Terdapat tiga rantau spektrum pada sinaran masuk UV iaitu UVA, UVB dan UVC.

Gelombang rantau spektrum yang lebih pendek, UVC tidak memberi kesan ketara kepada permukaan bumi memandangkan ia paling diserap oleh ozon di stratosfera.

Maka, sinaran UV yang sampai ke permukaan bumi adalah UVA dan UVB, dengan jumlah yang lebih kecil.

Apabila cahaya matahari menembusi atmosfera bumi, kesemua UVC dan lebih kurang 90 peratus UVB diserap oleh ozon, wap air, oksigen dan karbon dioksida.

UVA amat kurang diserap oleh atmosfera menjadikan sinaran UV yang sampai ke permukaan Bumi kebanyakannya terdiri daripada UVA dan sejumlah kecil komponen UVB.

Menurut MetMalaysia, paras sinaran UV dipengaruhi oleh ketinggian matahari, latitud, altitud dan litupan awan.

Ia antara lain memberi petanda bahawa sekiranya langit tidak berawan, sinaran UV berada pada paras paling tinggi.

Namun, litupan awan yang sedikit atau nipis tidak memberikan kesan signifikan dalam pengurangan dedahan, malahan boleh meningkatkan lagi paras sinaran disebabkan penyerakan.

MetMalaysia berkata, sinaran UV dalam kuantiti yang kecil dapat memberi manfaat kepada manusia dan ia diperlukan untuk menghasilkan vitamin D.

Bagaimanapun, pendedahan kepada sinaran UV yang berpanjangan boleh menyebabkan kesan kesihatan yang akut dan kronik pada kulit, mata dan sistem imun.

Kesan akut yang paling diketahui umum ialah selaran matahari (erythema) dan dalam jangka masa lebih panjang, sinaran UV menyebabkan keradangan mata dan mendorong perubahan kemerosotan sel-sel kulit, tisu gentian dan saluran darah yang kemudiannya menyebabkan keadaan penuaan kulit pramatang, ruam dan kulit bersisik.

Dua masalah kesihatan awam yang utama hasil terdedah kepada sinaran UV adalah kanser kulit dan katarak.

Menurut anggaran WHO, antara dua hingga tiga juta kes kanser kulit bukan melanoma dan dianggarkan 130,000 kes kanser kulit melanoma berlaku setiap tahun di seluruh dunia.

Kanser kulit bukan melanoma boleh dirawat melalui pembedahan dan amat jarang melibatkan kematian. Namun, sebahagian besar kes melanoma malignan menyumbang kepada kadar kematian terutamanya dalam populasi penduduk berkulit cerah.

Setiap tahun, kira-kira 12 hingga 15 juta orang di seluruh dunia menjadi buta akibat katarak.

Menurut laporan WHO, sehingga 20 peratus daripada kes ini adalah disebabkan atau ditingkatkan oleh pendedahan kepada cahaya matahari, terutamanya di negara-negara berhampiran Khatulistiwa.

Walaupun Malaysia tidak menerima nasib sama seperti Vietnam, namun kita harus mengambil langkah berjaga-jaga.

Bermulanya cuti sekolah ini, usahlah ajak keluarga membuat aktiviti di bawah terik matahari.

Jika perlu berada di luar, pakailah kaca mata hitam, topi dan pakaian longgar serta pastikan kekal hidrat untuk keselamatan diri.

   

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 7:00 AM