ANTARA mayat ditemui dalam kawasan hutan kebanyakannya membabitkan kanak-kanak yang dipaksa berlapar sehingga menenemui ajal. FOTO AFP
ANTARA mayat ditemui dalam kawasan hutan kebanyakannya membabitkan kanak-kanak yang dipaksa berlapar sehingga menenemui ajal. FOTO AFP
Syarifah Dayana Syed Bakri

Di saat umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa pada Ramadan, dunia dikejutkan dengan berita sekumpulan pengikut agama yang turut menahan lapar dan dahaga untuk bertemu Tuhan.

Di Shakahola, Kenya jumlah kematian mangsa ajaran sesat yang menuntut pengikutnya berlapar sehingga mati untuk 'bertemu Tuhan', meningkat kepada 90 mayat.

Menurut pihak polis, sebahagian besar mangsa ajaran sesat Gereja Good News International itu adalah kanak-kanak dan operasi mencari baki mayat dihentikan sementara kerana semua rumah mayat sudah penuh.

Penemuan kubur besar di hutan Shakahola mengejutkan seluruh Kenya selepas ketua ajaran sesat itu, Paul Mackenzie Nthenge, dituduh memaksa pengikutnya berlapar sebagai satu-satunya cara menemui Tuhan.

Pihak berkuasa khuatir sekiranya lebih banyak mayat dijumpai selepas penemuan terkini menjumpai 17 mayat dengan sebahagian besarnya kanak-kanak.

Kes yang digelar Pembunuhan Hutan Shakahola itu membuka mata banyak pihak yang mengaitkan kumpulan berkenaan dengan ajaran ekstrem.

Menteri Dalam Negeri, Kithure Kindiki berkata, belum dapat dipastikan berapa ramai mangsa terbunuh atau berapa banyak kubur yang ada tetapi jenayah yang dilakukan sudah cukup bagi mendakwa Nthenge atas tuduhan keganasan.

Menurutnya, terdapat beberapa orang yang diberi tugas memastikan pengikut ajaran sesat itu berlapar sehingga mati sedangkan mereka sendiri boleh makan dan minum atas alasan kononnya mereka mempersiapkan pengikut terbabit untuk menemui Tuhan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berjaya menemui mangsa yang masih hidup dengan 34 pengikut ditemui masih bernyawa di kawasan hutan seluas 325 hektar itu.

Menurut tiga sumber berbeza, majoriti mangsa adalah kanak-kanak yang dipaksa berlapar oleh ibu bapa mereka sendiri, sekali gus membuktikan betapa kejamnya amalan kumpulan itu.

Seorang pegawai Jabatan Pengarah Siasatan Jenayah (DCI) turut mengesahkan bahawa lebih separuh mangsa adalah kanak-kanak, diikuti wanita.

Pengarah Eksekutif Haki Afrika, Hussein Khalid iaitu kumpulan hak asasi manusia yang mendedahkan kumpulan ajaran sesat itu kepada polis, memberitahu AFP bahawa kumpulan itu menetapkan kanak-kanak harus berlapar dulu, diikuti wanita dan lelaki.

Katanya, 50 hingga 60 peratus mangsa adalah kanak-kanak, yang mayat mereka ditemui dibalut dengan kain kapas.

Penyiasat memberitahu AFP bahawa mayat mangsa ditolak masuk secara paksa ke dalam kubur cetek, dengan ada yang mengandungi enam mayat dalam satu lubang, manakala ada yang dibiarkan di tempat terbuka.

Pihak berkuasa juga percaya masih ada pengikut ajaran sesat itu terus bersembunyi di sekitar Shakahola dan berisiko mati jika tidak ditemui segera.

Menurut laporan Al-Jazeera, Nthenge memulakan dakwahnya dengan menubuhkan gereja di Malindi sejak 2003 dan mula mendapat perhatian pihak berkuasa selepas meminta kanak-kanak berhenti daripada mendapatkan pendidikan formal.

Pada 2019, dia menutup gereja berkenaan dan berpindah ke Shakahola bersama beberapa pengikutnya. Nthenge sering menyatakan bahawa dia mempunyai mukjizat dan boleh melihat Tuhan.

Dia mengarahkan pengikutnya berhenti kerja, keluar dari sistem pendidikan formal, berhenti makan 'makanan dunia' dan jangan dapatkan rawatan di hospital jika sakit.

Menurut polis, dia memberi amaran kepada pengikutnya bahawa puasa mereka hanya diterima jika dibuat bersama-sama. Mereka tidak boleh bergaul dengan sesiapa dari 'dunia luar' jika mereka mahu ke syurga dan perlu memusnahkan semua dokumen yang diberikan oleh kerajaan, termasuk kad pengenalan dan sijil kelahiran.

Operasi menyelamat bermula 13 April lalu selepas dua kanak-kanak mati kelaparan dan lemas dipercayai dilakukan ibu bapa sendiri atas nasihat Nthenge pada 16 dan 17 Mac.

Pada 23 Mac, Mackenzie dihadapkan ke mahkamah dan dibebaskan dengan jaminan tunai 10,000 syiling Kenya (AS$74).

Lebih mengejutkan, Nthenge pernah ditangkap sebelum ini pada 2019, juga berkaitan dengan kematian kanak-kanak, tetapi dibebaskan dengan bon. Kedua-dua kes masih di mahkamah.

Paderi itu menyerah diri kepada polis pada 14 April dan masih dalam tahanan sementara menunggu siasatan. Sejak itu dia enggan makan dan enggan bercakap dengan polis.

Semoga semua mangsa mendapat keadilan dan pengikut Nthenge sedar bahawa ajaran yang dibawa Nthenge adalah sesat dan memudaratkan.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 7:00 AM