Siti Zarinah Sahib

Rutin penjagaan wajah wanita bermula dengan pemakaian produk perawatan wajah mengikut jenis kulit. Antara produk yang sering diutamakan seperti krim pelembap, serum dan juga krim pemutih.

Amat jarang wanita memastikan krim tabir suria (sunscreen) dan pelindung matahari (sunblock) sentiasa berada di dalam beg tangan mereka tanpa menyedari produk ini penting dalam melambatkan proses penuaan selain mengelak risiko kanser kulit.

Menurut doktor estetika, Dr Nur Faradiana Osman, ramai wanita mengetepikan pemakaian krim tabir suria kerana beranggapan ia tidak penting. Walaupun dalam keadaan cuaca sejuk, redup atau hujan apabila matahari terlindung di sebalik awan, pemakaian krim pelindung matahari tetap perlu diteruskan.

“Ini disebabkan cahaya matahari mempunyai sinaran kuat dan terdiri daripada ultra ungu A (UVA) dan ultra ungu B (UVB). Sinar ultra ungu A boleh menyebabkan pemusnahan kolagen di dalam kulit dan penuaan berlaku dengan lebih cepat seperti pembentukan garis halus, kedut di muka, warna kulit menjadi kusam dan kehadiran pigmentasi.

“Sinar ultra ungu B pula menyebabkan kulit terbakar dan jika terdedah terlalu lama dalam jangka masa beberapa tahun, risiko untuk mendapat kanser kulit adalah tinggi,” katanya.

DR NUR FARADIANA OSMAN
DR NUR FARADIANA OSMAN

Tambahnya lagi, terdapat perbezaan di antara kedua-dua produk ini. Secara amnya, krim pelindung matahari diformulasi untuk melindungi daripada sinaran UVB, sementara krim tabir suria bagi melindungi sinaran UVA.

“Krim pelindung matahari terdiri daripada titanium dioksida, magnesium oksida, iron oksida dan zink oksida. Ia lebih sesuai untuk kulit sensitif dan risiko radang pada kulit adalah rendah. Bagaimanapun, teksturnya yang lebih pekat membuatkan risiko pori tersumbat lebih tinggi. Bahan konsistensinya juga yang lebih pekat manakala tekstur krim ini menghalang sinaran UV daripada terserap ke dalam kulit,” jelasnya.

Keadaan ini berbeza dengan krim tabir suria yang mengandungi asid paraaminobenzoik (PABA), cinnamates, salicylates, benxophenes, menthyl antranilate, parsol 1789 dan mexoryl. Krim ini menyerap sinaran UV dan menghalangnya daripada menjejaskan kulit. Teksturnya lebih cair dan sesuai untuk kulit berminyak atau berjerawat.

RAWATAN untuk jeragat.
RAWATAN untuk jeragat.

Mereka yang memiliki kulit sensitif seharusnya mengelak menggunakan krim tabir suria yang mengandungi oxybenzone kerana boleh menyebabkan ekzema atau radang kulit.

Namun bagi memudahkan pengguna, di pasaran kini ada krim pelindung matahari dan tabir suria yang mampu melindungi kulit daripada sinaran UVA dan UVB. Oleh itu, tugas pengguna adalah memilih berdasarkan jenis spektrum atau faktor pelindung matahari (SPF).

“SPF adalah penentu seberapa lama seseorang itu boleh berada di bawah sinaran matahari tanpa mendapat kesan terbakar selama memakai krim tabir berkenaan.

“Secara teorinya, jika seseorang itu mendapat kesan gelap tanpa memakai tabir suria dalam masa 10 minit terdedah kepada cahaya matahari dan apabila seseorang itu menggunakan SPF 15, ini bermakna secara purata dia memerlukan masa 150 minit sebelum mendapat kesan gelap pada kulit.

“Cara kiraannya adalah mudah iaitu 15 (nilai SPF) didarab dengan tempoh mendapat kesan gelap tanpa perlindungan (15 x 10 minit). Dalam kata mudah, 150 minit adalah tempoh seseorang itu terlindung daripada cahaya matahari dan ia perlu disapu semula selepas dua jam,” jelasnya.

Jaga kulit

Ini bermakna semakin tinggi SPF, semakin kuat perlindungan daripada sinaran UVB. SPF10 memberi 90 peratus perlindungan, SPF15 sebanyak 93 peratus, SPF20 sebanyak 97 peratus manakala SPF50 memberi sehingga 99 peratus perlindungan. Jika seseorang itu banyak menghabiskan masa di luar rumah, SPF 50 lebih sesuai.

Namun tiada tabir suria yang memberi 100 peratus perlindungan terhadap cahaya matahari. Malah bagi mereka yang berkulit gelap dan mempunyai pigmen melanin yang tinggi, tetap tidak dikecualikan memakai krim ini.

Menurut Dr Nur Faradiana, krim pelindung matahari perlu digunakan seawal usia enam bulan. Ini kerana bayi baru lahir perlu mengelak daripada terdedah terlalu lama pada cahaya matahari.

Mereka memerlukan perlindungan fizikal seperti memakai topi atau memakai pakaian menutupi kulit keseluruhannya. Ia juga disebabkan kulit bayi sebelum enam bulan lebih sensitif dan dikhuatiri lebih mudah untuk mendapat ruam gatal.

Pemakaian krim tabir suria kalis air untuk kanak-kanak dan dewasa ketika berenang perlu dipakai semula. Ini kerana krim ini cuma bertahan selama 80 minit saja. Setakat ini tidak ada kajian yang mengatakan ada krim pelindung yang mempunyai kriteria kalis air.

Krim pelindung matahari terdapat di dalam bentuk krim, semburan dan gel yang dijual di pasaran. Pelindung suria dalam bentuk krim lebih sesuai untuk kulit kering, gel untuk kulit berminyak atau berjerawat manakala semburan untuk kulit yang mempunyai banyak bulu roma.

MASALAH kulit kering dan pigmentasi.
MASALAH kulit kering dan pigmentasi.

Panduan pemilihan krim tabir suria

1. Pemakaian krim tabir suria sebaiknya disapu sekurang-kurangnya 15 minit sebelum terdedah kepada cahaya matahari.

2. Penggunaan SPF 30 hingga 50 sudah memadai.

3. Bedak asas atau pelembap tertulis SPF tidak memberi perlindungan secukupnya.

4. Cari jenis tabir suria sesuai dengan jenis kulit anda. Oleh kerana cuaca di Malaysia adalah panas dan lembap, produk berbentuk gel lebih sesuai.

5. Sapu semula setiap tiga hingga empat jam. Jika berpeluh atau melakukan aktiviti berenang, pemakaian krim tabir suria perlu lebih kerap. - Siti Zarinah Sahib

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 6:14 AM